ISLAM TIDAK PERLU DISEDERHANAKAN, TETAPI PERLU DISEIMBANGKAN (siri 3)

Istilah "Islam sederhana" merupakan suatu istilah yang sengaja dibuat untuk berhadapan dengan umat Islam agar mereka tidak menentang barat. Menjadi seorang Muslim yang kuat bergama dianggap suatu ancaman kepada barat kerana ia akan menolak nilai-nilai barat. Barat menganggap mereka sebagai ekstremis, fundamentalis dan pelampau agama. Sifat pelampau dan ekstreme ini perlu disederhanakan untuk menjaga segala kepentingan barat. 

"Islam sederhana” merupakan suatu istilah yang boleh membawa kepada salah faham tentang Islam. Apa yang Islam anjurkan ialah keseimbangan dalam tindakan, bukan kesederhanaan dalam tindakan. Islam tidak perlu disederhanakan, tetapi melaksanakannya perlu kepada keseimbangan. 

  

Terdapat dua perkara yang berkaitan keseimbangan. 


PERTAMA: Setiap kita memegang pelbagai tanggungjawab dalam satu-satu masa; sebagai anak, sebagai pekerja, sebagai ayah, sebagai suami, sebagai isteri, sebagai majikan, sebagai jiran, sebagai sahabat dan sebagainya. Setiap satu dari tanggungjawab berkenaan ada sebagai tahap fardu ain dan sebagai fardu kifayah; ada pula yang wajib dan ada yang sunat. Maka tugas kita ialah untuk melaksanakan seluruh fardu ain dan perkara wajib dalam setiap tanggungjawab itu, kemudian barulah kita menyempurnakan tanggungjawab fardu kifayah dan perkara sunat. Adalah salah sekiranya kita menyempurnakan satu tanggungjawab sahaja seperti hanya melunaskan tanggungjawab sebagai pekerja sehingga berjaya menjadi pekerja yang cemerlang di pejabat, tetapi menjadi ayah yang tidak bertanggungjawab di rumah. Ini tidak seimbang. Semua tanggungjawab itu perlu dilaksanakan semuanya secara seimbang.

Empat contoh berikut tentang keseimbangan yang boleh menjadi panduan kepada kita: 

1- Rasulullah memarahi Muaz yang membaca Surah al-Baqarah ketika menjadi imam Solat Isyak yang mengambil masa sekitar 2 jam. Baginda mengur “Adakah kamu pembawa fitnah wahai Muaz?”. Ini bukan bermakna salah membaca surah yang panjang, tetapi sebagai imam Muaz perlu untuk mengambil kira tanggungjwab orang lain yang mungkin akan terabai. 

2- Apabila Salman menziarahi Abu Darda, dia mendapati Abu Darda tidak menghiraukan isterinya, tidak makan bersama tetamu kerana sentiasa berpuasa dan solat sepanjang malam. Lalu Salman menegur Abu Darda, bahawa badan, keluarga dan tuhan mempunyai hak yang perlu ditunaikan. Tunaikan semua hak itu sewajarnya. Apabila diajukan perkara itu kepada Rasulullah, baginda memperakukan.

3- Ada 3 orang sahabat datang ke rumah Rasulullah. Apabila isteri Rasulullah menjelaskan cara amalan dan gaya hidup Rasulullah, mereka seolah memperkecilkannya. Salah seorang mereka berkata: Aku akan solat dan tidak tidur, seorang lagi berkata aku tidak akan berkahwin dan seorang lagi berkata aku berpuasa dan tidak berbuka. Lalu baginda bangun bersabda. Aku (ni seorang Nabi), aku solat, aku tidur, aku berpuasa dan aku berbuka. Aku juga berkahwin. Sesiapa yang tidak suka dengan sunnah aku, ia bukan dari (pengikut) aku. 

4- Ada seorang sahabat yang berkahwin tetapi tidak menggauli isterinya kerana sibuk dengan puasa dan solat. Rasulullah menyarankan agar berpuasa 3 hari sebulan, tetapi dia menjawab aku mampu lebih dari itu. Baginda menyarankan puasa sehari dan berbuka dua hari, tetapi dia menjawab aku mampu lebih dari itu. Kemudian Baginda menyarankan puasa sehari dan berbuka sehari, tetapi dia masih menjawab aku mampu lebih dari itu. Rasulullah bersabda, itu puasa Nabi Daud dan tidak afdal lebih dari itu. 

Orang Islam perlu menjadi Muslim yang terbaik bagi mencapai keredoan Allah, bukan Muslim yang biasa-biasa. Namun contoh di atas menjelaskan bahawa Islam turut mementingkan keseimbangan agar tidak mengabaikan hak orang lain. Bukan dengan menyederhanakan orang Islam dari melakukan yang terbaik untuk agamanya, tetapi pengamalan begitu akan mengabaikan tanggungjawab dan hak orang lain. 

Apakah maksud Muslim "biasa-biasa aja”? Adakah ia membawa maksud mengerjakan solat pada waktu subuh, kemudian berlajar/ bekerja pada waktu pagi, kemudian berjoget poco2 pegang tangan lelaki dan perempuan pada waktu petang, kemudian solat pada waktu maghrib, kemudian pergi dinner dan dancing di malam hari. Adakah cara ini diterima dalam Islam? Adakah ini sederhana?


KEDUA: Pelaksanaan Islam secara seimbang juga membawa maksud memastikan kehendak matlamat Islam itu tercapai dalam masa pendek dan panjang. 

Sebagai contoh, Islam juga tidak mahu kita melaksanakan Nahi mungkar yang akan menatijahkan kemungkaran yang lebih besar lagi. Sebagai contoh, menegur orang yang malas solat dengan cara yang kasar bukan sahaja akan menyebabkan sikapnya yang malas solat itu berterusan tetapi ia akan menyebabkan berlaku lagi kemungkaran yang lain seperti dia akan marah kepada kita dan dia akan bertindak dengan lebih buruk lagi. Dari satu kemungkaran, lahir pula dua malah mungkin tiga kemungkaran. Ini tidak betul. Rasulullah sendiri pernah melarang para Sahabat dari mengambil tindakan ke atas seorang Arab Badawi yang sedang kencing di dalam masjid kerana tindakan itu akan menyebabkan lebih banyak mudarat berbanding manfaat. 

Oleh itu mengetahui keutamaan ini penting di dalam Islam agar ia dapat membawa kepada keseimbangan. Ini yang dinamakan dengan "Fiqh Keutamaan” atau FIQH AWLAWIYYAT. 


Para ulama telah membincangkan keseimbangan pelaksanaan Islam antara Ifrat (keterlaluan) dan tafrit (cuai). Ifrat membawa maksud keterlaluan sehingga mengabaikan hak orang lain dan manakala tafrit pula ialah kecuaian dan langsung mengabaikan ajaran Islam. Umat Islam perlu seimbangkan antara dua perkara ini, bukan menyederhanakannya.


ISLAM TIDAK PERLU DISEDERHANAKAN, TETAPI PERLU DISEIMBANGKAN

Post a Comment

0 Comments