Friday, November 20, 2009

Wahabi / salafi bukan ASWJ?

Salafiyyah/ wahabiyyah bukanlah aliran terkeluar daripada ASWJ kerana hadis firqah 73 tidak menjelaskan dengan detail siapakah ciri ASWJ melainkan baginda menyebut cirinya ialah "apa yang aku dan sahabatku berada di atasnya".

Sekiranya terkeluar daripada ASWJ, apakah kategori mereka?
Kafir?
Munafiq?
Ahli bid'ah?

Selagi mereka berlaku khilaf dalam skop yang dibenarkan maka tidak ada masalahnya.

Sebagaimana sifat 20 yang tidak mempunyai dalil yang khusus dan pembahagian tauhid kepada 3 pun tidak mempunyai dalil yang khusus melainkan ke semua itu merupakan ijtihad para ulama maka "Ijtihad tidak boleh dirungkai dengan ijtihad".

Kata Imam al-Ghazali di dalam Munqidh, sifat 20 sebagai ubat yang perlu digunakan kepada mereka yang perlu.

Cuma apa yang menjadi masalah kepada aliran salafi / wahabi ini ialah pendekatan yang dianggap keras dan sesetengahnya melampau. Sebahagian mereka kurang meraikan keadaan dan uruf masyarakat di dalam membawa perubahan. Sungguhpun difahami bahawa perubahan itu perlu dibayar, tetapi janganlah harga itu sehingga tidak mampu dibayar oleh masyarakat sehingga pengguna menganggap penjual itu mencekik darah. Berpadalah ketika menjual barangan.

Dengan kata lain, pelampau ashairah pun bermasalah manakala pelampau salafi/ wahabi pun bermasalah.

Apa yang difahami daripada perbincangan di dalam bab akidah, penggunaan ASWJ merujuk kepada aliran perdana umat Islam di dalam bab aqidah, fiqh dan tasauf. Manakala yang tidak mengikuti ASWJ tidak semestinya sesat. Cuma janganlah mengeruhkan suasana masyarakat yang ada.





Tuesday, November 17, 2009

ASWJ blanket menolak wahabi?

ASWJ kini difahami sebagai suatu blanket yang memasukkan mereka yang beraliran akidah asha’irah dan maturidiyyah; dan menolak pendekatan lain di dalam memahami akidah.

Intipati pendekatan asha’irah dan maturidiyyah berasaskan kepada akal dan naqal – bukan intipati mereka berasaskan kepada sifat 20. Manakala intipati pendekatan salafiyyah / wahabiyyah berasaskan kepada naqal dan mengkesampingkan akal di dalam memahami akidah.

Oleh sebab itu, aliran salafiyyah / wahabiyyah dianggap oleh sesetengah pihak terkeluar daripada ASWJ apatah lagi apabila mereka menggunakan blanket ASWJ apabila tidak bersetuju dengan aliran salafiyyah / wahabiyyah.

Memang kedua-dua aliran tidak dapat disatukan apabila masing-masing berkeras mengatakan bahawa mereka adalah ASWJ. Aliran salafiyyah / wahabiyyah juga mengganggap diri mereka ASWJ kerana pegangan mereka terhadap al-Quran dan al-Sunnah. Sampai bila pun kalau begitu, kedua aliran asha’irah/maturidiyyah dan salafiyyah / wahabiyyah tidak dapat disatukan.

Kemunculan ASWJ di peringkat awalnya adalah hasil tindak balas terhadap aliran rasional muktazilah yang lebih berpegang dengan akal di dalam memahami akidah dan nas. Kumpulan salafiyyah/ wahabiyyah yang berasaskan kepada Imam Ahmad bin Hanbal pun berusaha mempertahankan akidah sehingga Imam Ahmad banyak kali dipukul kerana mempertahankan akidah kalam Allah itu qadim. Manakala Imam Asha’ari yang muncul selepas itu telah mendapat idea baru untuk menentang muktazilah dengan menggabungkan aspek akal dan nas. Pendek kata, ASWJ merupakan mazhab di dalam akidah yang bertujuan untuk mempertahankan akidah umat Islam pada masa itu.

Perbezaan antara aliran asha’irah/maturidiyyah dan salafiyyah/ wahabiyyah adalah daripada aspek etimologi.


Artikel berkaitan http://myfaisalonline.blogspot.com/2009/04/kewajipan-menyertai-jamaah-al-muslimin.html

Sila klik juga disini. Artikel yang memuatkan perbincangan tentang "Komitmen kepada Jemaah Muslimin" termasuk ASWJ.





Sunday, November 15, 2009

Penyemaian Pemikiran khurafat dan tahayul oleh Media Massa

Cerita misteri dan hantu lambang kemunduran

Setelah Islam bertapak di Nusantara, sedikit sebanyak kepercayaan tahayul dan khurafat seperti pemujaan kepada keramat; amalan memuja kampung dan semangat padi; memohon kepada roh wali; bintang dua belas penentu nasib; bomoh boleh mengetahui alam ghaib; bulan Safar bulan bala; suara burung hantu membawa pertanda malang; benda yang pecah menjadi petanda belaku perkara yang tidak baik; cara uri ditanam akan mempengaruhi kehidupan anak yang baru dilahirkan; kucing hitam yang melintas membawa pertanda buruk; nombor 13 membawa sial dan 1001 kefahaman masyarakat telah dapat dinyahkan.

Anehnya, dalam keadaan masyarakat masih belum bersih sepenuhnya daripada belenggu pemikiran dan amalan tahayul dan khurafat itu, kedapatan pula media elektronik yang cuba menyuburkan semula pemikiran dan amalan tahayul dan khurafat ini melalui filem dan drama TV. Sejak kebelakangan ini, didapati begitu banyak penayangan filem-filem dan drama-drama berunsurkan seram dan mistik bertemakan hantu, jin dan syaitan.

Terfikirkah kita kenapa anak-anak zaman sekarang takut nak ke tandas kalau tidak ditemani oleh Ibu bapa? Kalau tidak pengaruh media massa masakan jadi begini! Dan jangan terkejut jika generasi masa depan adalah generasi yang penakut hantu dan lebih mengenali hantu daripada Tuhannya.

Pemikiran tahyul dan khurafat ini bukan sahaja tersebar melalui media elektronik, malah media cetak juga turut memainkan peranan menanam pemikiran ini. Hal ini jelas terbukti apabila terdapat sesetengah majalah, akhbar dan tabloid yang memberikan ruang yang cukup selesa untuk paparan cerita-cerita misteri, hantu itu dan ini, sejarah puaka di sana sini dan bermacam-macam lagi.

Sebenarnya kepercayaan kepada tahayul dan khurafat ini melambangkan kemunduran dan tidak bertamadun.

Pertama: Orang yang mengamalkan kepercayaan ini terdiri di kalangan masyarakat yang mundur lantaran pendedahan terhadap ilmu sains yang sangat terhad. Ini membawa kepada kepercayaan kepada khurafat apabila sesuatu fenomena alam berlaku. Sebagai contoh, bunyi guruh dipercayai berpunca daripada dewa atau hantu yang sedang marah sedangkan penemuan sains mendapati bahawa bunyi itu disebabkan oleh cahaya yang melintasi ruang udara. Maka terhasillah bunyi yang kuat seperti apabila kita menghayunkan sebatang lidi di udara. Masyarakat yang bertamadun dan maju tidak mudah mempercayai perkara khurafat kerana mereka sering mempersoalkan rasional disebalik sesuatu perkara. Sebagai contoh, kencing ditepi pinggir hutan perlu meminta izin daripada ”tok” kerana takut dimarahi oleh penunggu. Apa perlunya berbuat demikian kerana kuasa memudaratkan itu adalah dari Allah, bukan penunggu.

Kedua: Pengamalan kepercayaan ini turut berpunca daripada kekurangan teknologi dan kekurangan sumber manusia yang menyebabkan manusia terpaksa bergantung kepada pertolongan jin (baca: hantu raya, toyol dan sebagainya). Sebagai contoh, untuk membuka ladang padi huma memerlukan kepada tenaga yang begitu banyak untuk menebang pokok, membakar kayu, menebas dan sebagainya. Mahu tak mahu, orang-orang dulu terpaksa bergantung kepada tenaga jin. Begitu juga mereka terpaksa bergantung dengan bomoh/pawang yang sebahagian mereka itu menggunakan jin kerana tiada/kurang kemudahan klinik.

