Tuesday, May 10, 2011

Wacana Agama: Sumpah dan Qazaf

Tarikh: 14 Mei 2011
Jam: 8.30 pagi hingga 12.00 tgh hari.
Hari: Sabtu
Tempat: Masjid Bandar Baru Salak Tinggi


8.30 - 10 pagi : Pembentang 1
Oleh: Dr. Zulkefli Mohamad al-Bakri
Tajuk: Sumpah dan Qazaf menurut Islam

10.00 - 10.30 - minum pagi

10.30 - 12.00 tgh hari: Pembentang 2
Oleh: Tuan Hanifa Maidin
Tajuk: Fitnah dan Qazaf dari perspektif pengamal undang-undang.

Anjuran
Persatuan Ulama Malaysia dan Masjid Bandar Baru Salak Tinggi.

Dijemput semua hadir.
Harap dapat dihebahkan.

Monday, February 14, 2011

Pergi surau kerana minat dan memenuhi keperluan

Peminat bola sepak akan bersusah payah berkejar ke stadium walaupun bersesak dengan penonton yang lain dan terpaksa membeli tiket dengan harga yang mahal.
Sorang bapa pergi ke kedai runcit untuk membeli barangan keperluan.
Seorang kerani pergi ke pejabat untuk memenuhi tanggungjawabnya di sana.

Oleh kerana peminat bola, bapa dan kerani mempunyai minat dan kepentingan maka mereka pergi ke tempat tersebut.

Kalau tiada kerana minat, buat apa pergi ke Stadium.
Kalau tiada kerana keperluan, buat apa pergi ke kedai.
Kalau tiada kerana gaji, buat apa pergi ke pejabat.

Sekiranya kita menggunakan premis demikian, kita boleh mengatakan bahawa orang yang tidak pergi ke surau, memang tiada minat terhadap Islam dan merasa tidak perlu kepada Islam.

Buat apa pergi, kalau tiada apa-apa kepentingan.

Friday, February 11, 2011

Nafsu sentiasa muda

1. Dari bujang -- kahwin No 1 ---- no.2 ----- DLL. ---- seterusnye.. mati.
2. Dari pakai moto kap --- kancil -- wira --- Honda ---- seterusnye.. mati.
3. Dari Teng-teng-----Badminton ----- Golf ---- seterusnye.. mati
4. Dari umah sewa---- rumah murah ---rumah teres --- banglow... seterusnye.. mati
. Dari technician ----supervisor ----- engineer --- manager... seterusnye.. mati
6. Dari Tv 14' --- 21" --- 29" ---- Home theater... seterusnye.. mati
7. Dari Sg Tekali --- Port dickson --- langkawi ---- Hadnyai --- London.. seterusnye.. mati
7. Dari mancing kat parit /longkang ---- sungai --- kolam (bayar punye) ---- laut dalam (sewa bot mewah)......seterusnye.. mati

Yang penting ialah cara menguruskan nafsu agar melempiaskan keinginan yang cara betul dan sesuai pula dengan kemampuan.

Agak-agak apa yang akan dijawab, kalau ditanya pakcik yang berumur 70, "kalau ada orang nak, pakcik nak kawin lagi ke"

Usia boleh menjadi tua, tetapi nafsu sentiasa muda.

Sunday, January 30, 2011

Call for paper: Bicara Dakwah (Media Baru)

BICARA DAKWAH KALI KE 10

Tema: Dakwah Menerusi Media Baru
22 MAC 2011
Selasa
9.00 pagi— 5.00 petang

Ucaputama: Prof. Madya Dr. Abu Hasan Hasbullah
Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi
Universiti Malaya.

Bilik Senat , Aras 5,
Bangunan Canselori, UKM.
Anjuran:
Jabatan Pengajian Dakwah & Kepimpinan
Fakulti Pengajian Islam, UKM.

Abstrak hendaklah dihantar kepada urusetia sebelum 15 Februari 2011. Kertas kerja penuh hendaklah dihantar sebelum 15 Mac 2011. Abstrak dan kertas kerja hendaklah diihantar dalam bentuk soft copy kepada faisal@ukm.my.

Lanjut: Lihat sini.

Tuesday, January 25, 2011

Ego - penyakit ustat?

Sifat “berlagak” selalu berada pada orang berikut:
1. orang kaya dan banyak duit dan rumah besar. -
2. orang ada pangkat dan ternama - Dato'
3. orang pandai - ada PhD dan/atau ada jawatan Prof.

