Wednesday, July 31, 2013

Monolog bagi hati yang keras

Pesanan kepada mereka yang merasa hebat disebabkan kuasa, disebabkan kaya, disebabkan pandai dll.. 

Ingatlah 

1. Ketika burung hidup, ia makan ulat, Ketika burung mati, ulat makan burung.

2. Ketika kita menjadi ibu bapa, kita yang membasuh berak kencing anak kita. Bila kita sakit tua, anak kita pulak yang basuh berak kencing kita.

3. Ketika durian baru luruh, apabila digolekkan atas timun atau timun digolekkan atas durian, timun akan cedera. Tapi tunggulah 3 hari, ketika durian menjadi tempoyak, timun pula yang akan mencolek durian. 

4. Waktu kita sedang berjaya, kita merasa banyak teman di sekeliling kita. Waktu kita gagal baru kita tahu siapa teman kita.

Allah maha adil. 

Sekiranya kita ingin Allah / orang buat baik dengan kita, buat baik dengan orang lain. Apa yang ditabur, itulah yang akan kita tuai..Jangan merendahkan siapapun dalam hidup, bukan kerena siapa mereka, tetapi kerena siapa diri kita. Kita mungkin berkuasa tapi WAKTU lebih berkuasa daripada kita.

Orang yg sombong seperti orang yg berada di atas gunung, melihat orang di bawah kecil sahaja. Apakah dia lupa bahawa orang yg dibawah itu pun melihatnya kecil.

 
 

Tuesday, July 30, 2013

Berjuang islam atau melayu

Berjuang Islam, melayu selamat. Berjuang melayu, belum tentu Islam selamat.

Kenapa? 

Perjuangan Islam ialah perjuangan prinsip, perjuangan bangsa ialah perjuangan yg sempit. 

Perjuangan islam membawa keadilan kepada semua bangsa dan manusia.
Perjuangan bangsa mengajak manusia mengagungkan sebuah bangsa sahaja 

Perjuangan islam boleh disertai oleh ramai bangsa asalkan mahu menerima prinsipNya kerana sifatNya universal. Perjuangan utk suatu bangsa sahaja payah nak dapat sokongan dari bangsa lain. Malah ia membawa kepada tidak puas hati kepada bangsa lain. Amat payah nak cari satu bangsa yang sanggup berjuang utk bangsa lain. 

Berjuang Islam, turut memperjuangkan melayu. Berjuang melayu, tidak mesti memperjuangkan islam. 

Agama boleh diubah, bangsa tak boleh ubah. Walaupun saya dilahirkan melayu, saya boleh beragama Islam. Saya dilahirkan melayu, tetapi saya tak boleh ubah jadi bangsa arab. 

Memperjuangkan Islam mempunyai asas yang jelas sebagaimana tercatat di dalam quran.
Manakala perjuangan bangsa, tidak mempunyai prinsip melainkan hanya utk hawa nafsu iaitu mengagongkan bangsa sendiri sahaja. 

Pertanyaan Allah namti diakhirat ialah tentang agama, bukan tentang bangsa. 

Kesimpulan- Perjuangan bangsa, mestilah di atas kerangka dasar islam. Bukan perjuangan islam di atas kerangka dasar bangsa. 

Ramadan bulan jihad

Ramadan bukan sekadar puasa, solat terawih, baca quran, sedekah dll ibadat. Tetapi pada bulan ini, ibadat diluaskan dengan jihad.

Di dalam sejarah Islam, peperangan Badar berlaku dalam bulan Ramadan.

Peperangan ini menggambarkan bahawa bulan puasa bukan bermakna orang Islam lembik. Tetapi bulan jihad.

Islam adalah agama jihad, yg bukan semestinya jihad itu bermakna perang. Tetapi perang itu mesti jihad. 

Jihad itu ialah berusaha untuk menegakkan agama walaupun berhadapan dengan keadaan yg susah. 

Mestikah kalau qiamullail, buat solat tasbih?


1- Qiyamualail tidak semestinya dengan solat. Ia boleh dengan amalan sunat yg lain kerana maksud qiyamualail itu ialah membangunkan malam. 

2- Solat yg muakkad dilakukan ketika malam ialah solat tahajjud. Ia boleh dilakukan banyak rakaat. Begitu juga dengan solat taubat dan hajat dll.

