KHUTBAH "JIRAN SEPAT MEMBAWA BERKAT"


 
Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,
 
Marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT iaitu dengan dengan melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan, dengan demikian itu kita menjadi manusia yang bertakwa seterusnya berjaya dan selamat hidup di dunia serta di akhirat.
 
Pada hari yang mulia ini marilah sama-sama kita menghayati khutbah yang bertajuk: “JIRAN SEPAKAT MEMBAWA BERKAT”. Sungguhpun tajuk ini biasa disebut, tetapi banyak masalah yang berlaku di dalam masyarakat kita adalah hasil daripada kejiranan yang tidak kukuh.
 

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,
 
Jiran iaitu mereka yang tinggal berhampiran dengan kediaman kita. Dalam Islam, kawasan kejiranan meliputi mereka yang berada dalam jarak 40 buah rumah dari semua sudut rumah kita. Ini bermakna jiran bukanlah mereka yang tinggal bersebelahan rumah kita sahaja, tetapi ia meliputi seluruh kawasan kediaman kita sama ada di kawasan taman atau kampung atau rumah pangsa.
 
Kejiranan merupakan suatu aspek yang penting yang perlu diberi perhatian oleh semua orang Islam. Ini kerana, sebagai seorang manusia, kita tidak hidup keseorangan, tetapi kita saling bergantung antara satu sama lain. Yang kaya memerlukan yang miskin, manakala yang miskin pun memerlukan kepada mereka yang kaya. Konsep kejiranan ini sangat ditekankan di dalam Islam kerana ia termasuk dalam salah satu dari tanda beriman kepada Allah. Rasulullah bersabda:
 
من كان يؤمن بالله واليوم الأخر فلا يؤذي جاره
Sesiapa yang beriman dengan hari akhirat, maka janganlah ia menyakiti jirannya.
 
 
Malah, dalam satu sabda Rasulullah yang lain, beliau menegaskan bahawa kejiranan ialah kriteria utama yang perlu dinilai sebelum kita memilih lokasi untuk membina rumah sebagai mana saba Baginda SAW (الجار قبل الدار) iaitu pilihlah jiran sebelum kamu membina rumah.
 
Sungguh pun realiti masa kini, keadaan memaksa untuk kita memilih kediaman berdasarkan kepada lokasi tetapi keadaan jiran perlu diambil kira. Mesej yang ingin disampaikan di dalam hadis ini ialah agar kita meletakkan kejiranan sebagai aspek yang sangat penting. Ini kerana, kebahagiaan kehidupan seseorang itu pun bergantung kepada suasana kejiranan. Kehidupan kita akan kurang selesa apabila mempunyai jiran yang suka menyakiti jirannya.
 
 
Sidang Jumaat yang di rahmati Allah
 
Realiti masa kini, masyarakat sibuk mengejar kehidupan dan membina kerjaya masing-masing. Mereka sanggup menyertai pelbagai seminar, kursus dan motivasi walaupun berbayar, semata-mata untuk meningkatkan kemajuan diri dan seterusnya ingin mencapai kejayaan di dalam kehidupan. Namun, kursus untuk menjadi ahli masyarakat yang berjaya jarang sekali dibicarakan. Sekiranya dianjurkan pun tidak ramai yang berasa ianya penting untuk dihadiri. Sedangkan kejayaan menguruskan masyarakat membantu mengukuhkan dakwah Islam.
 
Sejak kebelakangan ini, banyak isu jenayah yang berlaku di dalam masyarakat. Di dalam Facebook komuniti Bandar Baru Bangi sebagai contoh, kita mendapati kejadian jenayah kerap kali berlaku seperti pecah rumah, kecurian dan rompakan. Ia menuntut peranan yang berkesan dari anggota masyarakat, selain dari pihak berkuasa bagi memastikan jenayah dapat dihapuskan. Semangat tegur menegur, tolarensi, kenal mengenal dan mengambil berat serta bertanggung jawab amat penting dipupuk untuk membina sebuah masyarakat yang harmoni.
 
Kita tidak mahu jadi gotong royong hanya menjadi sejarah, kita juga tidak mahu masyarakat lebih suka berkawan dengan binatang lebih dari manusia, kita juga tidak mahu masyarakat yang hanya datang membantu bila ada upah dan juga kita tidak mahu masyarakat yang terlalu materialistik.
 
