Tuesday, May 27, 2014

Hukum "Orang hilang" dalam trajedi MH370


Terdapat di dalam Islam beberapa pandangan ulama berkenaan hukum orang hilang yang meletakkan tempoh tertentu. Namun, untuk menghalusi setiap pandangan itu perlu diteliti secara halus pelaksanannya yang boleh disesuaikan dengan keadaan semasa. Berdasarkan kepada trajedi ini yang telah berlaku sejak 8 Mac 2014, secara lojiknya mereka tiada lagi kesan hidup daripada mereka. Pada asasnya, kaedah menuntukan orang hilang menggunakan asas ”mereka disahkan sebagai hidup, sehingga ada tanda yang menunjukkan mereka mati”. Namun, dalam kes MH370 kaedah yang sebaliknya diamalkan iaitu ”mereka dianggap sebagai mati, sehingga dibuktikan mereka hidup”.  Ia boleh dilihat dari 3 perspektif.

Pertama: Sifat kapal terbang yang apabila berlaku sesuatu kerosakan, ia boleh menyebabkan jatuh terhempas. Kebarangkalian yang kuat penumpangnya mati kerana selepas beberapa ketika tiada sebarang berita dari mereka. Ia berbeza dengan kenderaan di atas daratan kerana sekiranya rosak, penumpangnya tidak semestinya mati. Oleh sebab itu, ia mengambil hukum orang hilang yang pada kebiasaannya tidak selamat. Ia berbeza dengan kes yang pada kebiasannya selamat seperti hilang di Mekah, London dan sebagainya.

Kedua: Persiapan kelengkapan persenjataan dan kecanggihan peralatannya menunjukkan persediaan setiap negara untuk mengawal wilayah mereka dari dicerobohi. Sekiranya, MH370 melalui kawasan negara berkenaan, pastinya mereka atau salah sebuah negara itu dapat mengesannya.  Ini mengukuhkan lagi kedaan bahawa mereka boleh dianggap sebagai mati.

Ketiga: Pandangan fuqaha selama 4 tahun juga mengambil kira kedudukan alat perhubungan dan alat komunikasi yang ada pada ketika itu. Kini peralatan yang semakin canggih, maka tempoh untuk mencari itu boleh dipendekkan. Justeru, tempoh yang diberikan untuk mencari boleh diijtihadkan seperti 6 bulan dalam kes ini untuk mengelak mudarat yang lebih besar dan memudahkan urusan berkaitan dengan pusaka, dan sebagainya.