Rasulullah bersabda: Tidak masuk syurga orang yang ada sekelumit dalam dirinya perasaan berlagak (takabbur).

Mari muhasabah sama-sama.

15 sifat ego yang perlu disemak pada diri

1. Diberi jawatan rasa terhibur
2. Tidak dilantik, rasa tidak tenang
3. Kalau dia sorang pemimpin, arahannya selalu kasar
4. Kalau dia pengikut, payah mahu taat
5. Emosional dan mudah tersinggung
6. Suka berkawan dengan orang bawahan supaya dirinya nampak lebih tertonjol daripada orang lain
7. Mudah marah, cepat melenting
8. Payah menerima pandangan orang lain
9. Dalam majlis, tidak senang bila orang lain memberi pandangan
10. Dalam majlis, mudah memotong cakap orang lain
11. Suka memperkenalkan diri sendiri daripada memperkenalkan pemimpin dan jemaah
12. Suka pandangannya sahaja diterima
13. Lebih berminat berkawan rapat dengan orang lain daripada anggota jemaah agar terserlah kesempurnaan dirinya
14. Tidak senang kemajuan tercetus di tangan orang lain
15. Bercakap selalu dengan suara tinggi dan tidak boleh dicabar pasti tercabar

Yang mana satukah diantara 15 tanda ego ini yang terkena pada kita...Cuba-cubalah selidik.........

Sunday, January 23, 2011

Cabaran dalam membuat pilihan

“Nak makan apa tengah hari ni?” Bisik hati Mastura berjalan mengelilingi meja lauk dua tiga kali sambil menggaru kepala kerana kebingungan untuk memilih menu makanan tengah hari. Mungkin semua lauk-lauk pauk terlalu banyak sehingga ia berasa tidak tahu lagi untuk memilih menu apa lagi. Masakan tidak, pelbagai jenis nasi ada, Nasi Dagang (Trengganu), Nasi kerabu (Kelantan), Nasi Beriani Gam (Johor), Nasi hujan panas (Kedah), malahan nasi arab pun ada. Di restoran itu, semua jenis makanan ada.

Kalau dulu, orang makan cincalok tidak dapat nak merasa budu. Kalau nak makan juga, kena pergi Kelantan. Kini kita boleh pergi satu restoran sahaja, boleh merasa masakan Perlis hingga masakan Johor.

Tegasnya, keselesaan dan kemajuan yang dinikmati oleh masyarakat pada masa kini telah menyebabkan mereka berhadapan dengan cabaran untuk membuat pilihan yang tepat di dalam hidup. Pilihan telah pun pelbagai, cuma tinggal lagi adakah pilihan yang dibuat itu bertepatan dengan tuntutan Islam.

Orang dulu - hari ni, nak makan apa?
Orang sekarang - hari ni, nak makan kat mana?
Orang berkuasa - hari ni, siapa yang kita nak makan?


Saturday, January 22, 2011

Islam bukan agama rasional?

Islam bukan agama falsafah yang mementingkan rasional di sebalik pensyariatan sesebuah perundangan Islam atau menuntut satu standard kepada perundangan itu. Setiap hukum Islam mestilah merujuk kepada nas walaupun ia kelihatan bertentangan dengan rasional.
Hakikatnya, perundangan Islam tidak bertentangan dengan akal dan rasional tetapi ia mungkin bertentangan dengan nafsu atau kejahilan manusia itu sendiri.

Sebagai contoh – “Islam merupakan agama yang mementingkan kebersihan”. Pernyataan ini adalah hikmah dan falsafah perundangan Islam. Tapi dalam menentukan hukum bukan berdasarkan kepada itu, tetapi kepada nas. Kalau ikutkan falsafah itu, cara membasuh khuf bukan di atas tetapi di bawah. Begitu juga, kalau kentut kenapa muka yang perlu dibasuh. Sepatutnya bahagian punggunglah yang perlu dibasuh.

Kita dapat fahami di sini, Islam adalah agama yang reality, iaitu melihat sesuatu perkara itu secara kes demi kes, kerana ia perlu bersandar kepada nas. Bukan secara generalisasi lantaran ia bukan agama yang bersifat falsafah.

