SIRI 9/50: MATLAMAT BERPOLITIK UNTUK MENGUKUHKAN ISLAM DAN MEMBAWA KEADILAN KEPADA SEMUA

Keraguan: 


1- Saya tidak mahu terlibat dengan politik kerana tidak mahu perpecahan.

2- Tujuan berpolitik untuk mendapatkan kuasa. Tagih undi dari sesiapa dengan apa cara sekalipun kerana yang penting ialah kuasa.

 


Penjelasan: 

Politik merupakan sebahagian dari Islam kerana ia berkait dengan kuasa. Untuk melaksanakan Islam, tidak cukup sekadar dakwah, tetapi memerlukan kepada kuasa pemerintahan. Oleh sebab itu, Rasulullah melibatkan diri secara langsung dengan politik untuk memastikan Islam tertegak di Mekah dan Madinah. 

 

Cuma untuk politik kepartian, mungkin ada yang rasa tidak selesa kerana masing-masing mempunyai kecenderungan tersendiri kepada parti politik tertentu. Walau bagaimanapun, semua orang Islam perlu sedar tanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara. Politik merupakan wadah yang tidak boleh ditinggalkan. 

 

Berpolitik mestilah mengukuhkan agama dan bangsa. Bukan dengan berpolitik, agama Islam semakin dihina dan orang Islam semakin hilang kuasa. Menerusi politik juga, Dakwah Islam sepatutnya semakin kuat dan orang bukan Islam tunduk dan hormat dengan Islam. Inilah intipati politik yang dianjurkan oleh Rasulullah. 

 

Oleh sebab itu, Rasulullah tidak menerima tawaran yang diberikan oleh orang Quraisy kepada kuasa, harta dan wanita. Kerana syarat tawaran itu ialah Rasulullah tidak boleh menyebarkan dakwah dan menghentikan segala usaha yang dilakukan. Walau bagaimanapun, Rasulullah menolak tawaran itu dan mengambil jalan susah dan mencabar. Akhirnya Baginda dan para sahabat diboikot dan diperangi atas keputusan yang diambil ini, tetapi berpegang dengan prinsip agama sangat penting dalam politik Islam. 

 

Prinsip penting dalam politik Islam ialah untuk menjaga dan mengukuhkan Islam, bukan akhirnya agama dipermainkan dan bangsa ditertawakan. Di samping itu, ia mestilah membawa keadilan kepada semua pihak termasuk penganut agama lain. 

 

Ini dapat dilihat dari kebijaksanaan Rasulullah dalam berpolitik. Rasulullah bukanlah mengambil pendekatan yang berlembut sepanjang masa dalam berhadapan dengan Yahudi, tetapi Baginda mengambil pendekatan tegas, tangkas dan berani dalam berhadapan dengan Yahudi. Ini bukan bermakna tidak perlu kepada pendekatan yang lembut, tetapi menganggap Rasulullah sentiasa dakwah dengan lembut sahaja adalah salah. 

 

Kebijaksanaan Rasulullah berpolitik telah berjaya mengumpul kekuatan orang Islam sehingga berjaya mengusir keluar Yahudi dari Bani Qaynuqa, Bani Nadir dan Bani Qurayzah keluar dari Madinah kerana mereka telah mengkhianati Rasulullah dan perjanjian. Mereka cuba menentang Rasulullah dengan bantuan geng munafik, tetapi bantuan itu tidak berjaya mengalahkan Rasulullah. 

Post a Comment

0 Comments