SIRI 4/50: APAKAH BENAR ADA PERBEZAAN ANTARA DOSA DAN JENAYAH?

 

Keraguan: Kesalahan manusia harus dibezakan antara dosa dan jenayah. Dosa termasuk dalam wilayah peribadi (private sphere) yang kesalahannya tidak boleh diambil tindakan seperti dosa meninggalkan solat dan puasa. Manakala jenayah pula merupakan perlakuan yang menganggu atau mengambil hak orang lain. Ia boleh dibanteras dan ditegah menerusi cara-cara yang dibenarkan oleh undang-undang. 

 

Apakah benar ada perbezaan antara dosa dan jenayah, dan antara wilayah peribadi dan wilayah umum? 

 


Penjelasan:

 

Pada asasnya, dosa adalah suatu kesalahan yang melanggar perintah Allah. Ia sama ada kesalahan dengan Allah sahaja seperti meninggalkan solat; atau kesalahan yang melibatkan manusia seperti mencuri dan membunuh. Kesalahan yang kedua ini dinamakan jenayah kerana ia mengambil dan menafikan hak orang lain. 

 

Sama ada kesalahan dengan Allah sahaja atau kesalahan dengan manusia, keduanya merupakan perkara dosa yang perlu untuk dijauhi. Memang terdapat perbezaan antara keduanya kerana dosa dengan Allah boleh dimohon keampunan dariNya, tetapi dosa dengan manusia tidak cukup dengan minta keampunan dari Allah tetapi dari manusia. 

 

Untuk menangani dosa dengan Allah, Islam menggunakan pendekatan bukan undang-undang seperti dakwah, nasihat dan sebagainya termasuklah amar makruf, nahi mungkar. Namun, sekiranya ada keperluan yang tertentu untuk menjaga kemaslahatan masyarakat, boleh dibuat peraturan dan panduan tanpa implikasi undang-undang. Kalau sekiranya ia boleh membawa suatu norma yang tidak baik kepada masyarakat, ia boleh disekat menerusi cara undang-undang. 

 

Sebagai contoh, perlakuan tidak puasa merupakan suatu dosa dengan Allah. Ia boleh ditangani dengan memberi nasihat yang baik, ingatan dan sebagainya. Namun sekiranya ia melibatkan perlakuan tidak puasa di khalayak ramai, ia boleh diambil tindakan undang-undang supaya perbuatan tidak puasa di khalayak ramai dapat dihindari. 

 

Bagi menangani kesalahan dengan manusia yang dikategorikan sebagai jenayah, ia ditangani dengan undang-undang. Pelanggaran undang-undang boleh diambil tindakan dan dikemukakan kepada pengadilan supaya diberikan hak kepada yang berhak dan diberikan hukuman yang setimpal. 

 

Malangnya, ada pihak yang menghighlightkan perbezaan antara kedua dosa ini atas asas dosa dengan Allah adalah dosa peribadi yang merupakan private sphere manakala dosa dengan manusia yang merupakan public sphere. Memang benar ada perbezaan antara keduanya, tetapi sekiranya tujuan menghighlightkan perbezaan ini hanyalah untuk mengelak dari amar makruf nahi mungkar, ia suatu tindakan yang salah. 

 

Mengangkat dosa peribadi sebagai wilayah peribadi yang tidak boleh diganggu dengan amar makruf nahi mungkar, dakwah dan nasihat, ia selaras dengan ajaran liberalisme yang mengagungkan kemahuan peribadi dan tidak mahu orang luar campur tangan mengawalnya.  Ia akan menggembirakan pelaku maksiat kerana ada ruang dan peluang untuk perlakuan dosa mereka dilindungi. Ia juga selaras dengan tuntutan pejuang hak asasi yang mahu ruang peribadi ini tidak diganggu. Mereka mahu agama tidak campur tangan dalam soal peribadi kerana soal keimanan adalah urusan peribadi. 

 

Membiarkan dosa peribadi berleluasa tanpa nasihat, teguran, kawalan dan cegahan HANYA AKAN menyebabkan kerosakan kepada masyarakat. Kemaksiatan dianggap sebagai normal dan diterima sebagai sebahagian dari masyarakat. Sebagai contoh, akibat dari membesarkan private sphere / wilayah peribadi, maka budaya couple boleh dianggap sebagai biasa dan dah tak boleh nak ditegur lagi. Apakah kita ingin membiarkan masyarakat rosak dengan kehendak peribadi mereka untuk minum arak, menonton ponografi, berkhalwat, mendekati zina dan sebagainya? 

 

Golongan liberal menentang usaha dakwah, nasihat, amar makruf nahi mungkar terhadap dosa peribadi ini atas alasan ia adalah perkara peribadi. Mereka juga menggunakan terma seperti tidak boleh mengintip (tajassus) kerana ia melanggar urusan peribadi seseorang. Mereka mendakwa Islam juga mengharamkan tajassus seperti yang disebut dalam al-Quran (). Ini termasuklah  sebuah athar dari Saidina Umar bin al-Khattab R.anhu yang mengintip seseorang yang meminum arak di dalam rumahnya.  

 

Namun, para ulama seperti Al-Imam Ibn Hajar memperincikan tajassus ini. Beliau menegaskan bahawa: 

"Benar, seseorang tidak boleh melakukan tajassus (intipan) terhadap Muslim yang lain. Namun sekiranya sesuatu aduan telah dibuat dari orang yang dipercayai (thiqah), maka ia adalah sesuatu yang diharuskan bagi mencegah kemungkaran. (Fath al-Bari, 10/482). 

 

Pandangan yang hampir sama dinukilkan oleh al-Imam Nawawi yang menyatakan pandangan al-Imam al-Haramain dan al-Mawardi berhubung keharusan melakukan operasi siasatan bagi mencegah perlakuan jenayah zina (Syarh al-Nawawi, 2/26). 

 

Menangani kedua jenis dosa ini memerlukan kepada kebijaksanaan. Ada yang ditangani hanya dengan dakwah dan ada yang dibanteras dengan undang-undang. Membesarkan wilayah peribadi hanya akan menggembirakan pelaku maksiat dan seterusnya akan membawa kerosakan kepada masyarakat. 

 

Post a Comment

0 Comments