Tuesday, March 20, 2018

DOA: WASILAH MENGADU SEGALA PERKARA KEPADA ALLAH

Doa bukan sekadar meminta tetapi ia sebagai tempat mengadu dan bergantung harap dengan Allah. Bukan Allah tidak tahu kita susah, kita sakit, kita dizalimi dan kita ditindas, tetapi Allah mahu mendengar rintihan dan aduan dari manusia agar merasakan dirinya hampir dengan Allah.


Sifat orang yang beriman ialah tidak lekang dari berdoa dan bermunajat dengan Allah. Mengadu segala masalah dan urusan dengan Allah. Merintih atas segala  kezaliman yang menimpa diri dan masyarakatnya. Sebarang kesusahan, kesulitan dan kepayahan dalam kehidupan, diajukan kepada Allah. Kepada siapa lagi tempat dia berharap, bermunajat dan berdoa melainkan kepada Allah.

Sewaktu senang, dia juga berdoa dengan memuji Allah, menyebut kebesaran Allah, menghitung segala nikmat yang diberikan oleh Allah sehingga merasa dirinya terlalu kerdil dalam lautan nikmat dan kebesaran Allah. Hubungan yang baik ketika senang ini akan memudahkan Allah menerima doanya ketika dia susah.

Orang yang bongkak dan sombong payah benar untuk berdoa kepada Allah, malahan ada yang tidak ada sepicing rasa untuk berdoa kepada Allah. Tidak mahu berharap kepada Allah. Tidak mahu bergantung kepada Allah. Tidak mahu meminta bantuan Allah. Semuanya boleh dilakukan dengan usaha mereka sendiri tanpa perlu bantuan Allah.

Berbisiklah dengan Allah, ucaplah rasa syukur dan pujian yang tinggi kepada Allah, ajukan segala permintaan kepada Allah. Itu tanda ada iman dalam hati.

Dr. Muhamad Faisal 

Sunday, March 11, 2018

POCO2, ZUMBA, PANAMA, SENAMROBIK: AKHLAK ADALAH BEYOND TUDUNG

Memang benar sudah bertudung dengan kata lain tuntutan menutup aurat telah dipenuhi. Namun, aurat bukan sekadar tudung, ia juga melibatkan aspek kemuliaan dalam diri seorang Muslimah. Kadang-kadang yang ditutup itu rambut, tetapi pakaian pula bagaikan "balutan nangka".

Sebenarnya, penampilan seseorang muslimah bukanlah sekadar tudung, tetapi ia melibatkan aspek akhlaq yang jauh mendasar lagi dari itu. Memang tudung itu penting kerana ia melibatkan soal hukum tetapi akhlak adalah beyond tudung kerana ia melambangkan kesempurnaan keperibadian Muslimah. 


Aurat ialah aspek malu yang patut ditutup oleh seorang Muslimah dan malu sebahagian dari iman. Ia bukan aspek fizikal sahaja, tetapi aspek dalaman pada seseorang. Inilah hikmah yang perlu dihayati oleh Muslimah dalam mengenakan tudung dikepala. 

Lagi sempurna akhlak seseorang itu, lagi ia perlu menjaga keperibadian. Terjerit-jerit, terkinja-kinja, terlompat-lompat, menghayun badan dan buah dada, tidak sesuai untuk ditampilkan di hadapan lelaki. Apatah lagi dirakam dan disebarkan menerusi FB, wasap dan sebagainya. 

Kesempurnaan akhlak, kemuliaan wanita. 

Dr. Muhamad Faisal