Pendahuluan
Apabila Kerajaan Kelantan ingin mengemukakan deraf Enakmen Undang-undang Hudud yang hanya dikenakan untuk orang Islam sahaja, terdapat suara yang menyatakan bahawa deraf ini adalah zalim kerana sepatutnya sesuatu undang-undang itu perlu diaplikasikan untuk semua rakyat, bukan hanya untuk orang Islam sahaja. Ini adalah argument (baca: alasan atau dalih) yang selalu dikemukakan bagi meragukan keabsahan deraf itu dari sudut realiti pelaksanaannya di Malaysia. Alasan dan dalih ini kalau terus menerus digunakan, akhirnya pelaksanaan Hudud di Malaysia hanya tinggal impian sahaja kerana realiti pelaksanaannya perlu dilakukan secara berperingkat.
Penjelasan
Secara umumnya, sesuatu undang-undang itu boleh diberikan pengkhususan untuk sebahagian rakyat dan tidak dikenakan kepada orang lain. Contohnya, dalam isu yang berkaitan dengan perkahwinan, harta pusaka dan sebagainya, Mahkamah Syariah hanya membicarakan isu yang berkaitan dengan orang Islam sahaja, manakala Mahkamah Sivil akan membicarakan hal ehwal yang berkait dengan bukan Islam. Pelaksanaan ini sedang berjalan dengan baik walapun terdapat sedikit masalah seperti kes perebutan mayat untuk pengkebumian dan harta pusaka antara orang Islam dan bukan Islam. Namun, secara umumnya boleh dikatakan bahawa semuanya masih berjalan dengan baik.
Persoalan - Adakah boleh bagi sesebuah negara mempunyai dua set undang-undang yang berbeza untuk sesuatu perkara yang melibatkan kepentingan bersama? Pemisahan antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil seperti yang ada sekarang ini melibatkan perkara agama yang tidak boleh diselesaikan dengan undang-undang yang sama seperti undang-undang harta pusaka yang tidak sama antara orang Islam dan bukan Islam. Ia berbeza dengan hukum Hudud kerana melibatkan kepentingan bersama seperti kesalahan mencuri, berzina dan membunuh. Justeru, satu set undang-undang sahaja yang perlu dilaksanakan bagi menangani kesalahan itu.
Permasalahan - Bolehkah undang-undang Islam digunakan bagi mengatasi semua jenayah itu? Bagi orang Islam (melainkan yang berfikiran sekular), mereka akan menjawab “memang boleh” kerana Islam menyediakan penyelesaian yang adil kepada semua rakyat. Namun bagi orang bukan Islam, menguatkuasakan undang-undang Islam dalam menangani jenayah itu termasuk terhadap masyarakat bukan Islam merupakan suatu paksaan undang-undang Islam ke atas penganut agama lain. Hal ini perlu dielakkan kerana ia menyalahi hak kebebasan beragama seperti yang sudah sedia termaktub di dalam Perlembagaan. Untuk mengelakkan perbalahan dan menyelesaikan pertikaian itu, maka undang-undang yang berasaskan agama perlu diketepikan. Dengan itu, dualisme dalam sistem undang-undang (baca: sekularisme) perlu terus diamalkan khususnya di dalam negara yang mempunyai masyarakat majmuk.
Bagi orang Islam yang sejati, Islam merupakan agama yang terbaik dan menawarkan penyelesaian yang bersifat ketuhanan terhadap semua masalah manusia. Sekiranya penghujahan di atas diterima bulat-bulat apakah kesudahan nasib undang-undang Islam? Adakah ia hanya teori sahaja dan pada realitinya tidak sesuai untuk diamalkan? Kalau begitu, tiada gunanya konsep tauhid yang kita yakini dan imani sebagai seorang Muslim. Konsep ini bermaksud “mengesakan Allah” dengan maksud bahawa hanya Islam sahaja yang diterima sebagai cara hidup, manakala yang lain itu tidak akan diterima oleh Allah. Ayat Quran banyak menekankan tentang perkara ini.
