Monday, August 15, 2016

DARI “POKEMON GO” Ke “SOLAT GO”:

Evolusi Permainan “Game Reality”

“Pokemon Go” adalah sejenis game yang bersifat realiti di mana pemainnya tidak hanya duduk setempat sahaja tetapi perlu bergerak dan berjalan untuk melakukan tugasan berdasarkan kepada aturan dalam game berkenaan. Ini adalah inovasi baru dalam permainan game kerana ia menjadikan alam sekeliling sebagai sebahagian dari permainan. Ini adalah satu perkembangan yang dijangka akan turut dikembangkan oleh game-game yang lain. Lagi mencabar game itu, lagi akan diminati. 


Dari satu sudut, game jenis ini memerlukan pemainnya lebih berhati-hati kerana kemusnahan dan kegagalan itu, jika berlaku, ia boleh memberi kesan secara sebenar (real). Kalau tidak sebenar pun, ia adalah hampir sebenar. Beberapa kes kemalangan di luar negara dikaitkan dengan permainan game Pokemon Go dan terbaru ada kemalangan di dalam negara yang dikaitkan dengan berpunca dari game ini. Dalam game biasa, sekiranya berlaku kemusnahan, dalam sekelip mata ia akan kembali pulih dan game yang baru boleh dimulakan. Oleh kerana kesan yang boleh membahayakan pemainnya seperti membawa kepada kemalangan, maka Mufti Wilayah Persekutuan berpandangan game “Pokemon Go” patut dielakkan. Begitu juga, Angkatan Tentera Malaysia tidak membenarkan permainan ini dimainkan di Kem Tentera. 

Saya meletakkan keyakinan bahawa game jenis ini akan berkembang lagi kerana manusia mungkin bosan hanya dengan duduk bermain secara statik sahaja. Sekiranya ada peluang untuk bermain secara bergerak dengan menggunakan teknologi, permainan ini mungkin akan mendapat lebih perhatian. Apa yang lebih penting ialah aspek keselamatan dalam penggunaan permainan itu terjaga bagi mengelakkan kemalangan atau apa-apa yang tidak diingini itu berlaku. Dengan kata lain, aturan game itu dibangunkan dengan cara yang lebih selamat.

Pada zaman kanak2 dahulu, kami bermain penggal tin, penggal selipar, jengkek, zero point, galah panjang, batu seremban dan sebagainya. Ini semua adalah permainan tradisional yang bersifat realiti dan boleh menanam nilai dalam hubungan kemanusiaan. Pemainnya memerlukan tenaga dan kemahiran yang sebenar dan tidak melakukan perkara yang boleh menjejaskan hubungan kemanusiaan. Sekiranya kami mereka bermain dengan anak ayam, burung, merpati, tangkap ikan laga dalam bendang dan sebagainya, kami akan berusaha untuk bermain dengan hati-hati. Kalau binatang itu mati, ia akan mati sebenar, bukan tipu-tipu. Ia akan menanam nilai kemanusiaan yang tinggi dalam diri pemainnya. 

Ketika mana, game telah menjadi suatu yang bersifat versetail yang boleh dimainkan di mana-mana, masyarakat mula melupakan game tradisional. Memang sifat kepada game tradisional ini memerlukan kepada sedikit masa dan tenaga untuk membuat aturan. Itu yang menjadikan game ini kurang popular lagi. Dengan kemajuan teknologi komunikasi dan semakin lama masa yang dihabiskan untuk menggunakan teknologi ini, maka  hubungan kemanusiaan ini mula menjadi longgar. Kualiti kemahiran komunikasi mulai susut. Kata-kata buruk, kesat, kurang sopan dan sebagainya mudah dihamburkan walaupun kepada orang yang lebih dewasa. 

Ringkasnya, perkembangan game reality bagaikan sebuah arus dan mungkin kita tidak dapat menahan arus ini. Apa yang penting bagaimana pembangun game jenis ini mencipta game reality yang mempunyai ciri Malaysia dan juga dapat mengukuhkan kefahaman dan amalan agama orang Islam. Sebagai contoh permainan yang boleh mengenalpasti bunyi bacaan dalam solat, menambah vocabulary dan sebagainya. Sekiranya, game reality ingin dibangunkan, biarlah ia dapat menanam nilai kemanusiaan agar ia lebih membawa manfaat kepada manusia. 

Dr. Muhamad Faisal