MEDIA BARU ANTARA FITNAH DAN DAKWAH

Pendahuluan 

Media baharu telah menjadi sebahagian dari kehidupan masyarakat moden pada hari ini. Ia tidak boleh berpisah terutamanya di kalangan generasi muda kerana ia bukan sahaja alat komunikasi tetapi boleh dianggap sebagai keperluan hidup. Malahan, berdasarkan kepada trend penggunaannya pada masa kini, media baharu boleh dianggap sebagai tuhan lantaran ia yang mencorakkan kehidupan masyarakat pada hari ini. Penggunaan media ini selain dari memberikan kebaikan dan memudahkan kehidupan manusia, tetapi atas sifatnya sebagai sebuah teknologi, ia memberikan fitnah kepada manusia secara minda bawah sedar. Kesan minda bawah sedar ini sangat penting kerana ia berlaku secara tidak langsung tanpa disedari oleh manusia. Ramai yang menyebut bahawa “penggunaan teknologi ini kalau digunakan untuk kebaikan, maka ia akan jadi baik. Manakala, kalau sebaliknya, ia akan jadi tidak baik”. Ini adalah kesan langsung dan ia adalah di bawah kawalan minda sedar. Artikel ini akan membincangkan aspek fitnah media baharu terhadap pemikiran secara minda bawah sedar yang memberikan cabaran yang besar kepada dakwah. Semua pihak perlu memahami dan berwaspada dengan fitnah yang tersembunyi di sebalik media baharu dan impak negatifnya kepada masyarakat. Ia mungkin tidak disedari kerana ia merupakan dimensi yang tidak nampak tetapi ia telah pun merobah struktur masyarakat yang ada pada hari ini.



Maksud Fitnah 

Perkataan Fitnah di dalam al-Quran membawa beberapa maksud yang secara umumnya merujuk kepada perkara yang buruk dan kebinasaan. Dari sudut bahasa, fitnah membawa maksud ujian (الإختبار) dan cubaan (الإبتلاء). Walau bagaimanapun, di dalam minda rata-ratanya orang Melayu, apabila disebut perkataan fitnah, ia membawa maksud tuduhan dusta atau palsu ke atas seseorang. Walaupun ia tidaklah salah sepenuhnya, tetapi ia telah menyempitkan makna fitnah itu sendiri. Di dalam al-Quran terdapat beberapa maksud fitnah yang lebih luas lagi dari itu seperti yang terdapat dalam beberapa ayat berikut:

       Syirik (Surah al-Baqarah: 191, 193 & 217)
       Ujian dan cubaan (Surah Toha: 40 & al-Ankabut: 3)
       Seksa (Surah al-Ankabut: 10, al-Dhariyat: 14 & al-Nahl: 110)
       Dosa (Surah at-Taubah: 49)
       Kekufuran (Surah al-Taubah: 48)
       Pembunuhan dan kebinasaan (Surah al-Nisa': 101)
       Berpaling dari jalan kebenaran (Surah al-Ma'idah: 49 & al-Isra': 73)
       Sesat (Surah al-Ma'idah: 41)
       Alasan (Surah al-An'am: 23)
       Gila (Surah al-Qalam: 6)

Di dalam Hadis Rasulullah pula, Fitnah membawa maksud perselisihan, peperangan, ujian, cubaan, kelalaian, pembunuhan, penyiksaan, kemungkaran, maksiat, kufur, berpaling dari agama. Sekiranya diamati maksud fitnah itu dan dikaitkan dengan media baharu, ia membawa maksud keburukan dan impak negatif dari sudut agama terhadap manusia. Untuk memahami fitnah yang dibawa oleh media baharu, kertas ini akan membincangkan dari ciri media baharu dan enam fitnah media baharu.


