Friday, August 2, 2013

Mestikah zakat dengan akad?

Zakat al-fitri bermaksud membayar zakat disebabkan kita sudah lagi tidak berpuasa. Al-fitri itu bermaksud berbuka.

فطر الشيئ  (sekiranya ف berbaris atas) ia membawa dua maksud 1) memecahkan sesuatu dan 2) memulakan sesuatu.

الفطر  (sekiranya  فberbaris bawah) ia membawa buka

الفطور  (sekiranya  فberbaris atas) ia membawa maksud benda yang dibuka

 الفطرة  - (  فberbaris bawah) atau الفطر  (  فberbaris depan) membawa maksud kejadian.

Zakat al-fitri bermaksud pemberian yg perlu diberikan oleh orang yg berpuasa kepada orang faqir dan miskin. Hikmahnya ialah agar orang miskin pada hari raya turut merasa gembira dengan adanya makanan dan keperluan yg lain. Mereka tidak lagi meminta minta pada hari raya. Oleh sebab itu, afdal dibayar zakat dekat dengan hari raya kerana mereka akan membeli barangan keperluan untuk hari raya.

Walau bagaimanapun, oleh kerana kita membayar zakat kepada pihak yang berwajib dan mereka membuat agihan berdasarkan kutipan zakat yang terkumpul sebelum Ramadan ini dan mungkin juga kutipan zakat fitrah pada tahun sudah. Maka, tidak timbul keutamaan di sini melainkan kalau kita membayarnya secara sendiri terus kepada penerima. Namun, untuk mengelakkan kesesakan kepada amil untuk mengutip zakat, eloklah bayar awal.

Waktu wajib bayar zakat ialah pada hari raya. Tetapi kalau nak bayar sebelum itu, dibolehkan iaitu sepanjang bulan Ramadan. Ada sesetengah orang yang melengahkan bayar zakat hingga waktu wajib iaitu pada pagi Syawal, yang mungkin menyebabkan kesukaran kepada amil untuk ambil. Oleh kerana amalan kita sekarang ialah setiap pembayar zakat kena akad dengan amil, maka tentunya akan timbul kesukaran.

Sebenarnya, membayar Zakat tidak memerlukan kepada akad ijab qabul. Cukuplah kita memberi kepada mana2 faqir miskin atau amil dengan niat zakat sahaja, tanpa ijab qabul. Bahkan kalau penerima zakat tidak tahu itu duit zakat pun, tidak menjadi masalah. Namun, tidak ada masalah kalau buat akad seperti mana yang diamalkan.

Dalam keadaan di mana sekiranya beratur orang pada pagi hari raya untuk bayar zakat sedangkan jam menunjukkan pukul 8.15 pagi. Kalau tunggu seorang demi seorang untuk bayar zakat, maka akan berlaku kelewatan. Maka dalam keadaan ini, boleh amil bentang sejadah atau serban atau tong, semua yang beratur tadi meletakkan wang mereka di dalamnya dengan niat zakat fitrah.  

Di dalam muamalat, Zakat, derma, hadiah dan wakaf merupakan akad satu hala. Ia tidak memerlukan kepada akad qabul. Cukup dengan niat sahaja dan diberikan harta itu kepada orang yang layak.
 
Pada asasnya, tujuan Zakat ialah untuk menampung kekurangan amalan yang dilakukan pada bulan puasa. Mungkin ada kelalaian dan maksiat yg dilakukan pada bulan puasa. Zakat membersihkan kembali amalan kita. Walau bagaimanapun, Zakat tidak membersihkan amalan kalau orang itu langsung tidak puasa. Apa yg nak dibersihkan kerana asasnya memang tidak baik.

Islam adalah agama fitrah. Sesiapa yang tolak Islam bermaksud menolak fitrah.

No comments: