Puasa ajar tahan nafsu, bukan melempias nafsu

Antara tujuan penting daripada puasa ialah untuk mendidik nafsu (shahwat) dan membentuknya agar ia dapat dikawal dan diuruskan kerana menuruti semua kehendak nafsu akan membawa padah yang buruk. Kalau diikutkan nafsu, buat apa masuk kerja seawal lapan pagi kerana lebih baik tidur, buat apa sibuk kerja kerana lebih baik sembang di kantin, buat apa nak pakai tudung kerana panas dan merimaskan, buat apa kahwin kerana lebih baik berzina, buat apa pergi surau kerana lebih baik tengok tv, buat apa dengar kuliah maghrib lebih baik santai di rumah. Manusia sentiasa mengimpikan masa santai , harta yang bertimbun, rumah yang hebat, kereta yang mewah, isteri yang cantik dan mengancam. Nafsu sentiasa memikirkan keinginannya dan dirinya sendiri lantaran nafsu itu sentiasa muda dan tidak pernah tua walau pun orang sudah tua.

Namun, nafsu itu juga penting kerana langsung tidak mempunyai nafsu juga membawa padah kepada manusia kerana keinginan itu membolehkan manusia terus hidup di atas muka bumi ini dengan sempurna. Tanpa nafsu, manusia tidak kisah tentang makanannya, untuk membina rumah yang cantik, untuk memikirkan kerjayanya, malah mungkin tidak berkahwin kerana tidak mempunyai perasaan kepada perempuan. Dengan kata lain, tanpa nafsu dunia ini tidak akan dibangunkan dan generasi manusia tidak akan wujud kerana manusia tidak berkahwin lantaran tiada keinginan.

Apa yang penting ialah untuk melahirkan orang orang yang dapat mengawal nafsunya dan mempunyai disiplin diri. Puasa mengajar manusia menahan satu perkara yang sangat dekat dengan manusia iaitu MAKAN. Manusia makan di waktu pagi, rehat pukul 10, makan tengah hari, makan petang, makan malam dan minum malam. Manusia bekerja pun dikatakan untuk cari makan. Bagi mendidik nafsu manusia, Allah taala telah perintah manusia agar dapat menahan makan dan diubah waktu makan daripada siang kepada malam. Rupa-rupanya dengan demikian itu manusia boleh jadi baik. Bulan puasa tidak banyak maksiat, malah manusia jadi sihat. Bandingkan sahaja antara kehadiran manusia ke klinik / hospital pada bulan puasa dan selepas raya.

Justeru, kawallah keinginan itu daripada membeli semua makanan yang terliur apabila pergi ke pasar Ramadan. Kawallah mata daripada melihat perkara yang bukan-bukan. Kawallah diri daripada pakai pakaian yang membuka aurat. Dengan demikian itu, kita akan mendapat hikmah daripada puasa iaitu mendidik nafsu dan keinginan agar sesuai dengan kehendak Islam. Selamat berpuasa.



Post a Comment

0 Comments