Selain itu, meminta tolong daripada jin hanya akan menambahkan lagi kebergantungan kepada dunia misteri ini dan membawa jauhnya manusia daripada Allah. Ini berbanding apabila menggunakan ayat al-Quran atau minta tolong dengan pengamal perubatan traditional yang berasaskan al-Quran. Pergantungan adalah kepada Allah.

Melambakkan filem dan cerekarama bertemakan jin, misteri dan hantu seperti bawang putih bawang merah, susuk, bunian dan sebagainya seolah-olah ingin membawa masyarakat kepada kemunduran di dalam fikiran. Sungguhpun ia bersifat hiburan tetapi sejauh mana pendedahan lakonan tahayul dan khurafat ini mampu mengajar masyarakat. Apakah ianya mengajak masyarakat menjauhinya atau lebih terpengaruh ke arahnya?

Sebagai umat Islam, kita perlu percaya dengan alam ghaib termasuk jin dan syaitan. Hantu tergolong dalam kelompok jin. Namun kegahirahan untuk menyingkap rahsia jin dan hantu tidak membantu mengembangkan minda masyarakat. Sebaliknya menghanyutkan masyarakat dengan perkara yang kurang berfaedah dan boleh menjejaskan akidah umat Islam. Apa akan berlaku kepada akidah umat Islam jika cerita-cerita begini terus disebarkan di kalangan masyarakat dan diberikan ruang pula oleh pihak media? Tepuklah dada, tanyalah iman. Selamatkan keluarga anda!





Saturday, November 7, 2009

Siapakah Islam moderate

Umat Islam menghadapi cabaran yang amat hebat di abad ke 21. Mereka yang seringkali disinonimkan dengan kemunduran, kejumudan dan kemiskinan menjadikan mereka inferiority complex dengan pencapaian yang diperolehi oleh dunia barat. Suatu perasaan berbangga dengan dunia barat yang entah dimana datangnya semacam menjadi fitrah kepada umat Islam. Sedangkan pencapaian dunia barat ialah bersumberkan kepada kemajuan yang telah dicapai oleh dunia Islam suatu masa dahulu. Namun, itu adalah zaman silam. Bagaimana pula dengan umat pada masa ini?

Pada masa ini, dunia barat telah menjadikan akal sebagai asas kemajuan mereka dan menjadikan rasional sebagai asas dalam berfikir. Mereka menolak wahyu kerana bagi mereka semua yang berlaku di alam ini bersifat semula jadi tanpa penciptanya. Oleh sebab itu, teori Darwin amat penting di dalam kerangka ilmu barat bukan disebabkan oleh kepercayaan mereka kepada teori manusia berasal daripada beruk, tetapi percaya dengan teori evolusi. Teori ini cuba menghasilkan suatu dokrtin bahawa alam ini terjadi dengan sendiri tanpa ada pencipta. Teori sains yang mereka temui, seperti newton dan graviti bukanlah kuasa tuhan, tetapi ia adalah kuasa semula jadi. Maka apabila belajar sains, ekonomi, politik, fizik dan sebagainya, tanpa unsur ketuhanan di dalamnya.

Mereka mengagungkan akal. Ya, untuk memajukan dunia ini kita memerlukan kepada akal yang brilliant untuk mencipta teknologi. Teknologi ialah sains gunaan yang mengambil teori asas sains untuk merekacipta alat, benda dan sebagainya untuk memudahkan kehidupan manusia. Sebagai contoh, kereta digerakkan oleh kuasa haba yang terhasil menerusi pembakaran minyak di dalam silinder. Haba ialah sains (cerapan terhadap alam tabie). Manakala kereta adalah teknologi kerana ia merupakan aplikasi daripada sains.

Apa yang berlaku di dalam orientasi pengajian/ pemikiran Islam?