Ciri dan dinamika media baharu 

Menurut Lister et al (2007), media baharu mempunyai empat ciri yang menjadikannya dinamik iaitu:
       Digitality merujuk kepada proses mengubah bentuk data kepada bentuk digit dan nombor yang dihilangkan bentuk fizikalnya. Setelah diubah, data tersebut dapat diubah, diakses dan disebarkan dengan cara yang mudah.
       Interactivity merujuk kepada kemungkinan medium ini yang boleh untuk memberikan tindak balas kepada apa yang mereka baca dan lihat.
       Hypertextuality merujuk kepada hasil kerja yang terdiri daripada unit-unit berasingan yang masing-masing menyumbang kepada pembentukan unit yang lain.
       Virtuality merujuk kepada teknologi yang membolehkan pengguna bertindak balas tentang sesuatu perkara dan berinteraksi persekitarannya.

Ke empat elemen ini telah menjadikan media baharu dinamik yang dapat diperhatikan dalam lima dimensi iaitu:

       Identiti bergerak (identity fluidity)
       Anti-hierarki (anti hierarchical)
       Anonimiti (anonymity)
       Kuasa ekstrim di tangan individu (extreme power at individual)
       Bersifat antarabangsa (internationalism)


Sorotan Perkembangan Media Baharu di Malaysia

Sejak tahun 1997, masyarakat mula diperkenalkan dengan internet dan aplikasi pertama ialah laman web. Pada ketika itu, membina sebuah laman web tidaklah mudah kerana pembinanya perlu mengetahui sistem coding dan java. Suasana politik yang agak kalut pada tahun 1998 telah menyemarakkan lagi perkembangan laman web kerana masyarakat inginkan maklumat alternatif bagi mengimbangi maklumat yang diperolehi dari media traditional. Pada awal 2000, setelah pengguna mula membiasakan diri dengan internet, ramai yang mula memiliki email dan seterusnya komunikasi secara maya berlaku menerusi mailing list atau e-group. Ia merupakan metode komunikasi di dalam sekumpulan emel yang disebut sebagai e-group, apabila satu posting dihantar ia akan diterima oleh semua emel di dalam e-group itu. Seseorang boleh menyertai banyak e-group dan pastinya setiap hari dia akan menerima banyak emel sekiranya semua e-group itu aktif. Komunikasi menerusi medium ini telah berkembang dengan baik dan banyak e-group yang telah dibentuk pada ketika itu berasaskan tema tertentu seperti agama, wanita, pendidikan dan sebagainya. Bilangan jumlah e-group bertambah dan begitu juga dengan jumlah ahli dalam sesetengah e-group pula bertambah sehingga sesetengahnya melebihi 10 ribu ahli. 

Dalam masa yang sama, terdapat satu lagi aplikasi yang dinamakan dengan Forum Internet yang menyajikan medium perbincangan yang lebih berstruktur berbanding dengan e-group. Topik perbincangan disusun dengan urutan tersendiri dan pengunjung boleh menyertai perbincangan ini dengan syarat mendaftar terlebih dahulu sebagai ahli. Apa yang membezakannya dengan e-group ialah pengguna perlu terlebih dahulu membuka laman web berbanding dengan e-group yang komunikasi hanya menerusi emel. Terdapat banyak forum yang dibentuk seperti Zaharudin dan Bicara Sufi, namun sebahagian besarnya terbengkalai begitu sahaja kerana masalah komitmen untuk menyelenggara komunikasi di dalam forum ini.

Kemudian, pada sekitar pertengahan tahun 2000, blog telah mula mendapat tempat di Malaysia. Ia telah menjadi medium untuk meluahkan perasaaan, memberikan pandangan dan mengutarakan komentar mengenai pelbagai isu tanpa batasan. Kombinasi teks, gambar, audio dan video selain cara kendaliannya yang mesra pengguna dan memiliki ciri interaktif menjadikannya sebagai aplikasi internet paling popular berbanding e-group, forum dan laman web biasa. Blog begitu berpengaruh sehingga dikatakan bahawa kemenangan dan kekalahan calon dalam Pilihanraya ke12 di Malaysia, banyak disumbang oleh laman-laman blog. Terdapat satu kajian yang mengesahkan bahawa blog merupakan medium yang digunakan untuk mengkritik kerajaan berdasarkan daripada 193 blog yang dianalisa, 143 daripadanya tidak menyokong kerajaan (Suhaimee Saahar, 2008).

