Dakwah dan Peranan Pemimpin

Keadaan akidah dan akhlak umat Islam pada masa ini sangat membimbangkan daripada kanak-kanak, para remaja, pemuda, hinggalah ke orang dewasa. Beberapa statistik yang dilampirkan bersama kertas ini sebahagian daripada buktinya. Ia bukan bermakna orang dahulu kuat pegangan agamanya, tetapi cabaran kehidupan dan kemajuan pada masa ini menyebabkan orang tidak menjadikan agama sebagai faktor yang mengikat tindakan dan kehidupan mereka. Ikatan mereka dengan agama malahan juga dengan adat dan budaya Melayu semakin cair bersama kerancakan pembangunan dan kepantasan teknologi. Fenomena ini tidak sekadar di kawasan bandar, malahan di kawasan kampung pun hampir sama. Agama ditolak manakala adat dan budaya pun diketepikan lantaran ramai yang menyangka bahawa akal fikiran manusia sudah mempunyai keupayaan untuk menentukan manakah tindakan yang wajar tanpa perlu kepada tunjuk ajar sama ada dari agama mahupun dari adat. Justeru, menjadi tanggungjawab semua pihak meliputi anggota masyarakat, ahli agama, termasuk para pemimpin untuk melaksanakan gerak kerja dakwah bagi membawa manusia ke jalan yang betul.

Dibentangkan Dalam Kursus Kepimpinan Ketua Kampung Negeri Selangor.


Maksud Dakwah 

Pada asasnya ia bermaksud mengajak, menyeru dan memanggil. Di dalam Islam, ia adalah usaha mengajak, mendorong dan membimbing manusia untuk mendekatkan diri kepada Allah dan melaksanakan segala perintahNya. Dakwah tidak sekadar mengajak dan menyeru, tetapi lebih daripada itu ia adalah usaha mendesak, membimbing dan membentuk manusia ke arah menjadi peribadi dan masyarakat Islam yang baik. 

Ia bukanlah semata-mata mengajar, kerana mengajar akan melahirkan “tahu”. Apa yang penting di dalam dakwah ialah usaha melahirkan “mahu” yang diperolehi hasil daripada usaha melentur nafsu dan jiwa yang dinamakan dengan tarbiyyah. Terdapat perbezaan antara “tahu” dan “mahu” kerana sekadar “tahu” sahaja tidak cukup lantaran apa yang diinginkan ialah tindakan. Berapa ramai orang yang “tahu” mengenai Islam, tetapi tidak pula “mahu” melaksanakannya dan tidak mahu pula terlibat dengan usaha dakwah. Pun begitu, “tahu” itu penting kerana bagaimana ingin “mahu” kalau tidak “tahu”, tetapi “tahu” itu bukanlah segala-galanya.

Pemeringkatan dakwah

Dalam melaksanakan dakwah, terdapat tiga tahap sasaran dakwah

Tahap Bentuk tindakan Kelompok sasaran
Pengenalan Ajakan, seruan, panggil, berhujah, tidak faham terhadap Islam, banyak melanggar perintah Allah, jauh dari masjid dan surau 
Pembentukan Bimbingan, mengajar, mendidik bersedia menerima seruan Islam, mahu dan mudah didekati
Pelaksanaan Penugasan bersedia untuk melaksanakan gerak kerja untuk Islam.

Tahap pertama (pengenalan – al-Ta’rif)
Ini merupakan tahap asas dalam dakwah kerana orang yang perlu didakwahkan itu perlu didekati agar mesej Islam sampai kepadanya. Mereka ini perlu dijinakkan agar mudah didekati. Masalah utama ialah jurang yang jauh antara kita dengan mereka meliputi jurang pemikiran, penampilan, kerjaya, masa dan sebagainya. Semua jurang ini menjadikan usaha untuk mendekati mereka susah dan gagal. Apa yang penting ditahap ini ialah hubungan yang baik perlu diusahakan dengan mereka sehingga mereka boleh mendengar apa yang kita kata. Melalui pendekatan ini, kita dapat menyampaikan mesej dakwah kepada dengan baik. Bagaimana boleh untuk melaksanakan semua ini sekiranya tiada hubungan baik antara kita dengan mereka. Mereka perlu didekati, bukan kita yang pula didekati oleh mereka. 

Tahap kedua (pembentukan – al-Takwin)
Tahap ini merupakan tahap kedua di mana sasaran dakwah bersedia untuk ditarbiyyah dan mendengar apa yang kita katakan. Mereka bersedia untuk datang ke masjid, surau, majlis ilmu dan sebagainya. Justeru, mereka perlu ditunjukkan apakah perkara yang perlu dilaksanakan dan bagaimana pula melaksanakannya. Walau bagaimanapun di tahap ini, mereka hanya bersedia untuk menjadi penyokong dan masih tidak mahu kedepan sebagai barisan pelaksana kepada gerak kerja dakwah. 

Tahap ketiga (pelaksanaan – al-Tanfiz)
Tahap ini merupakan sasaran dakwah yang bersedia untuk menjadi petugas Islam dan melaksanakan gerak kerja dakwah. Mereka merupakan kelompok pendokong kepada gerak kerja Islam dan bersedia melaksanakan segala arahan yang dikeluarkan. Mereka telah faham tentang Islam dan bagaimana melaksanakan perintahnya. 

Dakwah menerusi kepimpnan 

Dakwah sangat sinonim dengan kepimpinan lantaran pemimpinlah yang akan mencorakkan golongan bawahan mereka. Sebagai pemimpin, mereka tidak sekadar membawa pembangunan fizikal tetapi mereka juga dipertanggungjawabkan untuk membawa pembangunan rohani lantaran mereka akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah taala nanti. 