Pertama
Terdapat di kalangan ilmuan Islam yang menolak pengajian ilmu sains, ekonomi dan sebagainya atas alasan bahawa itu adalah sekular. Manakala pengajian hadis, fiqh, quran dan sebagainya adalah bersifat Islam. Ini telah mendorong suatu pemikiran yang membwa padah di dalam masyarakat apabila pembelajaran sains, ekonomi, psikologi dan sebagainya tidak membawa pahala. Semua itu ilmu dunia sahaja. Bukan akhirat. Sedangkan akhirat itu ialah perkara yang bawa pahala manakala dunia itu tidak bawa pahala.

Kedua
Sebahagian institusi pengajian Islam dan sebahagian cara berfikiran ilmuan Islam kurang menumpukan kepada kemampuan akal dan tidak menggunakannya secara maksimum dalam memahami wahyu untuk digunakan sesuai dengan keperluan semasa. Mereka memahami wahyu dan menerimanya secara mutlak tanpa berfikir kenapa dan mengapa. Pemikiran ini dari satu sudut bagus untuk menjaga warisan Islam dan untuk menyelongkar khazanah Islam. Namun, mampukah pendekatan seperti ini untuk membangunkan masyarakat dan seterunya membawa kemajuan kepada dunia.

Sebagai contoh, di dalam pengajian dakwah kebanyakan kitab-kitab di dalam bahasa arab dan juga kajian yang dilakukan di tanah arab, tumpuan banyak diberikan kepada memahami method dakwah di dalam al-Quran dan Hadis. Namun, kajian yang berusaha memahami manusia (sasaran dakwah), aplikasi dakwah dan penerimaan dakwah oleh manusia kurang mendapat tempat. Jawapannya mudah, iaitu kerana kajian di atas adalah bersumberkan wahyu manakala kajian terhadap manusia berasaskan akal (cth: Pemerhatian, soal selidik, interview). Untuk memastikan dakwah Islam dapat dilaksanakan dengan baik, kajian terhadap manusia turut perlu diberi perhatian agar ia kukuh di sudut teori dan di sudut pelaksanaan.

Ketiga


Bersambung ....






Monday, November 2, 2009

Kuasa puncak segala nafsu?

Di dalam al-Quran, semua gerakan dakwah yang dipimpin oleh para nabi dan rasul terdahulu berhadapan dengan pemimpin atau pemuka kaum mereka. Kadang kala al-Quran menyebutkan nama mereka secara jelas seperti firaun dan adakalannya al-Quran hanya menyebut secara umum seperti al-mala’ min qawmihi.

Kenapa pembesar-pembesar negara merupakan pihak yang memusuhi dakwah?

Adakah disebabkan hanya mereka itu pembesar? Dengan demikian itu, semua pembesar termasuk di Malaysia ini sama ada pembangkang atau kerajaan merupakan pihak yang memusuhi dakwah?

Jawatan sebagai pembesar atau kerajaan merupakan jawatan yang diidamkam oleh ramai orang, malah seringkali menjadi rebutan sehingga sampai sanggup membunuh. Mempunyai kuasa, bermakna mempunyai wanita, wang, kereta, rumah dan segala bentuk kemewahan. Ada orang yang sudah kaya, tetapi masih lagi berebut untuk mendapatkan kuasa. Ia bukan soal kaya, tetapi nafsu yang ingin dihormati dan dipandang hebat.
Oleh sebab itu, kuasa merupakan klimaks kepada semua keinginan manusia dan intipati kepada nafsu manusia.

Maka tidak hairanlah mereka yang seringkali memusuhi dakwah terdiri di kalangan orang yang mempunyai kuasa lantaran berkuasa itu maknanya bernafsu. Sebagaimana yang kita maklum, nafsu itu adalah liar dan sentiasa muda. Oleh itu, apa yang disyorkan oleh Islam dan dakwah seringkali bertentangan dengan pihak berkuasa kerana mereka berhawa nafsu.

Namun begitu,
1. Nafsu itu tidak salah, malah ia penting. Yang salahnya apabila kita melarut mengikut kehendak nafsu. Akal dan quran diletak di belakang.
2. Tidak semua penguasa/ orang yang berkuasa itu menentang dakwah. Bagi mereka, usaha merebut kuasa daripada orang bernafsu itu penting bagi memastikan Islam dapat dijalankan dan syariat Islam dapat ditegakkan. Mereka bukan gila kuasa, tapi merebut kuasa daripada orang gila.