Sayang Rasulullah, buat maulud nabi?

Tujuan (maqasid) daripada sambutan maulidurrasul ialah untuk kita memperingati seorang peribadi yang agung, yang mesti dipercayai segala mesej yang dibawa dan segala perbuatan dan tindakannya menjadi contoh ikutan kepada kita. Rasulullah diikuti dan sunnahnya dihayati.


Maka menjadi suatu trend kepada masyarakat Islam di Malaysia khususnya melakukan beberapa bentuk sambutan iaitu

1. Ceramah
2. Menyebut kebaikan dan memuji nabi
• Berzanji
• Marhaban
• Bernasyid
• Berselawat beramai-ramai dengan nada tersendiri
3. Berarak

Cara sambutan kelahiran nabi ini mungkin berbeza antara sebuah negara dengan negara yang lain kerana ia telah dipengaruhi dengan cara yang telah diperkenalkan oleh generasi terdahulu secara turun temurun. Ini berikutan Rasulullah tidak menyambut kelahirannya dan soal sambutan kepada kelahiran ini terserah kepada masyarakat Islam untuk memikirkannya. Kalau dirasakan suatu kebijaksanaan untuk menyambutnya maka perlu diteruskan. Oleh kerana urusan ini diserahkan kepada masyarakat Islam, maka mereka pun berbeza cara untuk mengadakan sambutan ini. Terdapat di kalangan mereka yang terpengaruh dengan budaya dan pemikiran tertentu sehingga ia mewarnai corak sambutan ini. Namun, apa yang penting di dalam sambutan ini ialah kita ingin memugar perasaan kasih dan sayang kita kepada Rasul.

Bentuk sambutan yang dilakukan di atas merupakan sambutan yang boleh dilakukan secara tidak berkala atau kadang kala. Takkan la sambutan maulidurrasul perlu dibuat setiap minggu atau setiap bulan. Sedangkan perasaan kasih dan sayang merupakan perkara berterusan yang perlu disemai di dalam hati. Ia bukan sebulan sekali atau setahun sekali, malah tiap-tiap hari.

Hakikatnya, tanda kita sayang seseorang ialah apabila kita

• Buat apa yang dia suka
• Selalu ingat pada dia
• Suka bersembang mengenai dia
• Terasa kehilangan dia, apabila dia tiada lagi bersama kita
• Ambil berat tentang dia
• Ingin berdamping dengan dia
• Hargai apa yang ada pada dia

Sejauh mana kita sayang baginda Rasulullah?

Abu Irfan

Post a Comment

0 Comments