Dalam melaksanakan dakwah menerusi kepimpinan, “personal touch” atau sentuhan peribadi amat penting bagi menjayakan objektif dakwah. Sentuhan peribadi yang bersifat dakwah itu bermula secara tidak formal dengan pembentukan hubungan yang mesra dengan sasaran dakwah. Sekiranya kita dapat menguasai aktiviti mereka, menguasai topik sembang mereka, dan menjadikan kita sebagai orang dihormati di kalangan mereka, maka mudah untuk menasihati mereka, mengajak mereka ke tempat ilmu, dan menyampaikan mesej dakwah kepada mereka. 

Sebagai pemimpin, tentunya kita juga perlu untuk menyelesaikan segala permasalahan mereka dan mengurus kehidupan mereka serta membawa pembangunan kepada mereka. Ruang ini perlu digunakan sebaiknya sebagai pemimpin tetapi bukan untuk kepentingan peribadi. Jadikanlah budi yang ditaburkan dan bakti yang dicurahkan kepada mereka itu untuk dilihat hasilnya demi kepentingan Islam dan dakwah, bukan untuk kepentingan peribadi atau kepentingan lain. 

Hikmah dalam dakwah

Dakwah dan hikmah merupakan sesuatu yang sangat sinonim. Menurut para ulama, hikmah ialah kata-kata dan tindakan yang tepat dan sesuai dengan keadaan. Hikmah dapat diterjemahkan dengan menundukkan (al-Iqna’) dan mempengaruhi (al-Ta’thir). 
a. Menundukkan itu maksudnya ialah menyampaikan hujah yang benar-benar ampuh sehingga dapat mematahkan hujah mereka. Sampai satu tahap, hujah itu dapat meresap di dalam dada mereka. Selain dari itu, mereka segan dan malu dengan kita disebabkan peribadi, ilmu, pengalaman dan sebagainya yang ada pada kita. 
b. Mempengaruhi itu maksudnya ialah segala kata-kata dan tindakan kita meninggalkan kesan kepada mereka sehingga mereka boleh untuk mengikuti apa yang kita ucapakan dan lakukan. 

Untuk mencapai tahap hikmah dalam berdakwah, kita perlu membentuk kredibiliti kepemimpinan yang berkesan agar apa yang kita ucapkan itu diterima baik oleh masyarakat. Bagi membentuk hikmah dalam berdakwah, beberapa perkara perlu dilakukan seperti

• Mengotakan apa yang dikatakan
• Menunjukkan contoh yang baik 
• Mudah didekati 
• Senitasa menambah ilmu dan pengetahuan 
• Sentiasa membuat keputusan yang tepat
• Bijak membuat bacaan dakwah

Cabaran Dakwah 

Dalam melaksanakan dakwah, kita tidak dapat mengelak daripada cabaran. Ia merupakan sunnatullah dalam berdakwah. Ini kerana melaksanakan dakwah bererti mengajak manusia melakukan kebaikan dan membetulkan pemikiran mereka yang silap. Ke semua itu berlawanan dan bercanggah dengan nafsu manusia. Sebagai contoh, berada di dalam majlis ilmu selama satu jam terasa lama berbanding dengan apabila menonton siaran bola sepak di mana pasukan yang kita minati sedang bertarung. 

Usaha melentur nafsu bukanlah sesuatu yang mudah, kerana ia memakan masa yang lama. Keselesaan kita untuk menghadiri solat Subuh secara berjamaah, merupakan hasil lenturan terhadap nafsu kita bertahun lamanya. Orang yang tidak biasa, menganggap kehadirannya solat Subuh berjamaah itu sebagai luar biasa. Melentur nafsu orang lain tidak mudah yang disangka, kerana usaha ini berat dan sukar. Keinginan dan nafsu manusia tidak terbatas; mereka mengidamkan rumah yang besar, duit yang banyak, kuasa dan pangkat yang tinggi, isteri yang cantik, dan sebagainya. Usaha dakwah ialah pertarungan dengan nafsu manusia lantaran kebenaran itu telah ditutup dengan nafsu manusia. Oleh sebab itu, orang tua-tua ada berkata “nafsu sentiasa muda dan nafsu tidak pernah tua”. 

Sejarah dakwah menyaksikan bahawa hampir dalam semua keadaan para rasul berdepan dengan pemerintah yang rakus, kerana sifat tamak dan kerakusan mereka. Mereka kadang kala tahu tentang kebenaran, tetapi nafsu adalah segala-galanya sehingga mereka yang enggan tunduk dengan kebenaran.

Kesimpulan

Dakwah merupakan suatu perintah di dalam Islam untuk menunjukkan bahawa tanggungjawab ini merupakan tanggungjawab semua orang Islam, tidak sekadar ustaz, imam dan sebagainya. Semua orang patut mengambil tanggungjawab ini terutamanya mereka yang memiliki kelebihan ilmu, jawatan, harta dan sebagainya. 

Sebagai seorang pemimpin Islam, dia jugalah sebenarnya sebagai pendakwah kerana segala tindak tanduknya memberikan kesan yang besar terhadap anak buahnya. Walau bagaimanapun, dengan syarat ia memahami dakwah dan meletakkan semua tindakannya kerangka bagi mencapai matlamat dakwah Islam. Justeru, sekiranya amanah ini dapat dilaksanakan dengan baik maka matlamat dakwah akan dapat direalisasikan. Dengan sebab pemimpin, orang boleh menerima dakwah dan sebaliknya dengan sebab pemimpin itu jugalah orang boleh membenci dan menolak dakwah. Oleh sebab itu, kepimpinan itu suatu amanah dan tanggungjawab, bukanlah semata-mata kemuliaan. 

Post a Comment

0 Comments