Kini, komunikasi menerusi laman web sosial sedang berkembang dengan pesat sekali. Ia merupakan perkhidmatan berasaskan laman web yang membolehkan individu menyediakan profil dirinya, menyenarai pengguna lain yang mempunyai kaitan dengannya, melihat dan berkomunikasi dengan mereka. Terdapat ratusan laman web jenis ini dan yang popular di Malaysia ialah Facebook. Facebook  melaporkan terdapat 6 juta orang pengguna di Malaysia yang kebanyakannya antara umur 12 hingga 35 tahun. Penggunaan SNS ini tidak terhad di Malaysia sahaja, malah ia merupakan fenomena yang berlaku di seluruh dunia. Apa yang dapat diperhatikan daripada trend penggunaan media baharu terutamanya di Malaysia, pengguna mula beralih daripada menggunakan komunikasi dengan komputer seperti komunikasi dengan laman web kepada komunikasi antara manusia yang menjadikan komputer hanya sebagai alat penyampai dan penerima sahaja.


Fitnah Media Baharu

Media baharu memang memberikan impak yang baik kepada masyarakat, tetapi ia juga turut membawa fitnah iaitu kesan yang buruk terhadap masyarakat. Antara aspek fitnah yang dibawa oleh media baharu ialah fitnah dari sudut pemikiran yang melibatkan ‘minda bawah sedar’ dan memberikan impak secara tidak sedar di dalam diri pengguna terutamanya generasi Y dan Z. Fitnah ini tidak boleh dipandang mudah kerana ia akan menjauhkan manusia daripada tuhan secara tidak langsung. Ada yang mengatakan “kalau media itu digunakan untuk perkara baik, maka kesannya baik, manakala kalau digunakan untuk perkara yang buruk, maka kesannya buruk”. Pandangan sebegini terlalu simplistik dengan media baharu dan menggambarkan ketidakfahaman tentang konsep, falsafah dan kandungan yang terdapat dalam media baharu. Walaupun pengguna itu menggunakannya secara baik pun, ia turut boleh membawa kesan buruk secara tidak langsung sekiranya dia tidak memahami hakikat media baharu. Berikut adalah enam fitnah yang dibawa oleh media baharu dari sudut pemikiran kepada masyarakat; nilai kehidupan yang individualistik, nilai aneh dan pelik untuk populariti, bahasa digital yang objektif, nilai kebebasan dan hak asasi, komunikasi tanpa hierarki dan nilai pluralisme dan kesamarataan. Berikut adalah huraian pada setiap satu daripada fitnah berkenaan.

1.    Media baharu mengajar nilai kehidupan yang individualistik

Internet dan media baharu telah menjadi sebahagian dari kehidupan masyarakat pada hari ini. Kehidupan mereka yang bergantung dengan teknologi telah menyemai sikap individualistik dan menjauhi masyarakat. Hal ini bertambah rumit dengan kedudukan ekonomi dan tahap status sosial mereka menyebabkan pergantungan dengan masyarakat semakin kurang. Sifat mereka yang agak individualistik ini menyebabkan mereka berasa tidak lagi bergantung dengan masyarakat dan tidak kisah dengan apa pun tanggapan masyarakat terhadap mereka. Ini berbeza dengan masyarakat tradisional yang hidup susah dan banyak bergantung dengan orang lain. Mereka cukup khuatir dengan persepsi dan respon negatif masyarakat terhadap diri dan keluarga mereka. Antara ungkapan yang penting di kalangan mereka ialah “apa orang kata” kerana sekiranya ada perkara salah yang mereka lakukan dari perspektif masyarakat, ia akan memberi kesan kepada mereka. Namun, dalam masyarakat moden yang individualistik, ungkapan yang kita sering dengar ialah “ada aku kisah” dan “ikut suka aku” biarpun pelik dan bercanggah dengan nilai masyarakat.

