Doa bukan sekadar meminta tetapi ia sebagai tempat
mengadu dan bergantung harap dengan Allah. Bukan Allah tidak tahu kita susah, kita
sakit, kita dizalimi dan kita ditindas, tetapi Allah mahu mendengar rintihan dan
aduan dari manusia agar merasakan dirinya hampir dengan Allah.
Sifat orang yang beriman ialah tidak lekang dari berdoa
dan bermunajat dengan Allah. Mengadu segala masalah dan urusan dengan Allah. Merintih
atas segala kezaliman yang menimpa diri
dan masyarakatnya. Sebarang kesusahan, kesulitan dan kepayahan dalam kehidupan,
diajukan kepada Allah. Kepada siapa lagi tempat dia berharap, bermunajat dan
berdoa melainkan kepada Allah.
Sewaktu senang, dia juga berdoa dengan memuji Allah,
menyebut kebesaran Allah, menghitung segala nikmat yang diberikan oleh Allah
sehingga merasa dirinya terlalu kerdil dalam lautan nikmat dan kebesaran Allah.
Hubungan yang baik ketika senang ini akan memudahkan Allah menerima doanya
ketika dia susah.
Orang yang bongkak dan sombong payah benar untuk berdoa
kepada Allah, malahan ada yang tidak ada sepicing rasa untuk berdoa kepada
Allah. Tidak mahu berharap kepada Allah. Tidak mahu bergantung kepada Allah. Tidak
mahu meminta bantuan Allah. Semuanya boleh dilakukan dengan usaha mereka
sendiri tanpa perlu bantuan Allah.
Berbisiklah dengan Allah, ucaplah rasa syukur dan pujian
yang tinggi kepada Allah, ajukan segala permintaan kepada Allah. Itu tanda ada
iman dalam hati.
Dr. Muhamad Faisal
0 Comments