Keperluan pelaksanaan Hudud secara berperingkat
Pelaksanaan penuh perundangan Islam (Hudud) di Malaysia perlu dijalankan secara berperingkat. Pendekatan berhikmah ini dilakukan kerana masyarakat kita masih tidak faham dengan undang-undang hudud sama ada sengaja atau buat-buat tidak faham. Salah faham itu bermula daripada ungkapan “kalau dilaksanakan hudud boleh makan sup tangan” sehingga mereka yang menolak sebarang undang-undang yang berasaskan kepada agama. Salah faham itu berlaku disebabkan mereka tidak mendapat penjelasan yang cukup tentang hudud, di samping wujud mereka yang memang curiga terhadap Islam dan ada pula yang memang memusuhi Islam. Selain itu, salah faham itu bukan sahaja berlaku di kalangan orang bukan Islam, malangnya ada di kalangan orang Islam sendiri yang alergik dengan hukum Islam. Sebenarnya, mereka tidak yakin dan curiga dengan Islam kerana mana mungkin pelaksanaan sesebuah undang-undang disyaratkan semua orang faham terlebih dahulu.
Walau apa pun cabarannya, bagi seorang Muslim usaha ke arah pelaksanaan hukum hudud ini perlu digerakkan dan diteruskan. Tidak dapat dibuat semua, janganlah ditinggalkan semua. Justeru, usaha kerajaan Kelantan untuk melaksanakan hudud untuk orang Islam dahulu suatu yang perlu diberikan pujian kerana usaha ini merupakan suatu usaha yang cukup positif sebagai tahap pertama ke arah pelaksanaan hudud yang lebih sempurna. Orang tua-tua kata, kalau nak berpoligami buat kali pertama tu memanglah payah, tetapi kalau dah ada dua isteri, nak tambah yang ketiga itu tidak sesusah mana seperti sebelum ini. Analoginya, seperti bergerak dari ibu jari ke jari telunjuk, tetapi kalau dari jari telunjuk untuk ke jari tengah dah tidak susah sangat lagi. Cabaran di peringkat permulaan ini memang susah. Bermula dari cemuhan dan kata-kata sinis dan tidak kurangnya kata-kata nista, sehinggalah kepada konflik dengan undang-undang konvensional, malah melibatkan perubahan Perlembagaan Malaysia. Itu bukan kerja mudah. Kalau hanya memperleceh (memperkecilkan) hudud Kelantan dengan dakwaan tidak Islamik semata-mata kerana ia hanya untuk orang Islam sahaja memang lah mudah, tetapi sampai bila?
Kini, usaha ke arah pelaksanaan hudud semakin semakin positif. Kalau dahulu orang suka mencemuh dan mengejek tapi kini semakin kurang. Kalau dahulu kalau sebut hudud sahaja, terus dikaitkan dengan PAS sedangkan hudud merupakan tuntutan agama. Ia persis cahaya dihujung terowong yang sudah nampak sirnanya. Ia memerlukan kepada usaha yang lebih konstruktif lagi bukan dengan merendah-rendahkannya khasnya kepada orang Islam.
Justeru, perbincangan yang lebih praktikal pada masa kini ialah berkaitan dengan teknikal pelaksanaan hudud. Contohnya:
- Bagaimanakah cara hudud dibangunkan dalam kerangka Perlembagaan Malaysia?
- Adakah sebagai rang undang-undang sendiri atau dimasukkan dalam sistem yang sedia ada dengan mengubah Panel Kod?
- Bahagian manakah dalam Perlembagaan yang perlu diubah?
- Bagaimanakah proses dan SOP perbicaraan? Adakah ia dibicarakan di Mahkamah Sivil atau di Mahkamah Syariah?
- Adakah semua sekali bahagian hudud perlu dilaksanakan atau boleh dibuat secara berperingkat? Contohnya, buat dalam kesalahan minum arak dahulu, kemudian diikuti dengan kesalahan yang lain.
Kalau Ramasami berzina dengan Aminah, apakah Ramasami dilepaskan, manakala Aminah sahaja dikenakan tindakan undang2? Tunggu artikel akan datang.
0 Comments