Thursday, December 24, 2009

Janji syurga bukan method dakwah kepada orang kaya?

Ketika pembentangan syarahan perdana oleh seorang Profesor daripada Indonesia di UKM pagi tadi, beliau berpandangan bahawa menjanjikan keindahan syurga kurang sesuai untuk dijadikan wasilah dakwah kepada non Muslim yang sudah selesa seperti mereka yang berada di barat. Keselesaan dan kesenangan yang ada pada mereka buat masa ini dan jangkaan pada masa hadapan meletakkan keselesaan mereka telah sampai ke kemuncaknya. Kalau nak dijanjikan dengan bidadari, mereka boleh dapatkan perempuan dengan apa sahaja rupanya, warna kulitnya, jenis rambutnya dan sebagainya. Kalau disebut kenderaan, mereka boleh memiliki kenderaan yang cukup canggih pada masa ini, bukan sahaja cepat tetapi dengan kos yang minima. Dengan kata lain, kalau kita menyebut kesenangan dunia, mungkin mereka rasa apa yang mereka peroleh itu sudah selesa bagi mereka dan kurang menarik minat mereka.

Sungguhpun apa yang dijanjikan oleh Allah Taala itu jauh daripada apa yang ada di atas muka bumi ini, tetapi orang yang sudah selesa dengan keadaan material (kalau benarlah), method dakwah menerusi janji syurga tidak sesuai untuk mereka. Walau bagaimanapun, ini masih lagi belum sebagai satu teori, tetapi ia masih lagi hipotesis yang perlu dibuktikan dengan kajian.




Monday, December 14, 2009

DAKWAH ASAS HUBUNGAN MUSLIM DAN NON MUSLIM

Abstrak
Kertas ini menghujahkan bahawa hubungan antara muslim dan non Muslim perlu didasari dengan dakwah iaitu segala perkataan, tindakan, keputusan dan sebagainya mestilah dapat memberi political mileage kepada dakwah. Terdapat dua tahap tugasan dakwah yang perlu digalas oleh seorang Islam iaitu fardu ain dan fardu kifayah. Pada tahap pertama, seorang Muslim perlu untuk menggunakan semua anggota badannya termasuk harta atau apa jua yang dimilikinya berdasarkan panduan yang digariskan oleh Islam. Pada tahap kedua, semua orang Islam perlu mengadakan usaha dakwah yang terancang dan lebih tersusun bagi mencapai matlamat dakwah. Menerusi kedua-dua tahap dakwah ini, maka hubungan Muslim dengan non Muslim tidak sepatutnya sunyi daripada dimensi agama, sekurang-kurangnya menyimpan keazaman untuk menyampaikan dakwah sama ada secara langsung atau pun sebaliknya.

Kertas Kerja yang akan dibentangkan dalam Seminar Antarabangsa Dakwah dan Multi Etnik. 22 dan 23 Disember, UKM.