Persoalannya, adakah ulama pada masa kini tenggelam dengan keupayaan cerdik pandai dalam bidang-bidang yang lain, sementara ulama pada masa dahulu tidak mempunyai saingan hebat dari kelompok cerdik pandai yang lain.
Adakah disebabkan ulama tidak meningkatkan keupayaan keilmuan mereka sehingga mereka tidak mengikuti perkembangan semasa terutamanya di dalam bidang mereka sendiri. Pengetahuan mereka ketinggalan zaman. Mereka boleh bercakap dari sudut teori seperti teori hibah dan wakaf, tetapi gagal dalam menggagaskan penyelesaian yang bersifat semasa.
Adakah disebabkan ulama suka bercakap dalam ruang yang subjektif, bukan objektif. Sebagai contoh, apabila mengulas tentang ikhlas, mereka selesa untuk menyebut teori ikhlas, memberikan motivasi untuk ikhlas dan menyebutkan kisah orang yang ikhlas tetapi tidak pula menyebut 10 perkara bagaimana yang jadi ikhlas. Mereka kurang gemar menyentuh aspek aplikasi.
Adakah disebabkan ulama ini terdiri daripada mereka yang beraliran pengajian Islam, yang rata-ratanya lemah dalam bidang matematik dan sains. Mereka merupakan pelajar kelas kedua? Sudah gagal atau tidak cemerlang dalam matematik dan sains, barulah mengikuti bidang pengajian Islam.
Ilmu matematik diajar untuk mengira dan mengukur sesuatu; dan untuk menajamkan analisis dan cerapannya terhadap sesuatu fenomena itu. Manakala ilmu sains pula diajar untuk menganalisis fenomena alam tabii secara bersistem, mantik, dan objektif dengan kaedah khusus bagi mewujudkan penumpukan pengetahuan yang boleh dipercayai. Menghafal, ialah meluahkan semula apa yang telah diingati. Penekanan secara berterusan tanpa keseimbangan dibimbangi boleh melemahkan daya kritisan mereka.
Adakah disebabkan ulama tidak dapat menghuraikan sesuatu persoalan dan isu secara rasional yang dapat menyentuh pemikiran manusia pada hari ini yang kononnya saintifik dan rasional?
Adakah disebabkan ulama selalu merasa infrioriti complex disebabkan mereka tidak tahu berbahasa inggeris?
Adakah disebabkan pengajian Islam di institusi pengajian tinggi di Malaysia dan di dunia Islam pada masa ini sudah gagal memenuhi objektif sebenar pengajian Islam seperti zaman kegemilangan Islam.
Nota: Tulisan ini tidak bertujuan merendahkan ulama, tetapi bermuhasabah bagi meningkatkan lagi swadaya ulama.
0 Comments