Antara tujuan penting dalam beribadat ialah untuk menjadi hamba Allah
yang sejati. Kita melakukan ibadat sepenuhnya kerana Allah, bukan kerana
makhluk. Sebagai contoh, kenapa kita sanggup bagi RM100 sebagai sedekah/ derma kepada
orang susah? Kita bersusah payah mendapatkan RM100 itu, tetapi kita memberinya pula
kepada orang lain hanya kerana satu sebab sahaja iaitu untuk mendapatkan pahala
dan keredoan dari Allah. Kalau inginkan sanjungan, memang tidak diberikan
pahala oleh Allah.
Ibadat mengajar kita erti ketundukan dan kepatuhan kepada Allah.
Kalau ada orang mengupah kita untuk beribadat, sanggupkah kita puasa selama 30
hari? Menunaikan solat lima waktu berjemaah?, bersusah payah menunaikan haji?
Kita hanya melakukan semua itu berdasarkan kepada bayaran yang diberikan kepada
kita. Kalau dia bagi RM200, kita akan buat berdasarkan kepada nilai RM200. Tetapi
kalau kita buat ikhlas kerana Allah, kita akan buat secara lebih baik
berdasarkan kepada tahap keikhlasan dan keimanan kita kepada Allah. Lagi tinggi
iman dan keikhlasan kita, lagi baik kualiti amalan kita.
Ketundukan dan kepatuhan adalah urusan hati. Ibadat yang dilakukan
itu perlu boleh melembutkan hati kerana itu adalah matlamat penting daripada
ibadat. Tanda hati yang lembut ialah sensitif dengan perkara yang maksiat dan
mudah tersentuh dengan amalan kebajikan. Airmatanya mudah mengalir apabila
terdapat perkara yang menyentuh hati. Manakala orang yang hatinya kasar, dia
tidak pedulikan perkara yang baik dan yang tidak baik. Bagi dia sama sahaja.
Manusia biasa menyebut, malah menyenaraikan kelemahan orang lain
tetapi payah untuk mengenal kelemahan diri sendiri. Sifat bongkak, sombong dan
ego menyebabkan seseorang itu buta dengan kelemahan dirinya. Cubalah kita
senaraikan kelemahan diri kita, payah kan nak jumpa. Kalau masih tak jumpa,
cubalah minta orang yang terdekat dengan kita seperti isteri/suami, ibu bapa,
sahabat karib menyenaraikan kelemahan diri kita dengan ikhlas. Namun, orang
yang lembut hatinya mampu mengenalpasti kelemahan dirinya. Bagaimana ingin
memperbaiki kelemahan diri kalau kelemahan itu pun tidak dikenalpasti?
Orang yang betul cara ibadatnya kepada Allah boleh memperkenalkan kelemahan
dirinya. Dia menghayati setiap amalan yang dilakukan sehingga benar-benar
sensitif dengan urusan dosa dan pahala yang mungkin boleh menjejaskan tahap
perhambaannya kepada Allah. Secara umumnya manusia mempunyai empat tahap iaitu
1- Rasa bersalah dengan dosa
Apabila
melakukan dosa, hati akan diburu rasa resah dan bersalah kerana jiwa sedang
menentang dengan fitrahnya. Fitrah manusia adalah baik (sewaktu di alam roh dan
mula mula dilahirkan ke muka bumi ini). Jadi apabila fitrah ini dikotori,
manusia seolah olah menentang hati kecilnya sendiri.
2- Rasa biasa dengan dosa
Ada
manusia yang sudah biasa dengan perkara dosa, tiada rasa resah dan tiada rasa bersalah.
Alah bisa tegal biasa. Ini juga kerana dia tidak sedar apa yang dilakukan itu
adalah perkara dosa kerana sudah biasa.
3- Rasa seronok dengan dosa
Dosa adalah
“racun” yang disalut kemanisan dan keindahan. Dari tahap terbiasa dengan
dosa, “penyakit” hati akan meningkat setahap lagi, yakni pada tahap seronok
dan rasa indah dengan dosa. Pada
tahap ini, diri manusia itu sentiasa mengintai peluang dan ruang untuk
melakukan dosa. Rasa ketagih dengan maksiat, rasa gian dengan kemungkaran,
menghantui hati. Racun dosa akan bertukar menjadi nikmat. Tiada lagi rasa
bersalah
4- Jadi pembela kepada dosa
Nafsu tidak pernah puas. Kehendaknya tiada batas. Syaitan pula ialah tukang karut yang tidak pernah alpa, usahanya tidak pernah
kendur. Keseronokan melakukan dosa itu menyebabkan pelakunya menjadi
pembela dan pejuangnya.
Ibadat yang betul dan ikhlas mampu untuk menyucikan diri dan
membersihkan hati. Sekiranya masih lagi melakukan dosa dan maksiat (contoh- tidak
menutup aurat, meyimpan wang dalam bank riba, rasuah, ambil insuran bukan
takaful) ini bermakna masih ada yang tidak kena dengan ibadat yang dilakukan.
Mungkin dari sudut kefahaman, penghayatan dan pengamalan. Sama-samalah kita
memuhasabah ibadat kita dan menilai hati kita kerana manusia ini tiada yang
sempurna.
0 Comments