Kehidupan yang bergantung penuh dengan media baharu menjadikan masyarakat itu tidak mempedulikan hal orang lain dan berasa janggal apabila masyarakat masuk campur dalam urusan peribadinya. Amalan gotong royong dan semangat tolong menolong semakin lemah dalam masyarakat moden termasuklah sikap hormat-menghormati sesama jiran. Begitu juga dengan amalan tegur menegur yang semakin dipinggirkan kerana dianggap sebagai masuk campur urusan orang lain. Bukan yang ditegur itu salah, tetapi yang menegur itu pula yang salah. Ini merupakan suatu cabaran kepada usaha dakwah kerana dakwah bergantung kepada konsep kemasyarakatan. Hakikatnya dakwah memang perlu cakna tentang hal orang lain, bukan sekadar menegur tetapi mengajak dan membimbing sasaran dakwah kepada kebaikan.

2.    Media baharu mengajar nilai aneh dan pelik untuk populariti.

Fenomena masyarakat masa kini yang bergantung dengan teknologi menyebabkan kehidupan mereka bersandarkan kepada teknologi sepenuhnya. yang penting ialah mereka memperoleh kebahagiaan dan hanyut dengan dunia mereka. Malahan, mereka sengaja mencari keunikan dan kejanggalan. Oleh sebab itu, kecenderungan berselfie yang menjadi trend di dalam masyarakat moden kerana gambar itu akan dishare di dalam whatsapp, Facebook, instagram dll untuk memberikan keterujaan kepada orang lain. Jarang sekali, gambar selfie simpan sahaja di dalam memory handpone atau external hard disk. Nature komunikasi dalam dunia Facebook memerlukan elemen keunikan, kelainan, kepelikan dan kejanggalan untuk mendapat like, komen dan share yang tinggi. Facebooker memastikan posting mereka mempunyai semua elemen ini untuk meraih populariti, biarpun ia berlawanan dengan kelaziman atau menongkah arus. Ungkapan yang sering disebut di kalangan mereka ialah Ini baru rare”. Ringkasnya, ia merupakan frasa yang menggambarkan suatu bentuk pemikiran generasi Y yang berbangga dengan kejanggalan dan keanehan dalam aktiviti yang mereka lakukan.

Fenomena di atas merupakan fenomena masyarakat post modernism” yang mengkritik perkara yang menjadi amalan kebiasaaan dan mengambil sikap berlainan dengan tradisi. Bagi mereka, kejanggalan dengan masyarakat bukan sesuatu yang perlu dimalukan dan tidak semestinya salah, malah dalam sesetengah keadaan mungkin ia perlu dibanggakan. Oleh sebab itu, slogan Ustaz, ini baharu rare” yang terpacul keluar dari mulut mereka. Pada asasnya, pemikiran kejanggalan adalah baik, malah ia boleh menggalakkan sebuah inovasi dan kreativiti yang mungkin sahaja mendatangkan ciptaan dan penemuan baharu. Sebagai contoh, peniaga jubah dan tudung memerlukan keunikan design jubah dan tudung untuk memperoleh jualan yang tinggi. Sesungguhnya inovasi dan kreativiti dalam berfikir amat dituntut bagi menghasilkan penemuan baharu yang berimpak tinggi dan mencapai sebuah tamadun yang hebat. Namun, apa yang menjadi masalah ialah apabila kejanggalan itu melibatkan soal pemikiran yang menganggap mereka benar biarpun menyalahi syariat agama dan menyongsang dengan nilai budaya. 

Berbekalkan sedikit ilmu yang mereka pelajari di sekolah, malah di universiti, dan berbekalkan sedikit pembacaan yang mereka lakukan, mereka sudah berasa cukup bijak untuk berbeza dengan pandangan yang sudah diterima umum. Mereka mengkritik pandangan umum dan mengemukakan pandangan mereka biarpun berlawanan kerana bagi mereka pandangan minoriti itu tidak semestinya betul. Contohnya mereka mengkritik sistem pendidikan di IPT yang bagi mereka tidak releven, menolak sistem beraja dan kesultanan Melayu yang tidak releven dan mengkritik ahli agama yang bagi mereka perlu berpenampilan sederhana, tidak boleh bermewah-mewah. 