3. Walau bagaimana hebat pahala dan kelebihan amalan sunat, hebat lagi amalan fardu. Justeru, tidak boleh abaikan yg fardu semata2 amalan sunat.

4. Asas solat malam dilakukan secara bersendirian dan dengan suara yg perlahan. Tapi, kalau ada yg nak buat secara berjemaah tiada halangan. 

5. Dimulakan solat malam dengan dua rakaat yg ringkas, kemudian bolehlah kalau mahu utk buat solat yg bacaannya panjang. 

6. Tidak semestinya bila solat aje, mesti solat tasbih. Bila solat tasbih je, qiamulail la tu. Solat tahajjud datang dengan dalil yg kuat, manakala solat tasbih datang dengan hadis yg daif. 

7. Tiada masalah utk buat solat tasbih, kerana ada dalil wpun daif. Namun, keutamaan diberikan dengan solat yg mempunyai dalil yg kuat spt solat tahajjud. Kalau nak buat sekali sekala bagus juga, selain dari ibadah, boleh juga test pinggang. 

8. Solat tahajjud itu bermula 1/3 terakhir malam. Sebaiknya tidor dulu. Tapi kalau tidak tidor, tidak semestinya tidak boleh buat solat tahajjud. 

9. Solat witir pada satu malam hanya sekali sahaja. Sesiapa yg melakukan witir selepas tarawih, tidak perlu lagi mengulang witir sekali lagi bila dia bangun solat malam. 

10. Paling afdal solat witir tiga rakaat dengan dua salam. 
Wpun boleh juga 3 rakaat dengan satu salam. 

ويُشرع الوتر بثلاث ركعات فقط، ولك أن تصليها على صفتَين، ما تيسر لك منها يجزئ عنك، وهي التالية:
الأولى: أن تصلي هذه الركعات الثلاث: ركعتين ثم تسلم، ثم تصلي ركعة واحدة.
الثانية: أن تصليها ثلاث ركعات متصلة، لا تقعد إلا في آخرهن:
لما ثبت عن أبي هريرة: قال رسول الله -صلى اللهُ عليهِ وسلم-: «لا توتِروا بثلاث تشبهوا بصلاة المغرب، ولكن أوتِروا بخمسٍ، أو بسبعٍ، أو بِتِسع، أو بإحدى عشرة» أخرجه الحاكم.
وقد ثبت أداء الثلاث موصولات دون قعودٍ إلا في آخرهن عن رسول الله -صلى اللهُ عليه وسلم-؛ فقد جاء عن أُبَي بن كعب، قال: «كان رسول الله -صلَّى اللهُ عليه وسلم- يقرأ من الوتر بـ{سبِّح اسمَ ربِّك الأعْلى}، وفي الرَّكعة الثانية بـ{قُل يا أيُّها الكافِرون}، وفي الثالثة بـ{قُلْ هوَ اللهُ أحدٌ}، ولا يُسلم إلا في آخِرهِنَّ» أخرجه النسائي.
وعن عائشة؛ قالت: «كان رسول الله -صلَّى اللهُ عليه وسلم- يوتر بثلاث، لا يُسلم إلا في آخرِهن» أخرجه الحاكم.

11. Bilangan rakaat solat malam.
Rasulullah tidak lebih solat malam lebih dari 11 rakaat. Kita elok tidak lebih dari amalan Rasulullah. 

وركعاتها إحدى عشرة ركعة, ونختار أن لا يزيد عليها اتباعاً لرسول الله صلى الله عليه وسلم, فإنه لم يزد عليها حتى فارق الدنيا, فقد سئلت عائشة رضي الله عنها عن صلاته صلى الله عليه وسلم في رمضان ؟ فقالت:
ما كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يزيد في رمضان ولا في غيره على إحدى عشرة ركعة, يصلي أربعاً فلا تسل عن حسنهن وطولهن, ثم يصلي أربعاً فلا تسل عن حسنهن وطولهن, ثم يصلي ثلاثاً.

Sunday, July 28, 2013

Rupanya aku masih sombong


Apakah tanda-tanda seseorang itu memiliki sifat sombong? Antaranya:

1. Payah menerima pandangan orang lain sekalipun hatinya merasakan pandangan orang itu lebih baik daripadanya. Apatah lagi kalau pandangan itu datang daripada orang yang lebih rendah daripadanya sama ada rendah umur, pangkat atau lain-lain lagi.

