Siri 1/50: ADAKAH LIBERAL ITU MAHU KEBEBASAN TANPA BATASAN?

Apakah konsep utama kepada liberalisme ? Adakah liberal itu mahu kebebasan tanpa batasan?

Apakah hubungan antara liberalisme dan individualisme?


 

Syubhah: Ada yang berpandangan bahawa liberal bererti kebebasan dan kebebasan yang dimahukan  itu ialah kebebasan yang mutlak. Apakah benar seorang yang liberalis mahukan kebebasan yang mutlak?

 

Penjelasan

Tunjang utama kepada idea liberalisme ialah “penghormatan terhadap kebebasan individu”. Golongan liberal mempercayai bahawa setiap manusia perlu menghormati tujuan hidup, pandangan dan kepercayaan seseorang individu tanpa sebarang paksaan. Mereka menuntut untuk dihormati tujuan hidup, pandangan dan kepercayaan seseorang individu. Bagi mereka, tidak boleh memaksakan tujuan hidup, aturan moral dan kepercayaan yang datang dari orang lain termasuklah dari agama. Fawcett menegaskan : “liberals hoped for ethical order without appeal to divine authority” (Maksudnya: Golongan liberal mengharapkan suatu aturan etika tanpa perlu melibatkan autoriti Tuhan). Mereka meletakkan kebebasan individu sebagai nilai yang tertinggi, malahan sampai ke tahap mempertuhankan kehendak individu.

Golongan liberal bertentang dengan golongan konservatif yang meletakkan kepentingan masyarakat melebihi kepentingan peribadi. Golongan konservatif menganggap kebebasan individu dan pilihan peribadinya boleh mengancam kepercayaan dan aturan masyarakat. Sebaliknya, golongan liberal mahu membebaskan diri dari kongkongan adat, budaya dan agama, seterusnya mengikut selera, kehendak dan keinginan. Kehendak dan kepentingan peribadi lebih penting dari kepentingan masyarakat. Oleh itu, golongan liberal akan bercanggah dengan agama kerana agama menjaga hubungan dengan tuhan dan lebih menjaga kepentingan masyarakat berbanding hak individu.  

Golongan liberal tidak kisah sekiranya ada orang solat, puasa, menutup aurat dan sebagainya. Tetapi mereka tidak dapat menerima sekiranya mereka dipaksa untuk solat dan menutup aurat sekiranya itu bukan kehendak dan kerelaan mereka. Mereka menolak sebarang paksaan atas nama agama. Hak individu yang diperjuangkan oleh golongan liberal jelas bercanggah dengan Islam kerana apa yang mereka perjuangkan sebenarnya bukanlah suatu hak tetapi ianya lebih kepada suatu keinginan. Namun, bukan semua golongan liberal mahu kebebasan mutlak kerana mereka memahami bahawa tiada kebebasan mutlak kepada manusia. Mereka menolak untuk dipaksa atas nama agama dan menentang segala bentuk paksaan dari autoriti khususnya dari agama. 

Post a Comment

0 Comments