Tahun masihi adalah kalendar yang berasaskan kepada matahari manakala tahun hijrah kalendar berasaskan kepada bulan. Kedua bulan dan matahari adalah alam semula jadi yang Allah ciptakan untuk kegunaan semua manusia. Ini dijelaskan di dalam firman Allah:
• هُوَ الَّذِي جَعَلَ الشَّمْسَ ضِيَاءً وَالْقَمَرَ نُورًا وَقَدَّرَهُ مَنَازِلَ لِتَعْلَمُوا عَدَدَ السِّنِينَ وَالْحِسَابَ مَا خَلَقَ اللَّهُ ذَلِكَ إِلَّا بِالْحَقِّ يُفَصِّلُ الْآَيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ (5)
Maksudnya: Allah lah yang menciptakan matahari sebagai terang dan bulan sebagai cahaya. Allah jugalah menetapkan orbit supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan membuat perkiraan. Allah tidak menjadikan semua itu dengan sia-sia melainkan dengan kebenaran. Allah jugalah memperincikan tanda-tanda untuk kaum yang mengetahui.
Ayat ini menegaskan bahawa matahari dan bulan merupakan ukuran yang Allah berikan kepada manusia untuk menentukan bilangan tahun dan kalendar. Ia bukanlah milik sesuatu bangsa atau kaum, malah ia adalah milik semua manusia sama ada Islam mahupun bukan Islam.
Allah telah mengiktiraf perkiraan berasaskan kepada matahari dan bulan seperti mana dalam firmanNya:
• وَلَبِثُوا فِي كَهْفِهِمْ ثَلَاثَ مِئَةٍ سِنِينَ وَازْدَادُوا تِسْعًا (25)
Maksudnya: Mereka tinggal dalam gua selama tiga ratus tahun (iaitu berasaskan tahun matahari) dan mereka menambah lagi sembilan tahun (berasaskan tahun matahari). Surah al-Kahfi.
Tegasnya, tahun hijri dan masihi itu adalah milik semua orang dan keduanya boleh diguna oleh orang Islam.
Maka, betulkah tahun masihi itu hanya untuk kristian, manakala tahun hijri itu untuk orang Islam? dan betulkah tahun masihi itu tahun Kristian, manakala tahun hijri itu tahun Islam?
Walau bagaimanapun, peristiwa penting di dalam Islam itu berkait rapat dengan tahun hijri. Namun, janganlah pula memandang negatif tahun masihi dan mengaggap ianya khusus untuk orang Kristian sahaja.
0 Comments