2. Mudah marah atau emosional. Bila berlaku perbincangan dua hala, cepat tersinggung atau cepat naik darah kalau ada orang tersilap atau tersalah.

3. Memilih-milih kawan. Suka berkawan hanya dengan orang yang satu ‘level’ atau sama taraf dengannya. Manakala dengan orang bawahan atau lebih rendah kedudukannya, dia tidak suka bergaul atau bermesra, takut jatuh status atau darjat dirinya. Bahkan dengan orang yang sama level dengannya pun masih dipilih-pilih lagi. Yakni dia suka dengan orang yang mahu mendengar dan mentaati kata-katanya. Mereka inilah saja yang dia boleh bermesra, duduk sama atau semajlis dengannya.

4. Memandang hina pada golongan bawahan.

5. Dalam perbahasan atau perbincangan, selalunya dia suka meninggikan suara atau menguatkan suara lebih daripada yang diperlukan.

6. Dalam pergaulan dia suka kata-katanya didengari, diambil perhatian dan diikuti. Sebaliknya di pihaknya sendiri, susah untuk mendengar cakap atau nasihat orang lain serta tidak prihatin dengan cakap orang. Apatah lagi untuk mengikut cakap orang lain.

7. Dalam pergaulannya, dia saja yang memborong untuk bercakap dan tidak suka memberi peluang kepada orang lain bercakap. Kalau ada orang lain bercakap, dia suka memotong percakapan orang itu.

8. Kalau dia jadi pemimpin, dia memimpin dengan kasar dan keras terhadap pengikut-pengikutnya atau orang bawahannya. Ia membuat arahan tanpa timbang rasa dan tidak ada perikemanusiaan. Kalau dia menjadi pengikut, susah pula untuk taat dan patuh pada pemimpinnya.

9. Susah hendak memberi kemaafan kepada orang yang tersilap dengannya. Bahkan ditengking-tengking, diherdik, dikata-kata atau dihina-hina. Di belakangnya diumpat-umpat.

10. Kalau dia yang bersalah, susah dan berat hendak minta maaf. Rasa jatuh wibawa bila merendah diri meminta maaf. Bahkan dia tidak mengaku bersalah.

11. Dia suka dihormati. Tersinggung kalau tidak dihormati. Tetapi dia sendiri susah atau berat untuk menghormati orang lain.

12. Mudah berdendam dengan orang lain terutamanya bila orang itu tersilap.

13. Suka menzalimi orang sama ada secara kasar atau secara halus.

14. Kurang bermesra dengan orang kecuali terpaksa kerana perlukan orang itu atau kerana takutkan orang itu.

15. Suka memperkatakan keburukan orang seperti mengumpat, memfitnah serta membenci orang.

16. Kurang menghormati pemberian orang atau tidak menghargai pemberian orang lain.

17. Suka mengangkat-angkat diri atau menceritakan kelebihan diri.

18. Suka menghina dan menjatuhkan air muka orang di hadapan orang lain.

19. Kurang menghormati nikmat-nikmat Allah. Kalau ada makanan, berlaku pembaziran atau membuang makanan yang berlebihan. Kalau ada pakaian walaupun masih elok dipakai tetapi suka berganti dengan yang baru. Pakaian yang lama dibuang. Kalau ada duit lebih, suka beli barang yang tidak diperlukan. Semua itu lebih digemari daripada memberi nikmat yang berlebihan itu kepada orang lain.

20. Kalau berdiri, lebih suka bercekak pinggang (kerana membesarkan diri). Kalau bercakap, menepuk-nepuk meja dan suka mencemik. Kalau berjalan suka bergaya, menghentak-hentak kaki atau berjalan membusung dada.

21. Kurang memberi simpati atau kurang menolong orang lain melainkan ada tujuan-tujuan dunia atau kerana takut dengan orang itu.

22. Kurang minat menerima tetamu atau tidak suka jadi tetamu orang.

23. Tidak suka menyebut kelebihan-kelebihan orang lain kerana takut mencabar dirinya.

24. Kesalahan-kesalahan orang lain dibesar-besarkan sedangkan kesalahan sendiri didiamkan, disorokkan, buat-buat tidak tahu atau cuba mempertahankan diri supaya orang menganggap dia tidak bersalah.

