Hudud dilaksanakan sekaligus? Semua kes dibicarakan bawah Hudud?

HUDUD DILAKSANAKAN SEKALIGUS? 

Pihak kerajaan, boleh memilih pelaksanaan Hudud dalam kes yang tertentu dahulu. Di peringkat permulaan, enakmen/akta Hudud boleh dilakukan kepada kes minuman arak terhadap orang Islam sahaja. Kini arak memang pun menjadi larangan kepada orang Islam untuk membeli dan meminumnya. Justeru, tidaklah suatu yang amat janggal sekiranya pelaksaan ini dibuat dalam kesalahan ini. 

Manakala dalam kesalahan yang lain, ia boleh dilaksanakan pada masa yang lain apabila selesai semua proses yang berkaitan. Pelaksanaan arak dahulu sebagai projek rintis, untuk melihat prosedur berkaitan berjalan lancar dan konflik undang-undang boleh diselesaikan sebelum penguatkuasaan terhadap kesalahan yang lain. Ia juga memberi ruang kritikan yang membina dan maklum balas dari semua pihak sebelum penguatkuasaan sepenuhnya boleh dibuat. 
 


SEMUA KES TERUS BINCANG BAWAH ENAKMEN/AKTA HUDUD?

Pelaksanaan Hudud tidaklah simplistik seperti yang disangka dengan maksud semua kes terus dibicarakan dibawah hukum hudud. Apabila sesuatu tangkapan dibuat, pihak penyiasat ditugaskan untuk mencari segala syarat, bukti dan saksi yang berkaitan dengan kes itu. Apabila pihak pendakwa merasakan semua syarat, bukti dan saksi telah pun mencukupi, mereka memanggil pesalah di mahkamah dan membuat pertuduhan. 

Terdapat dua cara dalam proses pendakwaan berdasarkan kepada syarat, bukti dan saksi yang ada dalam sesuatu kes.
1. Apabila kes tersebut mempunyai syarat, bukti dan saksi kukuh yang boleh disabitkan dengan kesalahan hudud seperti dalam enakmen/akta tertentu, maka kes tersebut terus difailkan di bawah enakmen/akta berkenaan. Sekiranya, selepas perbicaraan dilakukan kes tersebut gugur dari kesalahan enakmen/akta Hudud itu, maka ia dibicarakan di bawah enakmen/akta yang lain. Ini tidak bermakna, semua kesalahan terlepas begitu sahaja. 
2. Apabila kes tersebut tidak boleh disabitkan dengan kesalahan hudud disebabkan ketidakcukupan bukti, syarat dan saksi, maka difailkan mengikut enakmen/akta lain yang bersesuaian. 

Ini bermakna, di peringkat awal kes itu, pihak pendakwa akan melihat kepada bukti-bukti yang ada sebelum memutuskan kes itu perlu dibicarakan dalam enakmen/akta Hudud atau selainnya. Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa Hudud memerlukan kepada syarat, bukti dan saksi yang ketat, jadi hanya kes yang memenuhi kriteria yang tertentu sahaja yang perlu dibicarakan dalam enakmen/akta yang berkaitan Hudud, bukan semua kes. 

Oleh sebab itu, proses mentaqninkan atau mewujudkan sebuah undang-undang Hudud* adalah suatu keperluan. Ia dikuatkuasakan, tetapi dengan hanya adanya kesalahan yang dijatuhkan oleh mahkamah, ia barulah dilaksanakan. Penguatkuasaan dan pelaksanaan dua perkara yang berbeza.  

*Undang-undang Hudud boleh sama ada dalam enakmen/akta berasingan atau dimasukkan di dalam enakmen/akta yang sedia ada. 
 

Post a Comment

0 Comments