MANHAJ WASATIYYAH DARI PERSPEKTIF ASWJ

Ahli Sunnah wa al-Jamaah (ASWJ) semua merangkumi aliran yang meletakkan al-Quran, kemudian Hadis dan kemudian akal sebagai asas dalam pemikiran dan dalam meletakkan sesuatu hukum. Definisi ini menolak aliran yang mengagungkan akal sebagai asas pemikiran seperti muktazilah yang suatu masa dahulu bertempur hebat dengan tokoh Asyairah seperti Imam al-Baqillani dan Imam al-Ghazali; dan tokoh Maturidiyyah seperti Imam al-Nasafi. Aliran Salafi telah wujud sejak zaman Imam Ahmad bin Hanbal tetapi masih belum lagi establish kerana perkembangan pesat mereka selepas era Ibn al-Qayyim dan imam Ibn Taimiyyah. Oleh kerana jasa mereka besar dalam berhadapan dengan Muktazilah, apabila disebut ASWJ maka dirujuk kepada aliran Asyairah dan Maturidiyyah. 

Walau bagaimanapun, intipati kepada kedua aliran ini bukanlah disebabkan namanya dan tokohnya, tetapi kepada manhaj yang digunakan dalam meletakkan al-Quran, Hadis dan akal. Dalam pada itu, ada juga aliran salafi yang turut mendakwa mereka juga adalah ASWJ berdasarkan kepada manhaj yang digunakan. Perbezaan pandangan dalam menentukan siapakah ASWJ ini tidak selesai melainkan setelah melihat kepada manhaj yang perlu dipersetujui secara bersama. 

Mengikat ASWJ dengan mana-mana aliran hanya akan menyebabkan pertembungan yang tidak perlu dan ini akan merugikan umat Islam. Perkara yang dipersetujui ialah
1- ASWJ ialah bertentangan dengan aliran Syiah kerana Usul pemikiran Syiah jauh berbeza dengan ASWJ.
2- Meletakkan keutamaan yang betul dalam sumber hukum seperti berikut: al-Quran, kemudian Hadis dan kemudian akal. Dengan ini Muktazilah bukan ASWJ. 
3- Berusaha untuk merujuk kepada sumber hukum Islam sekiranya ada berlaku apa-apa isu. Dengan ini, ASWJ menolak semua aliran sekular dan liberal kerana mereka tidak mengendahkan sumber hukum. 
4- Meletakkan kepentingan umat Islam dan perpaduan berteraskan kepada Syariat sebagai keutamaan yang tinggi. Menolak aliran yang menggunakan keganasan dan kekerasan yang tidak berlandaskan konsep jihad. 

Pertembungan dalam perkara yang khilafiyyah dan furu’ tidak dapat dielakkan kerana ia merupakan perkara tabiie manusia bila berhadapan dengan peraturan (Nusus Syara’). Ada yang mengambil pendekatan yang terlalu tekstual, dan ada pula yang terlalu maqasid dan ada pula yang langsung tidak menghiraukan ke semua peraturan itu. Memang akan ada aliran yang sedemikian dan perbezaan tidak dapat dielakkan. 
Namun, sikap yang keterlaluan mempertahankan pandangannya dan memaksa pandangannya diterima dalam isu khilafiyyah akan membawa perpecahan dalam masyarakat. 

Pendekatan berhemah meraikan keadaan masyarakat dengan cara membimbing, bukan menghukum adalah pendekatan yang berhikmah seperti mana yang dilakukan oleh Rasulullah. Begitu juga, tokoh ulama perlu membuat keutamaan agar umat Islam dapat membuat pilihan yang betul, bukan dengan melibatkan perdebatan dan polemik yang kurang perlu dalam masyarakat. Inilah wastiyyah dalam manhaj Islam, yang bukan melampau (ifrat) dan bukan juga mengabaikan (tafrit).

✏Dr Muhamad Faisal
https://www.facebook.com/Dr-Muhamad-Faisal-1068608309825290/

Post a Comment

0 Comments