25. Sangat tidak senang dengan kejayaan atau kebolehan orang lain.

26. Dia sangat tersinggung kalau ada orang memuji-muji atau menyebut kelebihan-kelebihan orang lain di hadapannya. Tetapi kalau dia dipuji, terserlah pada air mukanya rasa bangga dan senang hati.


 

Wednesday, July 17, 2013

Kisah Kewafatan Rasulullah Versi Syiah yang Tersebar

Terdapat kisah yang menjelaskan kewafatan Baginda SAW yang memaparkan watak Saidina Ali dan Saidatina Fatimah sebagai watak utama dan tidak menyebut langsung tentang peranan Saidatina Aishah. Sedangkan berdasarkan kepada riwayat dari Imam al-Bukhari bahawa Baginda wafat di atas ribaan Saidatina Aishah. Dari sini dapat dikatakan bahawa peranan Syiah telah mewujudkan suatu skrip dalam penceritaan ini bagi menonjolkan peranan Saidina Ali dan Saidatina Fatimah sewaktu saat-saat genting di akhir hayat Baginda Rasulullah SAW.

 
Berikut adalah cerita yang ada peranan Saidatina Aishah.

Rasulullah s.a.w kekasih Allah wafat ditangisi oleh makhluk seluruh alam. Namun apa yang selama ini telah dikisahkan kepada kita yakni kisah wafatnya Nabi dengan menyebut kalimah “Ummati, ummati, ummati” yang membawa maksud “Umatku, umatku, umatku” adalah jelas suatu pembohongan dan rekaan cerita dari mereka yang tidak bertanggungjawab dan sekaligus menyebarkan ia menjadikan kita semua menjadikan ia suatu kata-kata yang sahih. Mari baca kisah sebenar kewafatan baginda Rasulullah s.a.w..

Kisahnya bermula…
“Kepalaku!” kata Aisyah.

Baginda Rasulullah s.a.w dan Aisyah r.a baru sahaja pulang daripada menziarahi perkuburan al-Baqi’ lewat malam tadi. Kepala Aisyah sakit berdenyut-denyut. Baginda menyedarinya.

“Bahkan kepalaku juga wahai Aisyah. Oh kepalaku!” kata Baginda s.a.w.

Jika suami pening, tangan isteri yang memicit banyak mendatangkan rasa lega. Jika isteri yang sakit, belaian seorang suami adalah penyembuh paling berharga. Tetapi di malam itu kedua-duanya sakit. Kepala mereka berat.

“Janganlah engkau bersusah hati wahai Aisyah. Seandainya engkau mati sebelumku, nescaya aku akan menyempurnakan urusanmu. Aku akan mandikan dikau, kukafankan dirimu dan akan kudirikan solat buatmu serta engkau akan kukebumikan!!”, usik sang suami.

“Demi Allah, aku rasa kalau begitulah kisahnya pasti selepas itu engkau akan pulang ke rumahku dan berpesta gembira dengan isteri-isterimu yang masih hidup!” si isteri tersentak dengan gurauan sang suami.

Merajuk. Nabi s.a.w ketawa. Dalam sakit yang luar biasa itu, baginda masih suami yang hangat dengan mawaddah. Sakitnya tidak menjadikan beliau keluh kesah. Sempat pula mengusik isteri yang tidak tentu rasa.

SAKIT YANG BERTAMBAH

Malam itu berlalu dengan sakit yang tidak beransur kurang. Kesakitan itu memuncak semasa Nabi s.a.w memenuhi giliran Baginda di rumah isterinya, Maimunah r.a. Bukan sakit yang sembarangan. Ia sakit yang menjadi kemabukan sebuah kematian. Sakaraat al-Maut!

“Esok aku di mana? Esok aku di mana?” Baginda s.a.w bertanya.

Dalam sakit yang bersangatan, Baginda masih ‘sedar’ akan tanggungjawab dirinya berlaku adil kepada para isteri. Itulah ukuran adil seorang mukmin terhadap isteri-isterinya. Mengusahakan segala tenaga yang berbaki untuk tidak memalit zalim dalam melunaskan amanah sebagai seorang suami. Tidak mengambil mudah hanya dengan alasan yang remeh temeh untuk melebihkan seorang isteri berbanding yang lain.

