Terdapat cara yang seringkali diikuti oleh
pelajar dalam menulis tesis, tetapi cara ini hanyalah sekadar meringkaskan
tulisan / artikel / dapatan kajian yang telah dibuat oleh pengkaji yang lain. Kemudian mereka menyimpulkannya dalam satu dua perenggan sahaja ke semua
ringkasan yang ditulis itu. Ini yang menyebabkan tesis menjadi tebal, tetapi
tiada banyak analisis dan idea dari pelajar itu sendiri.
CONTOHNYA
Konsep Keganasan
Konsep Keganasan
Keganasan didefinisikan sebagai sesuatu ancaman
yang menyalahi undang-undang antarabangsa yang melibatkan keganasan serius
terhadap orang, harta atau sesuatu institusi dengan tujuan memajukan politik,
ekonomi, agama atau ideologi (Syed Faruqi, 2003). Selain itu, keganasan
diistilahkan sebagai penggunaan kekerasan dengan niat menimbulkan ketakutan
kepada sasaran melalui strategi pertempuran yang dirancang untuk mencapai
objektif politik (Arend & Beck 2013). Di samping, keganasan merujuk kepada orang
dan kepada tindakan ganas seperti pengeboman, pembunuhan dan seumpamanya (Miller
2009).
Definisi yang dikemukakan oleh Laqueur (2002) juga
hampir sama iaitu ancaman yang dilakukan melalui kekejaman dengan strategi
pertempuran yang dirancang bagi mencapai matlamat yang dirancang bahkan ianya
keganasan yang dilakukan secara sistematik oleh seseorang individu untuk
mencipta dan menggunakan paksaan, ugutan dan ketakutan berdasarkan tindakan
mereka untuk membawa perubahan sosio-politik. Laqueur menambah, keganasan juga
merupakan keganasan asal yang telah muncul dalam pelbagai bentuk yang berbeza
seperti dalam pergerakan agama, pemberontakan politik dan kebangkitan sosial.
Keganasan menurut Paul Wilkinson (2006) dilihat
berbeza dari kekejaman yang lain berdasarkan kepada beberapa karakter antaranya
ia direka dan dirancang terlebih dahulu untuk mewujudkan suasana ketakutan yang
melampau yang mana serangan diarah dan ditujukan secara rawak kepada sasaran dalam
jumlah yang lebih besar. Ianya digunakan bagi mempengaruhi tingkah laku politik
kerajaan, masyarakat atau kumpulan sosial yang tertentu walaupun tidak
digunakan secara eksklusif. Akan tetapi ianya tetap melanggar undang-undang.
Thorton (1964) dalam (Shaharom 2002) mengemukakan istilah keganasan adalah penggunaan
pengganas sebagai tindakan simbolik yang dirancang untuk mempengaruhi
kebijaksanaan dan tingkah laku politik dengan cara extra-normal,
khususnya penggunaan atau ancaman kekerasan. Definisi hampir sama yang
dikemukakan oleh James Poland (1991) iaitu
keganasan merupakan suatu penciptaan yang disengajakan dan ketakutan yang
dieksploitasi melalui ancaman keganasan terhadap orang yang tidak bersalah dalam
mencapai perubahan politik.
Manakala Combs menyatakan keganasan adalah lakonan
keganasan yang dilakukan ke atas sasaran yang tidak bersalah dengan harapan
untuk mewujudkan suasana ketakutan bagi tujuan politik dan sistem agama (Combs, 2004). Menurut Silke (2003) pula,
istilah keganasan yang digunakan adalah untuk menunjukkan perbuatan ganas yang
melanggar sifatnya yang menentang norma dan hak asasi manusia.
Dari definisi di atas, dapatlah dirangkumkan
bahawa keganasan memiliki tiga komponen utama iaitu pelaku, tindakan dan
sasaran. Ia memberikan kekuasaan kerana berhak melakukan apa sahaja mengikut
fikiran dan perasaannya. Malah keganasan juga suatu proses taktikal yang wujud
dalam jenayah, ideologi, nasionalisme dan sebagainya. Ia merupakan tindakan
yang melanggar undang-undang disebabkan aplikasi kekerasan atau ancaman
kekerasan yang dilakukan adalah bertujuan untuk menakutkan masyarakat.
KOMEN; Penulisan di atasnya menjelaskan beberapa
definisi tentang keganasan dari pelbagai pengkaji, kemudian dalam satu
perenggan, disimpulkan sahaja semua pandangan itu. Sebaiknya pelajar perlu
untuk menjelaskan dari awal lagi beberapa konsep atau jenis definisi yang
digunakan oleh para pengkaji di dalam mendefinisikan keganasan. Kemudian,
barulah pelajar membincangkan definisi itu berdasarkan kepada klasifikasi yang
telah dibuat.
CONTOHNYA
Konsep Keganasan
Keganasan secara umumnya boleh didefinisikan sebagai sesuatu ancaman yang menyalahi undang-undang antarabangsa yang melibatkan keganasan serius terhadap orang, harta atau sesuatu institusi dengan tujuan memajukan politik, ekonomi, agama atau ideologi. Di dalam mendefinisikan keganasan ini, para pengkaji melihatnya dari tiga sudut iaitu pelaku, tindakan dan sasaran.
Dari sudut pelaku, kebanyakan para pengkaji
melihatnya sebagai kelompok kecil yang biasanya tidak mendapat tempat di dalam
masyarakat. Oleh sebab itu, mereka sengaja melakukan tindakan itu sebagai usaha
untuk mendapat perhatian dari orang ramai bagi mencapai matlamat tertentu.
Sebagai contoh, Combs (2004) menyatakan keganasan adalah lakonan keganasan yang
dilakukan ke atas sasaran yang tidak bersalah dengan harapan untuk mewujudkan
suasana ketakutan bagi tujuan politik dan sistem agama. Kebanyakkan pengkaji
mengaitkan pelaku ganas ini dengan kelompok yang kecil kerana biasanya mereka
akan melakukan tindakan itu bagi menunjukkan bahawa mereka mempunyai kekuatan
yang besar.
Dari sudut tindakan pula, pengkaji mengaitkan
tindakan itu sebagai ganas disebabkan matlamatnya untuk menaikkan emosi takut. Oleh
sebab itu, mereka memilih untuk melakukan tindakan ganas itu di tempat awam seperti
yang kita dapat lihat di WTC. Ini dapat dilihat dari definisi yang dikemukakan
oleh beberapa pengkaji seperti Thorton (2015) dan (Shaharom 2002) yang mengaitkan istilah keganasan denagn tindakan
simbolik yang dirancang untuk mempengaruhi kebijaksanaan dan tingkah laku
politik dengan cara extra-normal, khususnya penggunaan atau ancaman
kekerasan.
KOMEN: Apabila pembaca membaca
sub tajuk, pembaca sudah mendapati idea tentang keganasan dari awal lagi dan ia
adalah hasil analisis yang sistematik dari pelajar. Ini berbeza dengan tulisan
yang pertama tadi di mana pelajar mengemukakan ringkasan pandangan dari para
pengkaji, kemudian hanya menyimpulkannya dalam satu perenggan sahaja. Pembaca
terpaksa teraba-raba apa sebenarnya yang ingin diperkatakan oleh pelajar sehinggalah
pada perenggan yang terakhir, baru jumpa.
0 Comments