Bidang kedoktoran ialah bidang yang reality, bukan falsafah. Untuk mengubat seseorang yang mengadu sakit kepala, bukan boleh dibuat dengan berfikir (secara falsafah) semata-mata. Ia perlu melihat kepada fizikal kepala itu sendiri. Tidak boleh dikiaskan sahaja sakit perut dengan sakit kulit atau luka. Kalau luka, boleh bubuh ubat sapu atau diikat dengan bandage, tetapi tidak semestinya begitu kalau sakit perut. Takkan nak diletakkan bandage di perut. Masing-masing ada ciri masing-masing yang perlu dilihat secara kes by kes.

Thursday, January 20, 2011

Beberapa keailapan ibu bapa dalam mendidik anak-anak

Pengenalan

Anak-anak adalah amanah dari ALLAH s.w.t. dan ianya sebahagian dari ujian ALLAH s.w.t. kepada kita hamba-hambaNYA. Firman ALLAH s.w.t. :

“Harta benda dan anak-anak kamu hanyalah menjadi ujian dan di sisi ALLAH ada pahala yang besar.”
(Al-Quran Surah At-Taghabun, 64 : 15)
Sebagai ujian, ianya akan dipertanggungjawabkan. Orang yang malang ialah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya tidak membawa kebaikan kepadanya di akhirat. Rasulullah SAW diberitakan telah bersabda :
“Tahukah engkau siapakah orang yang mandul.” Berkata para sahabat : “Orang yang mandul ialah orang yang tidak mempunyai anak.” Lalu Rasulullah SAW berkata : “Orang yang mandul itu ialah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya itu tidak memberi kemanfaatan kepadanya sesudah ia meninggal dunia.”
(Maksud Al-Hadith )

Ini mungkin disebabkan beberapa kesilapan dalam mendidik anak-anak.


1. Kesilapan pertama: Kurang berdoa

1.1 Kurang berdoa semasa mengandung. Antara doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa mengandung ialah
* Saidul (penghulu) Istighfar
* Doa memohon rahmat (Al-Quran Surah Ali ‘Imran, 3 : 8-9)
* Doa memohon zuriat yang baik (Al-Quran Surah Ali ‘Imran, 3 : 38)
* Doa agar anak mengerjakan solat (Al-Quran Surah Ibrahim, 14 : 40-41)

1.2 Kurang berdoa semasa membesarkan anak. Doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa anak membesar ialah
* Doa agar anak patuh kepada ALLAH s.w.t. (Al-Quran Surah Al-Baqarah, 2 : 128)
* Doa diberi zuriat yang menyejukkan hati (Al-Quran Surah Al-Furqan, 25 : 74)
* Doa supaya nama anak membawa kebaikan kepadanya.

2. Kesilapan kedua : Banyak memberi belaian Tarhib (menakutkan) daripada Targhib (didikan atau motivasi) seperti :
* menakutkan anak-anak dengan sekolah
* menakutkan dengan tempat gelap
* menakutkan dengan hutan rimba atau bukit bukau
* menggunakan kekerasan dan paksaan semasa menyuruh anak tidur

3. Kesilapan ketiga : Tidak tegas dalam mendidik anak-anak
* tidak menjadualkan kegiatan harian anak-anak
* terlalu memfokuskan anak-anak kepada sesuatu aktiviti sahaja tanpa mengambil kira perasaan mereka.

4. Kesilapan keempat : Menegur anak secara negatif
* mengeluarkan kata-kata kesat dan maki hamun kepada anak-anak (terutama semasa marah).
* membandingkan anak-anak dengan anak-anak lain atau anak orang lain.

5. Kesilapan kelima : Memberi didikan yang tidak seimbang antara jasmani (physical), rohani (spiritual) dan minda (intelektual).
* ramai yang lebih mementingkan pendidikan minda dari pendidikan rohani

6. Kesilapan keenam : Kurang memberi sentuhan kepada semua anak-anak sedangkan Rasulullah kerap dilihat mendukung cucu-cucunya dan mencium mereka. Diriwayatkan oleh Aisyah r.a. :
Pada suatu hari Rasulullah SAW mencium Al-Hassan atau Al-Hussien bin Ali r.a. Ketika itu Aqra’ bin Habis At-Tamimiy sedang berada di rumah baginda. Berkata Aqra’ : “Ya Rasulullah! Aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi aku belum pernah mencium seorang pun dari mereka.” Rasulullah melihat kepada Aqra’ kemudian berkata : “Siapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi.” (Maksud Al-Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

7. Kesilapan ketujuh : Penampilan diri yang kurang anggun dan kurang kemas
* ibu bapa tidak menunjukkan cara berpakaian yang kemas dan yang menepati kehendak syarak bila berada di rumah, iaitu berpakaian secara selekeh atau berpakaian seksi di hadapan anak-anak.