Itulah juga ukiran makna bagi sebuah Mawaddah. Cinta yang bertambah hasil kesungguhan mengatasi ujian dan musibah. Namun di situlah terselitnya Rahmah. Sifat belas ihsan yang terbit daripada hati yang mengasihi.

“Izinkan aku berhenti bergilir dengan menetap di rumah Aisyah” Rasulullah s.a.w meminta izin daripada para isterinya.

Siapakah yang pernah membantah permintaan seorang Rasul. Namun Baginda tetap meminta izin kerana keizinan itu hakikatnya kekal bagian seorang isteri. Tiada isteri yang dipinggirkan. Hak masing-masing dihormati. Andaikata seorang Rasul boleh meminta izin menahan giliran daripada isteri Baginda, bagaimana mungkin seorang suami menjadi angkuh mempertahankan haknya di hadapan isteri atau isteri-isterinya?

HARI-HARI TERAKHIR

Masruq meriwayatkan daripada Aisyah r.a: Tatkala Baginda s.a.w gering, kesemua isteri Baginda berada di sisi. Tiada seorang pun yang tercicir antara mereka. Ketika mereka berhimpun, anakanda kesayangan Baginda s.a.w, Fatimah r.a datang berjalan. Demi sesungguhnya cara berjalan Fatimah tidak ubah seperti ayahandanya, Rasulullah s.a.w.

“Selamat datang wahai anakandaku,” Baginda s.a.w dengan suara yang lemah menjemput Fatimah duduk di sisinya.

Baginda membisikkan sesuatu ke telinga Fatimah. Anakanda itu menangis. Kemudian Baginda s.a.w membisikkan sesuatu lagi ke telinga anak kesayangannya. Fatimah ketawa.

Apabila Fatimah bangun dari sisi ayahandanya, Aisyah r.a bertanya, “Apakah yang diperkatakan oleh Rasulullah s.a.w hingga menyebabkan engkau menangis dan engkau ketawa?”

Fatimah menjawab, “Aku tidak akan mendedahkan rahsia Rasulullah s.a.w!”

Demi sesungguhnya, selepas wafatnya Baginda s.a.w, Aisyah r.a mengulang kembali soalan yang sama kepada Fatimah, “Aku bertanyakan engkau soalan yang engkau berhak untuk menjawab atau tidak menjawabnya. Aku ingin sekali engkau memberitahuku, apakah rahsia yang dikhabarkan oleh Rasulullah s.a.w dahulu?”

Kata Fatimah, “Ada pun sekarang, maka ya, aku bisa memberitahunya! Baginda s.a.w berbisik kepadaku dengan berkata: Sesungguhnya Jibril selalunya mendatangiku untuk mengulang semakan Al-Quran sekali dalam setahun. Namun di tahun ini beliau mendatangiku dua kali. Tidaklah aku melihat kelainan itu melainkan ia adalah petanda ketibaan ajalku. Justeru, bertaqwalah kepada Allah dan bersabarlah kamu dengan ketentuan ini. Atas segala yang telah ditempuh dalam kehidupan ini, sesungguhnya aku adalah untukmu wahai Fatimah!”

Aku menangis…

“Kemudian Baginda s.a.w berbisik lagi kepadaku dengan berkata: Apakah engkau gembira kalau aku khabarkan kepadamu bahawa engkau adalah penghulu sekalian wanita di Syurga? Dan sesungguhnya engkau adalah insan pertama yang akan menurutiku daripada kalangan ahli keluargaku!, aku ketawa”, sambung Fatimah.

Sesungguhnya Fatimah r.a benar-benar kembali kepada Allah, menuruti pemergian ayahandanya enam bulan selepas kewafatan Baginda s.a.w. Benarlah beliau ahli keluarga pertama Baginda yang pergi. Dan benarlah kalam utusan Allah, Rasulullah s.a.w!

DETIK SEMAKIN HAMPIR

Dhuha itu tepu dengan kegelisahan. Senyuman yang dilemparkan Baginda s.a.w kepada Abu Bakar dan sahabat semasa mereka mengerjakan solat Subuh tadi, benar-benar mengubat rindu mereka. Namun para sahabat tidak tahu bahawa kerinduan mereka hanya terubat seketika, dan mereka akan kembali merindui wajah itu, buat selamanya. Senyuman itu bukan senyuman kesembuhan. Ia adalah senyuman perpisahan.