Apa yang kita mahu ialah masyarakat yang mempunyai keseimbangan antara tuntutan rohani dan jasmani, iaitu yang mencari laba kehidupan ini dalam misi bertemu dengan Allah. Dalam pada itu, hubungan baik dengan Allah tidak akan sempurna, sekiranya hubungan baik dengan masyarakat tidak sempurna.
 
Rasulullah pernah ditanya tentang seorang yang komited dengan solat, puasa dan sedekah, tetapi suka menyakiti jirannya, Baginda menjawab, ia tergolong dari ahli neraka.
 
 
Sidang Jumaat yang di rahmati Allah
 
Keadaan kehidupan pada hari ini boleh dikatakan baik berbanding dengan kehidupan 20 tahun yang lalu. Ini berbeza dengan masyarakat dahulu dan juga dengan masyarakat yang berada di pedalaman. Kehidupan saling bergantung antara satu sama lain kerana rata-rata kehidupan mereka yang susah dan hidup dalam kedaan sederhana. Mereka memerlukan ketua kampong yang mempunyai kenderaan untuk menghantar anak yang sakit ke hospital. Mereka memerlukan masyarakat untuk menjayakan kenduri kendara mereka. Keadaan ini sebenarnya telah pun berjaya mengeratkan hubungan sesama mereka dan menguatkan semangat tolong menolong antara satu sama lain.
 
Namun, kini keadaan agak berbeza apabila rata-rata masyarakat sudah kurang bergantung antara satu sama lain. Mereka punyai kenderaan sendiri, mereka punyai klinik panel sendiri, mereka punyai wang sendiri, mereka punyai rumah sendiri.. apa-apa pun mereka boleh melakukannya sendiri tanpa perlukan bantuan dari masyarakat. Ada segelintir ahli masyarakat yang berfikir bahawa, semua masalah akan selesai dengan duit , tanpa perlu lagi pergi kepada masyarakat. Mungkin ini antara sebab yang menjadikan kejiranan tidak lagi diambil berat. Hubungan kemasyarakatan semakin longgar. Kehidupan mula menjadi sendiri-sendiri dan masing-masing kurang mengenal antara satu sama lain. Kalau kenalpun, hanya disebelah kiri kanan rumah sahaja.
 
Kehidupan zaman moden seperti ini boleh membawa kepada sikap pentingkan diri. Kita mendapati terdapat anggota masyarakat yang tidak kisah tentang kejiranannya. Sebagai contoh, sesetengah kawasan kediaman yang mengenakan yuran untuk tujuan keselamatan dan sebagainya, pun begitu masih terdapat mereka yang berdegil dari membayar yuran berkenaan. Begitu juga, terdapat pula pergaduhan sesama jiran yang berpunca dari kedudukan pasu bunga, parking kereta, bunyi bising dan sebagainya. Dan ada yang datang ke masyarakat bertemu dengan jiran-jiran, tetapi dengan sikap ego dan membesar diri, terbawa-bawa dengan pangkat dan jawatan di pejabat, yang semuanya itu akan membawa kepada natijah yang tidak baik.
 
Rasulullah bersabda
 
 
ما زال جبريل يوصيني بالجار حتى ظننت أنه سيورثه
“Jibril sentiasa berpesan kepadaku tentang jiran sehingga aku menyangka Jibril akan menjadikan jiran itu sebagai waris”.
 
Hadis ini menyarankan agar kita berbuat baik kepada jiran seperti adik beradik yang boleh mewarisi antara satu sama lain.
 
Sidang Jumaat yang di rahmati Allah
 
Sesungguhnya, mengetahui hak-hak jiran adalah antara perkara penting dalam Islam yang perlu diketahui oleh setiap individu Muslim. Antara hak-hak jiran yang perlu diketahui, difahami dan diamalkan ialah:
 
Pertama : Mewujudkan suasana harmoni dan kemesraan.
Sesungguhnya individu atau jiran yang baik pasti akan menjalinkan hubungan baik sesama jiran. Saling kenal mengenali, saling bertegur sapa, melemparkan senyuman, sentiasa bertanya khabar dan berusaha untuk tidak menimbulkan masalah yang boleh membawa kepada persengketaan seperti membuka keaiban jiran tetangga.
 