3.    Media baharu mengajar bahasa digital yang objektif

Internet dan media baharu menggunakan bahasa digital yang sifatnya objektif. Laras bahasa ini mengajar erti ketepatan dalam membuat penilaian, bukan berteraskan kepada nilaian yang subjektif. Ini berlainan dengan nilai kemanusiaan yang banyak memerlukan kepada banyak pertimbangan berteraskan kepada akal kerana manusia tidak sama antara satu sama lain. Nilai hormat menghormati, kesusilaan, kebertanggungjawaban dan sebagainya merupakan nilai yang hanya boleh dilakukan oleh manusia, bukan komputer. Sebagai contoh, bermain game akan menyemai sifat kurang belas kasihan kerana dalam alam realiti, nyawa hanya satu dan ia sangat berharga. Namun dalam game, ia boleh membunuh orang yang sama berkali-kali tanpa rasa belas kasihan. Apabila laras bahasa ini digunakan oleh generasi masa kini, maka ia secara tidak langsung melemahkan pertimbangan kemanusiaan. Oleh sebab itu, ramai orang sekarang merungut tentang anak-anak sekolah yang tidak lagi menghormati orang yang lebih tua dan bersifat kurang ajar berbanding dengan kanak-kanak dahulu. Sebenarnya, ini adalah hasil daripada anak-anak sekarang yang menggunakan laras bahasa digital yang bersifat objektif.

Penilaian yang objektif sangat baik untuk membawa kepada kemajuan kerana sains itu sendiri antara lain bercirikan objektif. Ia akan mengajar erti ketepatan namun dalam masa yang sama kelemahan yang ketara ialah apabila ia menghilangkan nilai kemanusiaan. Tinggal lagi kekuatan nilai adat dan budaya setempat yang dididik di dalam rumah, namun tidak semua berjaya kerana pengaruh bahasa ini.


4.    Media baharu mengajar komunikasi tanpa hierarki

Komunikasi tanpa hierarki ini muncul sejak media berada di tangan masing-masing. Mereka boleh mengkritik dan bercakap apa sahaja yang mereka mahu tetapi masalahnya bertanggungjawabkah mereka? Memberikan kritikan ini memang mudah dan kadangkala ada memang berasas. Namun, kadang-kadang pula gaya pengkritik itu yang berjiwa kecil persis anak-anak menampakkan bahawa kritikan itu hanyalah didasari semata-mata oleh semangat dan emosi. Bukan tidak boleh mengkritik, tetapi kritik yang tidak bertanggungjawab itulah yang menjadi masalah. Ramai yang boleh bercakap, tetapi tidak ramai yang ingin menyelesaikan masalah. Hal ini penting di dalam kehidupan bermasyarakat kerana kalau semua memegang ‘lajnah pengkritik’, maka siapakah yang akan menjadi pelaksana. Oleh sebab itu, ramai yang suka memberikan kritikan di dalam whatsapp tetapi apabila diminta berdepan, tidak ramai yang berani tampil dan bertanggungjawab. Ini bukan bermakna kita menolak sebarang kritikan dan membela pihak pelaksana dan autoriti, tetapi perlu ada keseimbangan.

Sejajar dengan komunikasi tanpa hierarki ini ialah kemunculan sikap yang tidak boleh dikongkong dan menolak autoriti. Internet mengajar dan menyemai erti kebebasan serta  tidak/ kurang mahu memberikan komitmen pada satu-satu perkara. Komitmen melahirkan sebuah tanggungjawab, dan ini adalah perkara yang mereka kurang mahu. Oleh sebab itu, perjuangan yang berteraskan agama dan juga bangsa tidak mendapat tempat dalam pemikiran mereka dan mereka lebih komited dengan apa yang mereka fikirkan betul dan bercakap mengikut keinginan mulut mereka. Sebagai contoh, adakah graf perceraian yang semakin meningkat dan fenomena lambat berkahwin di kalangan generasi muda hari ini antara lain disebabkan oleh sifat “less responsibility” di kalangan mereka?

