KULIAH CINTA RASUL - RASULULLAH MENGETUAI PEPERANGAN SEBANYAK 27 KALI DAN MENGHANTAR UTUSAN PERANG SEBANYAK 38 KALI

Rasulullah tidak sekadar hanya berdakwah di sekitar masjid, tetapi baginda juga adalah ahli politik yg berusaha membangunkan sebuah negara Islam di Madinah. Dengan kata lain, DAKWAH DALAM JALUR POLITIK, Kesempurnaan Islam bukan setakat ibadat tetapi apabila Islam dapat menjadi asas dan mengatur kehidupan seluruh manusia. 


Memugar rasa kasih dan sayang pada Rasulullah ialah dengan cara menghayati susah payah Baginda dalam menyampaikan Islam dan membangunkan negara Islam Madinah selama 23 tahun. Di samping itu, menghayati keistimewaan peribadi Rasulullah yang hebat dan telah berjaya mentarbiyyah para sahabat menghadapi semua mehnah itu. Peranan Rasul ialah untuk menunjukkan dan membimbing cara melaksanakan Islam dalam kehidupan umatnya semasa dan selepas hayatnya. 

Kisah perjuangan Baginda dipenuhi dengan kebijaksanaan, ketangkasan, semangat juang yang tinggi, strategi politik yang mantap dan seribu macam kelebihan yang dimiliki oleh Baginda untuk membangunkan negara Islam Madinah. Baginda berhadapan dengan serangan musuh luar Madinah dan ancaman musuh dalaman, pengkhianatan munafiq dan termasuklah karenah mereka yang tidak yakin dengan Islam. 

Baginda tidak berdakwah dalam pentas yang indah dan memakai pakaian yang cantik, tetapi sepanjang 10 tahun di Madinah, Baginda mengetuai 27 kali ketumbukan tentera (ghazwah) dan mengutuskan sebanyak 38 kali tentera (sariyyah) bagi berhadapan dengan musuh. Baginda makan sehari dan lapar sehari, tiada makanan yang disimpan di dalam rumah, apatah lagi mengumpulkan harta yang banyak. 

Cobaan dan cabaran yang diterima oleh Baginda ialah dari 
- Permusuhan dari Quraysh yang merupakan kauh
- Permusuhan dari 3 suku kaum Yahudi 
- Permusuhan dari Munafiqin 
- Permusuhan dari Qabilah yang berdekatan Madinah
- Orang Islam yang terpengaruh dengan dakyah Munafiq 

Cuti Maulidur Rasul kali ini diisi dengan membaca kisah peperangan Rasulullah khasnya peperangan Badar dan Uhud yang penuh dengan ujian dan tarbiyyah yang mendidik jiwa para sahabat. Perjuangan dan kesungguhan yg penuh dengan suka duka cukup membekas ke dalam jiwa mereka meneliti setiap detik perjalanan kisah berkenaan. 



Kuliah CINTA RASUL perlu juga untuk menyelitikan kisah-kisah tarbiyyah dan pengajaran yang diambil dari peperangan Rasulullah. Erti sebuah sambutan kelahiran baginda ialah untuk menyemai kecintaan kepada baginda dalam memperjuangkan Islam dan memugar kefahaman dan semangat untuk menuruti jejak langkah baginda dalam memartabatkan Islam. 

Mudahan kita semua dapat mengikut jejak langkah baginda. 

Dr. Muhamad Faisal 

Nota: 
Ghazwah ialah pasukan tentera yang diketuai sendiri oleh Rasulullah
Sariyyah ialah pasukan tentera yang diutuskan oleh Rasulullah untuk misi tertentu dan diketuai oleh sahabat. 

Antara buku sirah yang terbaik ialah:
Qiraah siyasiyyah li al-Sirah al-Nabawiyyah - Muhammad Rawwas Qalah Ji 


Ghazawat al-Rasul - Dr. Ali Muhammad al-Sallabi


Post a Comment

0 Comments