8. Kesilapan kelapan : Susunan rumahtangga yang tidak kemas. Ini mengakibatkan anak-anak terikut-ikut dengan cara itu dan membesar menjadi pemalas dan selekeh.

9. Kesilapan kesembilan : Kurang menghidupkan sunnah di rumah seperti memberi salam, makan berjemaah, beribadah bersama-sama, dan sebagainya. Dalam menjawab salam, lazimkanlah menjawab salam dengan yang lebih baik dari salam yang diberi.

10. Kesilapan kesepuluh : Tidak menggantungkan rotan di tempat yang mudah dilihat oleh anak-anak. Dalam Islam, merotan anak dengan tujuan mendidik adalah satu sunnah.

11. Kesilapan kesebelas : Kurang mendedahkan anak-anak dengan model yang cemerlang seperti para ulama’ dan orang-orang yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia. Anak-anak juga patut didedahkan dengan sembahyang jemaah, kuliah agama dan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan akhlak Islam.

12. Kesilapan keduabelas : Bertengkar di depan anak-anak. Ini akan menyebabkan anak-anak rasa tertekan dan membenci salah seorang dari ibubapanya.

13. Kesilapan ketigabelas : Membenarkan orang yang tidak elok sahsiyahnya masuk ke dalam rumah kita, baik dari kalangan sahabat sendiri ataupun sahabat anak-anak, kerana ini akan memberikan contoh yang tidak baik kepada anak-anak yang masih membesar.

14. Kesilapan keempatbelas : Kurang mengawasi rancangan-rancangan yang ditonton samada dari TV ataupun video. Pengawasan dalam hal ini adalah penting kerana kebanyakan rancangan dari media ini menonjolkan akhlak yang kurang baik seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, pakaian yang tidak menepati syarak dan perbualan yang boleh merosakkan agama anak-anak.

15. Kesilapan kelimabelas : Terlalu bergantung kepada pembantu rumah untuk mendidik anak-anak. Sebagai ibubapa kitalah yang akan disoal di akhirat kelak akan anak-anak ini. Oleh itu adalah menjadi satu kepentingan kita untuk berusaha memastikan anak-anak terdidik dengan didikan Islam.

Wallahu a’lam.
(Kuliah Mingguan Surau An-Nur , 15 Safar 1419 bersamaan 10 Jun 1998)
(Oleh Ustaz Khalid bin Haji Mohd Isa)

Tuesday, January 18, 2011

Antara ILMU dan KESEDARAN

Tahu dan sedar adalah dua perkara yang berbeza. Pengetahuan seseorang mengenai sesebuah kewajipan terhadap dirinya dan cara melaksanakannya belum cukup kuat mendorongnya melaksanakan kewajipan itu.

Oleh sebab itu, betapa seorang ibu merepek kepada anaknya agar balik cepat sebelum waktu senja. Begitu juga dengan ustaz yang membebel apabila pelajar di asrama main bola sampai 7.15 petang. Bukannya budak-budak tu tak tau kena balik awal.

Sama lah juga dengan solat jemaah di surau. Kita dapat perhatikan sekiranya lebih dari 5% penduduk sesebuah komuniti pergi ke surau/ masjid sudah cukup baik. Bukannya orang tidak tahu bahawa solat jemaah di masjid itu lebih baik dari solat di rumah.

Pengetahuan bukan segalanya tetapi ialah kesedaran dan keyakinan. Maka di sinilah tumpuan kerja dakwah iaitu memberikan kesedaran kepada masyarakat. Tugas pendakwah ialah menyuntik kesedaran dan menanamkan keyakinan kepada Islam.

Untuk mengajar orang, perlu kepada pengetahuan. Tetapi untuk memberikan kesedaran ini tidak semestinya masuk sekolah tinggi atau menjejakkan kaki ke menara gading. Cukuplah kefahaman yang jitu tentang Islam dan kemahuan untuk menggerakkannya.

Dakwah bukan kerja eksklusif seorang ustaz atau guru tetapi kerja semua orang Islam. Masing-masing boleh berperanan untuk memberikan kesedaran kepada orang lain walaupun dengan beberapa patah perkataan sahaja. Malah kadang kala dengan isyarat pun sudah cukup.