Badan Baginda s.a.w semakin panas. Sesekali ada dengusan yang keras dari nafas kekasih Allah itu mendepani mabuknya kesakitan sebuah kematian.

“Laknat Allah ke atas Yahudi dan Nasrani, mereka menjadikan kubur-kubur Nabi mereka sebagai masjid!” bibir Baginda s.a.w masih tidak berhenti menuturkan pesan-pesan yang penting buat umat yang bakal dilambai perpisahan.

Aisyah r.a meneruskan catatannya: Aku melihat sendiri Rasulullah s.a.w mendepani kematian Baginda. Kami ketika itu berbicara sesama kami bahawa sesungguhnya Nabi s.a.w tidak akan meninggal dunia sehinggalah Baginda membuat pilihan antara Dunia dan Akhirat. Tatkala Baginda s.a.w semakin gering mendepani kematian, dalam suara yang serak aku mendengar Rasulullah s.a.w berkata: Aku bersama dengan orang yang diberikan nikmat oleh Allah ke atas mereka daripada kalangan para Nabi, Siddiqin, Syuhada’ dan Solihin, dan itulah sebaik-baik peneman yang menemankan aku!

Dan tahulah kami, Baginda s.a.w telah menyempurnakan pilihannya itu. Dalam kegeringan itu, aku sandarkan tubuh Rasulullah s.a.w rapat ke dadaku. Telingaku menangkap bicara lemah di ambang kematian, Baginda s.a.w berbicara: Allahumma, ampunkanlah diriku, rahmatilah aku, dan temukanlah aku dengan-Mu, Temanku yang Maha Tinggi.

Ketika Baginda s.a.w bersandar di dadaku, datang adikku, Abdul Rahman bin Abi Bakar dengan siwak yang basah di tangannya. Aku menyedari yang Baginda s.a.w merenung siwak itu, sebagai isyarat yang Baginda menggemarinya. Apabila ditanya, Baginda s.a.w mengangguk tanda mahukan siwak itu. Lalu kulembutkan siwak itu untuk Baginda dan kuberikan kepadanya. Baginda cuba untuk melakukannya sendiri tetapi ketika siwak yang telah kulembutkan itu kena ke mulut Baginda, ia terlepas daripada tangan dan terjatuh. Air liurku bersatu dengan air liur Rasulullah s.a.w di detik akhirnya di Dunia ini, dan detik pertamanya di Akhirat nanti.

Di sisinya ada sebekas air. Baginda s.a.w mencelupkan tangannya dan kemudian menyapu wajahnya dengan air itu lalu berkata: Laa Ilaaha Illallaah! Sesungguhnya kematian ini kesakitannya amat sakit hingga memabukkan! Allahumma, bantulah aku mendepani Sakaraat al-Maut ini!

Baginda s.a.w mengangkat jari kirinya ke langit lalu berkata: Kembalilah aku kepada Teman yang Maha Tinggi! Kembalilah aku kepada Teman yang Maha Tinggi! (Allahumma Rafiqul A’laa)”

Tangan itu layu. Jatuh ke dalam bejana. Leher Baginda s.a.w terkulai di dada Aisyah. Pencinta Ilahi yang rebah di pelukan isteri tercinta. Melambai pergi ummah yang dirindui. Pencinta yang agung itu telah mati. Tetapi cintanya harum hingga ke detik ini.

Innaa Lillaah wa Innaa Ilayhi Raaji’un.

Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. [Al-Ahzaab 33: 56]

Kita pernah dengar kan ayat terakhir nabi sebelum meninggal nabi menyebut Ummati, Ummati, Ummati kan?? sebenarnya itu hadis yang lemah,,Hadis yang sahih seperti riwayat Aisyah, isteri nabi, sebab nabi meninggal di pangkuan Aisyah, bermaksud Aisyah yang paling dekat dengan nabi..hadis yang sahih adalah seperti di bawah
 
Aisyah r.a berkata : Adalah akhir kalimah yang diucapkan oleh Nabi s.a.w ialah “Allahumma Rafiqul A’laa” (Hadith Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Tuesday, July 16, 2013

MUNAJAT RAMADHAN

Ya Allah…Ya Rahman…Ya Rahim…

Dalam dakapan Ramadhan yg suci ini, dengan rasa rendah diri, kami yg kerdil dan hina ini memohon doa dengan penuh pengharapan kpdMu ya Allah… semoga Engkau sudi mendengar permintaan kami, kerana sesungguhnya Engkaulah Tuhan yg Maha Mendengar.

