Friday, July 6, 2018

FAHAMI PUNCA GENERASI BAHARU SEMAKIN PELIK DAN ANEH

Agama mengikat segala tingkah laku manusia kerana agama mempunyai autoriti. Ia datang dari tuhan yang mencipta manusia. Manakala tradisi pula datang dari adat yang sudah lama diamalkan oleh sesebuah masyarakat. Namun generasi baharu bagaikan tidak menghargai aturan agama dan ketetapan tradisi kerana mereka mahukan gaya hidup bebas dan tidak terikat dengan mana-mana pihak.

Kecenderungan kepada kebebasan dan menolak tradisi ini telah menjadi rahsia umum kerana mereka merupakan generasi Internet yang telah mengajar mereka erti kebebasan. Tiada halangan dan larangan bila berada dalam dunia maya kerana mereka boleh akses dan berinteraksi dengan sesiapa yang mereka kehendaki. Tidak pula dimarahi apabila membelok ke kanan sedangkan waze memberi panduan arah ke kiri. Inilah kelebihan Internet.

https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2018/07/445267/fahami-punca-generasi-baharu-semakin-pelik-aneh

Dalam dunia realiti, penuh dengan larangan dan arahan yang disusuli dengan marah dan herdikan. Inilah perkara yang mereka tidak mahu kerana bagi mereka tiada satu yang tetap dan tidak berubah. Semua sudah menjadi cair dan perlu mendakap kepelbagaian. Ini merupakan cabaran kepada agama dan tradisi, sekiranya kedua perkara ini tidak melakukan sesuatu perubahan, akan dianggap lapuk, kolot dan mundur. Patutlah mereka rasa bosan dengan istilah tarbiah, taat, amal dan iman.

Pendekatan tidak sesuai

Ada kemungkinan kebosanan itu disebabkan pendekatan agama dan tradisi yang tidak sesuai dengan jiwa generasi baharu. Namun, hidup mereka yang berteraskan teknologi menuntut semua perkara menjadi cepat dan segera. Mereka bosan kalau lambat dan tidak berubah. Tak mainlah teh tarik dan nasi dagang kerana itu old taste. Pilihan mereka ialah fast food, cool blog ice, makaroni cheese, cabonara dan western food.

Mereka mahu yang baharu, sensasi, teruja, moden dan ada kelainan. Mereka mahu diraikan pandangan, pendapat, hak dan keinginan mereka. Yang lama, tradisional, lambat, garang, kasar dan bengis, semua ni membosankan.

Memang baharu tidak dapat elak dari kebebasan, kelainan dan sensasi. Apabila ada pembaharuan, ia memaksa berubah dari zon selesa kepada zon baharu yang mungkin berdepan dengan pelbagai kemungkinan. Apa yang pasti, tidak semestinya mengikut ketetapan autoriti dan amalan tradisi, ia mestilah mengikut kemahuan isi hati dan keinginan rasa nafsu. Apabila mereka mula ingin lolos dari ikatan tradisi Melayu dan panduan agama, maka jarum liberalisme bermula.

Kebebasan sifat semula jadi gen baharu

Kebebasan bukanlah dibuat-buat sehingga mereka perlu dimarahi untuk berubah, tetapi ia merupakan perkara yang telah menjadi semula jadi dalam diri mereka. Ia bukanlah salah acuan pendidikan di rumah atau di sekolah, tetapi itulah didikan yang mereka terima dari Internet dan media baharu yang lebih berkesan.

Cuba lihat, apabila mereka bermain game dan berfacebook, bila dipanggil telinga mereka bagaikan tidak lagi mendengar kata-kata orang lain. Mak panggil pun sudah tidak dengar. Orang sebelah pun tidak dihiraukan. Betul-betul fokus dan berada dalam dunia mereka sendiri yang dinamakan dengan dunia siber. Inilah nilai baharu yang ditanam kepada generasi baharu. Mementingkan interaksi dengan teknologi dan alam siber berbanding dengan yang lain.

Sementara media baharu sudah berada di tangan, mereka juga tidak segan dan tiada sebarang halangan untuk membuat komen dan bercakap tentang apa sahaja yang mereka mahu. Apabila ikut suka hati dan ikut suka mulut, maka gaya bahasa pun sudah jauh berbeza dan ada kelainan dengan nilai bahasa yang diamalkan.


Bahasa keras, kasar, maki hamun, sinis, sarkastik dan sebagainya adalah gaya yang mereka amalkan. Tidak kurang pula, yang pandai cakap, komen dan poyo, tetapi tidak pandai buat. Ini semua adalah sebahagian kesan secara tidak langsung dari Internet dan media baharu yang telah banyak mengubah nilai masyarakat.

Kesimpulan

Ringkasnya, mereka memerlukan kepada pendekatan baharu dalam agama. Ya, teras dan akidah dalam agama tidak berubah, tetapi pendekatan yang perlu berubah. Contohnya, mereka tidak boleh terima kalau diperintahkan tanpa alasan yang logik dan mereka juga ingin turut sama dalam membuat keputusan barulah mereka rasa dihargai.

Dari sudut tradisi Melayu pula, ia sesuatu yang membimbangkan kerana tiada yang tetap dalam sesebuah budaya. Ia tidak seperti agama yang mempunyai kitab suci. Apa pun, ia mesti dipelihara dan dipertahankan menerusi nilai hidup yang baik dan universal.

Akhirnya, sebagai generasi lama, kita tidak boleh merungut dengan generasi baharu ni jadi semakin pelik dan aneh, tetapi perlu memahami punca mereka jadi begitu. Dengan ini, kita tidak akan tertekan dan akan dapat memahami cara untuk mendekati mereka.

Dr. Muhamad Faisal 
2 Julai 2018

No comments: