SIRI 18: IBADAT TETAPI HATI MASIH LAGI BERPENYAKIT


Antara tujuan penting dalam beribadat ialah untuk menjadi hamba Allah yang sejati. Kita melakukan ibadat sepenuhnya kerana Allah, bukan kerana makhluk. Sebagai contoh, kenapa kita sanggup bagi RM100 sebagai sedekah/ derma kepada orang susah? Kita bersusah payah mendapatkan RM100 itu, tetapi kita memberinya pula kepada orang lain hanya kerana satu sebab sahaja iaitu untuk mendapatkan pahala dan keredoan dari Allah. Kalau inginkan sanjungan, memang tidak diberikan pahala oleh Allah. 
   

Ibadat mengajar kita erti ketundukan dan kepatuhan kepada Allah. Kalau ada orang mengupah kita untuk beribadat, sanggupkah kita puasa selama 30 hari? Menunaikan solat lima waktu berjemaah?, bersusah payah menunaikan haji? Kita hanya melakukan semua itu berdasarkan kepada bayaran yang diberikan kepada kita. Kalau dia bagi RM200, kita akan buat berdasarkan kepada nilai RM200. Tetapi kalau kita buat ikhlas kerana Allah, kita akan buat secara lebih baik berdasarkan kepada tahap keikhlasan dan keimanan kita kepada Allah. Lagi tinggi iman dan keikhlasan kita, lagi baik kualiti amalan kita.

Ketundukan dan kepatuhan adalah urusan hati. Ibadat yang dilakukan itu perlu boleh melembutkan hati kerana itu adalah matlamat penting daripada ibadat. Tanda hati yang lembut ialah sensitif dengan perkara yang maksiat dan mudah tersentuh dengan amalan kebajikan. Airmatanya mudah mengalir apabila terdapat perkara yang menyentuh hati. Manakala orang yang hatinya kasar, dia tidak pedulikan perkara yang baik dan yang tidak baik. Bagi dia sama sahaja.

Manusia biasa menyebut, malah menyenaraikan kelemahan orang lain tetapi payah untuk mengenal kelemahan diri sendiri. Sifat bongkak, sombong dan ego menyebabkan seseorang itu buta dengan kelemahan dirinya. Cubalah kita senaraikan kelemahan diri kita, payah kan nak jumpa. Kalau masih tak jumpa, cubalah minta orang yang terdekat dengan kita seperti isteri/suami, ibu bapa, sahabat karib menyenaraikan kelemahan diri kita dengan ikhlas. Namun, orang yang lembut hatinya mampu mengenalpasti kelemahan dirinya. Bagaimana ingin memperbaiki kelemahan diri kalau kelemahan itu pun tidak dikenalpasti?

Orang yang betul cara ibadatnya kepada Allah boleh memperkenalkan kelemahan dirinya. Dia menghayati setiap amalan yang dilakukan sehingga benar-benar sensitif dengan urusan dosa dan pahala yang mungkin boleh menjejaskan tahap perhambaannya kepada Allah. Secara umumnya manusia mempunyai empat tahap iaitu

1- Rasa bersalah dengan dosa
Apabila melakukan dosa, hati akan diburu rasa resah dan bersalah kerana jiwa sedang menentang dengan fitrahnya. Fitrah manusia adalah baik (sewaktu di alam roh dan mula mula dilahirkan ke muka bumi ini). Jadi apabila fitrah ini dikotori, manusia seolah olah menentang hati kecilnya sendiri.

2- Rasa biasa dengan dosa
Ada manusia yang sudah biasa dengan perkara dosa, tiada rasa resah dan tiada rasa bersalah. Alah bisa tegal biasa. Ini juga kerana dia tidak sedar apa yang dilakukan itu adalah perkara dosa kerana sudah biasa.

3- Rasa seronok dengan dosa
Dosa adalah “racun” yang disalut kemanisan dan keindahan. Dari tahap terbiasa dengan dosa, “penyakit” hati akan meningkat setahap lagi, yakni pada tahap seronok dan rasa indah dengan dosa. Pada tahap ini, diri manusia itu sentiasa mengintai peluang dan ruang untuk melakukan dosa. Rasa ketagih dengan maksiat, rasa gian dengan kemungkaran, menghantui hati.  Racun dosa akan bertukar menjadi nikmat. Tiada lagi rasa bersalah

4- Jadi pembela kepada dosa
Nafsu tidak pernah puas.  Kehendaknya tiada batas. Syaitan pula ialah tukang karut yang tidak pernah alpa, usahanya tidak pernah kendur. Keseronokan melakukan dosa itu menyebabkan pelakunya menjadi pembela dan pejuangnya.

Ibadat yang betul dan ikhlas mampu untuk menyucikan diri dan membersihkan hati. Sekiranya masih lagi melakukan dosa dan maksiat (contoh- tidak menutup aurat, meyimpan wang dalam bank riba, rasuah, ambil insuran bukan takaful) ini bermakna masih ada yang tidak kena dengan ibadat yang dilakukan. Mungkin dari sudut kefahaman, penghayatan dan pengamalan. Sama-samalah kita memuhasabah ibadat kita dan menilai hati kita kerana manusia ini tiada yang sempurna.

Post a Comment

0 Comments