Tazkirah Idilfitri (siri 2): Ingke sangat mengkeme ni?.

Ingke sangat – Seronok sangat

Sambungan dari bah 1.

9. Bagi meraikan kegembiraan orang Islam pada hari raya, Allah telah mensyariatkan takbir pada malam dan pada pagi hari raya agar kebisingan itu bukanlah sesuatu yang sia-sia dan lagha. Tetapi Takbir itu merupakan isyarat dari Allah agar kebisingan  dan hiburan itu terkawal, terarah kepada mengesakan Allah dan beribadah kepadaNya. Bergembira itu dibenarkan di dalam Islam, tetapi perlulah berada dalam ruang lingkup yg dibenarkan oleh Allah.
 
10. Hikmah Allah menetapkan waktu takbir raya itu pendek sahaja (iaitu dari Maghrib 1 Syawal hingga Solat Hari Raya) supaya orang Islam tidak leka berseronok dalam sambutan kejayaan mengalahkan nafsu. Orang Perak kata "Jangan ingke sangat" kerana mulai 1 Syawal, syaitan mula dilepaskan untuk menggoda manusia. Orang Islam perlu bersiap untuk berhadapan dengan godaan dan bisikan syaitan dengan menggunakan bekalan amalan pada bulan Ramadan. Justeru, momentum ibadat perlu dikekalkan seawal 1 Syawal lagi dan berterusan hingga bulan Ramadan tahun hadapan.
 

11. Amalan Rasulullah ketika hari raya ialah dengan mengadakan solat hari raya di padang yang luas dan mengerahkan semua orang, laki dan perempuan walaupun haid untuk pergi menunaikan solat sunat hari raya. Disunatkan memakai pakaian yang indah dan keluar/balik bukan dari jalan yang sama. Himpunan besar di padang yang luas dengan memakai pakaian yang indah menggambarkan erti kegembiraan yang ada pada orang Islam. Malahan baginda turut menyertai hiburan, pertunjukan dan sukaria yang lain pada hari raya.
 
12. Oleh kerana hari raya adalah hari seronok dan hari membesarkan Allah. Justeru, segala elemen kesedihan patut ditiadakan seperti ziarah kubur yang membawa kepada kesedihan. Amalan ini sebenarnya kurang bertepatan dengan semangat hari raya itu sendiri. Walau bagaimanapun, kalau hanya setahun sekali sahaja balik kampong, eloklah juga pergi ziarah kubur mak bapak tetapi elemen kesedihan itu perlu diminimumkan.
 
13. Selain itu, kalau diperhatikan takbir hari raya orang Melayu sangat berbeza dengan takbir orang arab. Walaupun lafaznya sama tetapi iramanya yang berbeza. Takbir melayu tangkap lentok, takbir arab semangat. Lihat contoh takbir raya arab

 
14. Berasaskan kepada takbir raya idilfitri tidak sampai sehari pun, bermakna sambutan hari raya sekejap sahaja. Tetapi, telah menjadi budaya di Malaysia sekarang khasnya di kawasan bandar, puasa sebulan dan raya pun sebulan juga. Rumah terbuka dijadikan kesempatan untuk menautkan sillaturahim sesama keluarga dan jiran tetangga serta sahabat handai. Keghairahan menyambut syawal dan open house menyebabkan puasa 6 nanti tak cukup. 

15. Takbir raya bukan untuk menunjukkan rasa kesyahduan dan kesedihan kerana ingat kampung halaman / raya berjauhan / ingat ayah ibu. Takbir untuk melahirkan keinsafan dan kegembiraan atas amalan yg dilakukan.

16. Takbir pada zaman Rasulullah meniupkan semangat jihad, padan dengan rentak dan iramanya. Orang sekarang bukan sekadar tidak berjihad dan tak tau makna jihad, tapi yg jahat pun ramai. 

👍org melayu suka tangkap leleh...😁takbir pun buat jadi jiwang.

17. Kemeriahan
Puasa tak meriah mana sebab tak boleh makan. Raya meriah bagai nak gila sebab boleh makan. 

Solat jumaat wajib, tapi tak meriah mana, sebab pakai baju kerja pun boleh.
Solat sunat raya sunat aje, tapi meriah gila sebab nak tunjuk baju raya. 

Bulan Ramadan meriah melawan nafsu, bulan Syawal meriah menjamu nafsu. 


Sama-samalah kita menyambut idilfitri dengan penuh keimanan kepada Allah. "Jangan ingke sangat".

Dikesempatan saya menyusun 10 jari memohon berbanyak kemaafan atas segala kesalahan dan kesilapan. Semoga segala amal baik kita diterima oleh Allah. 

Post a Comment

0 Comments