5.    Media baharu mengajar nilai kebebasan dan hak asasi

Media baharu telah menyediakan bank maklumat yang sangat besar lagi  interaktif. Ia boleh dianggap sebagai ikon yang membawa simbol kebebasan kerana ia menyediakan segala macam maklumat yang diperlukan. Kalau dahulu, kita dibelenggu dengan kejahilan, tetapi kini kejahilan itu boleh dihapuskan dengan media baharu yang sedia mendedahkan pelbagai maklumat. Tiada lagi halangan dari sudut maklumat kerana semua itu boleh dicari dengan media yang ada di tangan masing-masing. Secara tidak langsung, media baharu mengajar erti kebebasan, biarpun ia merupakan kebebasan maklumat, tetapi ia merupakan kebebasan yang sangat bererti dalam kehidupan manusia.

Kebebasan itu bukan sekadar dari sudut maklumat yang mereka boleh peroleh dalam media baharu, tetapi ia juga menyediakan medium yang sangat untuk mengungkapkan apa yang mereka inginkan dan apa yang mereka rasa betul. Sejak media berada di tangan masing-masing, semua ingin bercakap tentang diri mereka dan juga tentang hal orang lain. Antara tajuk yang selalu diungkapkan tentang keinginan mereka dan juga tentang hak mereka kerana media baharu mengajar erti kebebasan dan hak asasi. Mereka rasa ada kekuatan untuk mengungkapkan apa yang mereka rasa betul kerana mereka juga mendapat sokongan rakan dan kenalan yang sama aliran pemikiran dengan mereka.


6.    Media baharu mengajar erti, pluralisme dan samarata

Di dalam alam maya, hidup bagaikan berada dalam komuniti yang sangat besar. Apabila sudah terlalu luas, komuniti mereka akan terbentuk dari kalangan mereka yang sama  aliran pemikiran dengan mereka. Ia tidak lagi berada dalam komuniti traditional yang terikat dengan aspek fizikal dan kedudukan geografi tetapi diikat dengan ciri persamaan yang sepunya. Dengan kepelbagai jenis masyarakat yang wujud, ia dinamakan dengan plurality. Ia tidak dapat dielakkan kerana lagi maju manusia, lagi saling manusia memerlukan antara satu sama lain. Namun, apa yang menjadi masalah ialah kehilangan dimensi agama akan menyebabkan nilai jati diri semakin hilang dan akan membawa kepada idea kesamarataan antara agama. Ketidak kemampuan mereka untuk bercakap dan berhujah dari sudut agama yang memerlukan paduan antara nas dan lojik menyebabkan ramai mereka yang lebih selesa untuk tidak memperkatakannya dari perspektif Islam. Lanjutan daripada kebebasan yang hampir mutlak di dalam media baru dan kepelbagai jenis masyarakat, mereka lebih selesa bercakap dari sudut keadilan dan kesamarataan yang difikirkan dari sudut pemikiran mereka sahaja.


Media Baharu untuk dakwah

Sifat teknologi ialah untuk memudahkan urusan manusia, tetapi yang perlu dibincangkan ialah adakah teknologi itu membawa kebahagiaan kepada mereka atau sebaliknya? Berdasarkan kepada senario di atas, teknologi media baharu memberikan pro and cont kepada aspek kemanusiaan yang merupakan pengguna kepada teknologi itu. Ia adalah salah satu bentuk kemajuan dan pencapaian yang terhasil dari perahan akal, idea dan usaha. Terdapat dua perkara di dalam perbincangan tentang teknologi termasuklah teknologi komunikasi; apsek material iaitu tentang teknologi itu sendiri dan juga aspek kesan pemikiran iaitu falsafah di sebalik teknologi itu sendiri.