Ya Fattahu ya 'Alim…
Ajarkanlah kami yang lemah ini untuk melihat jalan keluar dari semua masalah yang membelenggu kami, bukakanlah hijab kepada kami yang tidak mampu melihat setiap kebaikan pada kejadian dan takdirmu. Ya Allah..takdirkanlah yang baik-baik utk diri kami, janganlah kau menguji kami pada apa yang tidak mampu kami lalui.. Bukakanlah pintu-pintu rahmatMu untuk kami ya Allah…

Ya Allah Rabbul Jalil….


Sejahterakanlah untuk kami dengan kesihatan yang baik..supaya dengannya kami dapat beribadah kepadaMu. Ya Allah..ampunkanlah segala dosa kami, kerana kami terlalu banyak dosa kpdMu ya Allah…Kami lupa akan Engkau ketika sihat, kami ingat padaMu bila ditimpa sakit, Kami lupa kepadaMu ketika senang, kami ingat padaMu bila datang kesusahan. Kami lupa kepadaMu di saat kami gembira, Kami ingat kepadaMu ketika sedih dan kecewa, Kami habiskan usia muda dgn keseronokan dunia, kami mula mengingatiMu tika usia sudah tua, ..Justeru ya Allah...ampunilah semua dosa kami..berilah kekuatan kepada kami utk melawan hawa nafsu dan dunia yang sentiasa mlalaikan kami drp mengingatimu ya Allah…

Ya Allah…ya Rahman..ya Rahim…

Ampunkanlah dosa kedua ibubapa kami,. setiap titik susu ibu yg mengalir dalam diri kami...kau gantilah dgn kebajikan untuknya yg boleh membawanya ke syurgaMu ya Allah...ya Rahman...pada setiap keringat yg mengalir pada tubuh ayah kami dalam mcari rezki kepada kluarga kami...kau gantikanlah dengan keampunan yg membawa ke syurgaMu ya Allah. Sesungguhnya pengorbanan mereka tidak akan mampu kami membalasnya. Bahkan terkadang mereka hidup dlm kesusahan dan kesempitan, sedangkan kami berada dalam kesenangan dan kemewahan...Justeru kurniakanlah kepada kedua ibubapa kami tempat yg istimewa d syurgaMu ya Allah…..

Ya Allah….

Kami juga memohon ampun utk kaum kerabat kami, sahabat2 kami dan guru2 kami yg terlebih dahulu pergi meninggalkan kami kealam barzakh…golongkanlah mereka dlm org2 kau redhai…apabila tiba pula giliran kami menuju barzakhMU..maka Kau ambillah kami dlm keadaan yg baik2…dlm keampunan dan rahmatMu ya Allah…

Ya Allah ya azizz…
Kurniakanlah kpd kami jiwa yg tenang dan tenteram…hiasilah hati kami dgn sifat syukur, redha, sabar, ikhlas, amanah dan bertanggungjawab…Kau jauhkanlah drp kami sifat ujub, riak,takabbur, fitnah, mengadu domba, sangka buruk dan khianah.

Ya Rashid…ya rahman…ya Rahim..
Jika ada diklgan kami mereka yg diuji dgn kesusahan, maka kau bantulah mereka, permudahkanlah urusan mereka, jika ada d klgn kami mereka yg bersedih hati, berikanlah ketenangan dan jln kluar kpd mereka, jika ada d klgn kami sdg berhajat dgn keperluannya, maka tunaikanlah hajat mereka, dan cukupkanlah keperluan mereka, jika ada d klgn kami mereka yg diuji dengan sakit, maka kau sembuhkanlah mereka ya Allah…agar dapat beribadah bsama kami. Jika ada dklgn kami mereka yg derhaka kpd ibubapa atau terkurang dlm melayani mereka, maka kau ampunilah mereka, jdkanlah kami anak2 yg taat dan berbakti..sesungguhnya Engkaulah tuhan yg maha mendengar dan mengasihi…

Ya Allah ya malikal mulk…

Ya Razak..ya fattahu ya alim…
Kurniakan kpd kami rezeki yg halal lg dberkati. dan jdkanlah dgn rezeki itu kami semakin dekat dgnMu..sebaliknya, jgnlah kau jdkan kami drp gol yg lupa diri setelah mndapat kurniaannMu.