Kedua: Tolong menolong atau bantu membantu dalam pelbagai urusan.
Antara pesanan Nabi SAW berkaitan jiran ialah supaya kita membantu mereka dalam segala urusan seperti menziarahi apabila sakit atau kematian, mengiringi jenazah dan mengucapkan tahniah atau takziah pada waktu-waktu yang bersesuaian.
 
Ketiga: Menjaga hak-hak mereka dan tidak menimbulkan ketidakselesaan.
 
Antara pesanan Nabi SAW berkaitan hal ini ialah jangan meninggikan dinding kerana ia akan menghalang laluan angin dan penglihatan kecuali dengan izin mereka. Memberikan sedikit dari masakan apabila ada bau yang menimbulkan keinginan. Selain itu, janganlah meletakkan kenderaan sesuka hati tanpa memikirkan hak-hak orang lain, mengganggu urusan keluar masuk jiran, mengganggu kelancaran jalan, dan menjaga sampah agar tidak menggangu keselesaan dan kebersihan persekitaran
 
Keempat: Memperlihatkan keindahan Islam dalam segala urusan kehidupan.
 
Satu tanggungjawab penting kepada setiap Muslim untuk menyampaikan serta memperlihatkan keindahan Islam kepada jiran yang bukan Muslim. Inilah peluang dan ruang dakwah kita kepada mereka. Apabila mereka dikenali maka lebih mudah untuk kita dekati. Perlihatkan diri kita sebagai Muslim yang ikhlas, amanah, benar, bertanggungjawab, berintegriti dan segala perilaku yang indah lagi mempesonakan. Dalam hal ini, Rasululllah SAW mengajarkan kita beberapa perkara untuk mendekati jiran yang bukan Islam iaitu dengan menghadiahkan sesuatu atau membahagiakan mereka dengan sesuatu.
 
Rebutlah peluang untuk sama-sama kita berdakwah kepada jiran yang bukan Islam. Mudah-mudahan mereka tidak memandang serong terhadap Islam. Bahkan mereka mengenali, memahami dan mungkin akhirnya menerima Islam.
 
Sidang Jumaat yang di rahmati Allah
 
Dalam Islam, kejiranan tidak dibentuk oleh sesama rumah yang berjiran semata-mata. Akan tetapi Islam telah menyediakan institusi masjid dan surau sebagai institusi bersosial. Ia bukan sekadar tempat untuk solat semata-mata, tetapi lebih dari itu, ia merupakan tempat untuk berkenalan dan menguruskan hal ehwal komuniti setempat. Sungguhpun sebahagian pengurusan kemasyarakatan telah beralih ke tempat lain seperti di dewan orang ramai, tetapi masjid sebagai tempat pertemuan rasmi orang Islam lima kali sehari perlu diperkasakan.
 
Jadikan masjid dan surau sebagai tempat untuk memperkukuhkan institusi masyarakat dan mengeratkan kejiranan. Sungguhpun ada kekangan masa akibat tuntutan kehidupan masa kini, carilah masa untuk mendekatinya. Masjid bukan untuk mereka yang berumur 50an dan mahupun untuk orang pencen, tetapi masjid juga tempat untuk orang yang berumur 20an dan 30an. Jangan tunggu masa lapang, tetapi lapangkan masa, insya Allah, Allah akan beri kelapangan masa.
 
Untuk memastikan kita mendapat jiran yang baik, kita perlu terlebih dahulu menjadi jiran yang baik. Jiran yang baik ialah mereka yang mengetahui hak-hak jirannya, menjaga keharmonian bersama jirannya dan sentiasa menganggap jiran itu sebahagian daripada keluarganya.
 
 
 
وَٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ وَلَا تُشۡرِكُواْ بِهِۦ شَيۡـًٔ۬ا‌ۖ وَبِٱلۡوَٲلِدَيۡنِ إِحۡسَـٰنً۬ا وَبِذِى ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَـٰمَىٰ وَٱلۡمَسَـٰكِينِ وَٱلۡجَارِ ذِى ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡجَارِ ٱلۡجُنُبِ وَٱلصَّاحِبِ بِٱلۡجَنۢبِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتۡ أَيۡمَـٰنُكُمۡ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ مَن ڪَانَ مُخۡتَالاً۬ فَخُورًا (٣٦)
 
 
“Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri."

Post a Comment

0 Comments