Aspek material atau pun kemodenan adalah topik perbincangan saintis dan teknokrat tetapi aspek pemikiran adalah topik perbincangan ahli agama dan ahli sains sosial yang berbincang sejauh manakah sesuatu teknologi itu membawa kesan yang baik kepada masyarakat. Aspek kedua yang turut dikenali sebagai modernism. (Nota: Ia mempunyai pelbagai maksud dan tafsiran. Di dalam tulisan ini ia merujuk kepada pemikiran yang menganggap bahawa kemajuan material adalah asas kepada kebahagiaan manusia). merupakan nilai perlu menjadi perhatian para pendakwah pada era ini.

Terdapat tiga pendekatan yang perlu diambil kita oleh pendakwah iaitu:

1.    Kefahaman tentang tuhan baru yang membawa kesesatan

Perkara utama yang perlu difahami oleh pendakwah ialah konsep teknologi sebagai tuhan baru kepada manusia zaman moden. Kesesatan pada zaman dahulu antara lain disebabkan oleh isu yang berkaitan dengan ketuhanan. Namun, pada masa kini kesesatan berpunca daripada kesesatan dalam mencari keselesaan dalam kehidupan. Tuhan tidak lagi penting bagi mereka kerana aspek ketuhanan tidak memberikan keselesaan kepada manusia, malah menyusahkan manusia dengan pelbagai tanggunghjawab. Mereka tidak perlu kepada agama, dan keperluan mereka ialah kepada keselesaan kepada kehidupan. Memahami trend semasa merupakan sebahagian daripada cara penyelesaian terhadap permasalahan yang berlaku.

2.    Pengajaran agama yang berteraskan kepada nas dan dikukuhkan dengan lojik

Pengajaran agama pada zaman ini memerlukan paduan yang bijak antara nas dan lojik. Nas perlu menjadi teras manakala lojik digunakan untuk menguatkan nas. Generasi baru ini diajar dengan pendekatan berfikir aras tinggi dan dilatih untuk berfikir secara lojik dan rasional atas nama inovasi dan kreatif. Begitu juga, dengan kemajuan teknologi yang ada pada masa kini telah menanam nilai rasional yang kuat pada mereka. Kegagalan pendakwah dan tenaga pengajar memberikan jawapan yang sesuai dengan laras rasional mereka, ajaran agama itu akan dipinggirkan. Pendakwah perlu bantu mereka membentuk cara berfikir yang betul kerana itu akan memandu mereka dalam kehidupan.

3.    Mengajar perbandingan agama

Sesuatu itu akan dilihat bernilai apabila dibuat perbandingan. Kadang-kadang kita tidak menghargai agama Islam yang hebat kerana kita pernah membandingkannya dengan agama lain. Pengajian dan perbincangan tentang perbandingan agama perlu ditingkatkan terutamanya di dalam masyarakat yang pluralistik pada hari ini. Ia perlu untuk dibincangkan secara tertutup dan terbuka untuk menonjolkan aspek kebaikan dan aspek kelemahan dalam semua agama dari sudut pemikiran, amalan dan ritual. Malahan, menerusi cara perbandingan agama ini, orang Islam akan lebih memahami Islam itu sendiri.


Penutup

Media baharu membawa kesan yang sangat dalam kepada masyarakat terutamanya kepada generasi Y dan Z. Para pendakwah hendaklah berperanan untuk mengolah minda mereka dan memandu mereka agar mempunyai cara dan gaya berfikir dengan betul. Kesesatan yang timbul hasil dari media baharu ini perlu digarap di Ilmu tauhid yang dinamakan dengan ilmu Tauhid Kontemporari. Ilmu Tauhid bukan sekadar membicarakan tentang kehidupan, tetapi membicarakan tentang cara berfikir manusia yang betul terhadap realiti kehidupan termasuk jugalah aspek ketuhanan. Ia seharusnya juga menumpukan kepada memandu manusia daripada terjebak dengan pemikiran yang sesat hasil daripada interaksi dengan kehidupan. Peranan dan tugas pendakwah semakin besar dan banyak kerana jalan kesesatan dan jalan yang boleh melemahkan akidah semakin banyak. Fitnah yang dibawa oleh media baharu ini perlu dicermati dengan baik untuk memastikan bahawa kesan negatifnya dapat diminimumkan. 

Post a Comment

0 Comments