Ya Allah….
Bantukanlah kami dlm menjalankan urusan agama kami, Elokkanlah urusan dunia kami, yg padanya tempat kami mencari kehidupan, Elokkanlah urusan akhirat kami, yg padanya tempat kami akan kembali utk selama2nya.. jdkanlah kehidupan kami ini sebagai tambahan segala kebaikan kpd kami, dan jadikanlah kematian sebagai ketenangan kpd kami dr segala kejahatan, Sesungguhnya kami ingin kembali kpdMu dgn jiwa yg tenang….

Ya Allah ya zal jalali wal ikram…

Ya Allah….Jgnlah kau jdkan ramadhan ini sbg yg terakhir buat kami, temukanlah kami dgn Ramadhan yg akn dtg…
Tapi, Andai ini Ramadhan terakhir buat kami, jdkankanlah puasa kami sbg puasa yg Kau rahmati, jdkanlah ramadhan ini paling bererti, penuh dgn cahaya iman, menerangi kegelapan hati kami menuju redha serta kasih sayangmu ya Allah…jdkanlah ramadhan ini sebagai penghapus dosa2 kami.. Ya Allah…temukanlah kami dgn lailatul qadr…pilihlah kami dikalangan hambaMu yg dpt beramal d mlm al-Qadr….Ya Allah..terimalah amalan kami..terimalah taubah kami..ampunkanlah segala dosa kami...amankanlah kehidupan kami disana nanti yg kekal abadi…kurniakanlah kpd kami syurgamu yg maha luas nikmatnya…

US AIMI BIN HAMZAH 2013/1434H

Monday, July 15, 2013

Orang yang mendapat rahmat Allah

INGATAN MESRA RAMADAN 4

Bulan Ramadan bulan yang banyak diturunkan rahmat. 

Perkataan rahmat disebut sebanyak 124 kali di dalam al-Quran

Kita perlu mengharapkan rahmat Allah kerana masuk syurga disebabkan rahmat Allah, bukan disebabkan amalan.

Di dalam Surah Baqarah:218

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَٱلَّذِينَ هَاجَرُواْ وَجَـٰهَدُواْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ يَرۡجُونَ رَحۡمَتَ ٱللَّهِۚ وَٱللَّهُ غَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ۬

Orang yang mengharapkan rahmat Allah ialah
1- Orang yang beriman – Tanda kuat iman seseorang itu, kuat komitmennya pada agama.
2- Orang yang berhijrah – Orang yang membawa misi perubahan dalam hidup kpd kebaikan
3- Orang yang bermujahadah – Berusaha kerana tiada kejayaan tanpa usaha.


Ciri2 di atas sama dengan ayat di bawah

Di dalam Surah al-A'raf:156
وَرَحْمَتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ فَسَأَكْتُبُهَا لِلَّذِينَ يَتَّقُونَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَـاةَ وَالَّذِينَ هُم بِآيَاتِنَا يُؤْمِنُونَ

Rahmat aku meluas kepada setiap sesuatu. Aku atas berikan kepada orang-orang yang bertaqwa, menunaikan zakat dan orang yang beriman dengan ayat2 kami.


Di dalam Surah al-A'raf:56

إِنَّ رَحْمَتَ اللّهِ قَرِيبٌ مِّنَ الْمُحْسِنِينَ

Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat dengan orang-orang yang muhsin (baik)

Siapakah orang Muhsin. Dalam surah al-Baqarah (112) menjelaskan

بَلَىٰ مَنۡ أَسۡلَمَ وَجۡهَهُ ۥ لِلَّهِ وَهُوَ مُحۡسِنٌ۬ فَلَهُ ۥۤ أَجۡرُهُ ۥ عِندَ رَبِّهِۦ وَلَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ
 
Orang yang menyerah dirinya kepada Allah, dia adalag orang yang baik. Pahalanya diberi oleh Allah, dan tiada ketakutan pada mereka dan tidak pula mereka berdukacita.