Bermula dari zaman kegelapan, kemudian modern, kemudian postmodern (baca: liberal)
Pendahuluan
Pendahuluan
Kebelakangan ini timbul pelbagai bentuk pemikiran yang lantang menyuarakan pandangan yang janggal dan meloloskan diri dari ikatan tradisi yang semua itu diklasifikasikan sebagai Post Modernism. Pemahaman tentang konsep post modernism bermula dengan kefahaman tentang konsep modernism yang merujuk kepada era perkembangan dunia barat selepas zaman kegelapan. Pada era tersebut, barat berusaha meloloskan diri dari kekejaman gereja yang telah menzalimi mereka sehinggalah wujudnya gerakan yang berusaha memisahkan gereja dengan politik yang dinamakan dengan sekularisme. Kekejaman gereja bukan sahaja dari sudut mengenakan cukai dan corak pentadbiran yang menindas rakyat tetapi tidak membenarkan sebarang bentuk pemikiran malah penemuan sains yang berlainan dengan pandangan gereja. Sains dan agama dilihat sebagai perkara yang sangat bertentangan kerana sains memerlukan kepada pembuktian dan agama merupakan kepercayaan. Bagi meredakan pertentangan ini di barat, sains dan agama dipisahkan kerana bagi mereka kedua perkara itu merupakan dimensi yang berbeza dan sukar untuk diharmonikan. Justeru, sekularisme iaitu pemisahan agama dengan kehidupan telah berlaku pada peringkat awalnya di dalam bidang politik dengan penyingkiran gereja, seterusnya berlaku di dalam dunia sains.
Penyingkiran agama dari bidang sains terus menjadikan bidang ini berkembang sehingga mencetuskan revolusi saintifik iaitu revolusi yang meletakkan ukuran kebenaran itu mestilah berasaskan kepada pembuktian secara material dan saintifik. Inilah yang dikatakan sekular iaitu merujuk kepada perkara masa kini yang nampak zahir sahaja manakala yang tidak nampak dianggap sebagai dogma. Tumpuan barat terhadap perkara yang bersifat sains (baca: aspek material), telah berjaya membawa mereka mencipta sebuah tamadun yang hebat berasaskan kepada kemajuan material. Pengalaman dan sejarah hitam mereka dengan agama pada zaman kegelapan telah menjadikan mereka mempertuhankan lojik dan rasional yang dapat dibuktikan dan menolak agama yang bersifat dogma dan dakwaan kosong. Akhirnya mereka menerima teori bahawa kemajuan mestilah dengan menolak agama.
Kemajuan yang dicapai oleh barat itu dikatakan sebagai modern. Sebenarnya, modern bukanlah bermaksud kemajuan tetapi ia bermaksud rasional berasaskan kepada pembuktian yang material. Seseorang yang rajin dan kuat berfikir akhirnya boleh membawa kepada kemajuan sesuai dengan law of nature. Corak berfikir secara saintifik (mengikut perspektif barat) yang mengutamakan lojik dan rasional berdasarkan kepada pembuktian material telah menjadikan mereka berjaya mencapai kemajuan. Orang yang rajin akan dapat, manakala orang yang malas akan melepas. Oleh sebab itu, ramai yang beranggapan bahawa modern itu adalah kemajuan, sedangkan modern itu adalah rasional.
Kedudukan post modern
Ukuran kebenaran dalam sains bersifat fakta dan tetap yang tidak boleh disangkal lagi seperti teori gravity iaitu semua benda yang dilepaskan akan jatuh ke bawah. Pembuktian yang jelas lagi tetap dapat dilihat dengan jelas kepada semua benda yang dilepaskan. Namun, meletakkan ukuran bagi semua perkara berasaskan kepada yang ukuran tetap telah mencabar pemikiran barat yang turut berasaskan kepada hak asasi yang memberikan ruang kepada manusia untuk bersuara. Walau pun mereka menerima pembuktian sains tulen yang tetap, tetapi mereka tidak mahu menerima hakikat kebenaran yang bersifat mutlak terutamanya di dalam sains sosial. Bagi mereka, kebenaran itu adalah relatif dan subjektif. Mereka mahu berfikir tentang semua perkara, biarpun bercanggah dengan adat dan kebiasaan tanpa terikat dengan sebarang halangan dan autoriti. Justeru, post modernism ialah trend pemikiran yang menolak sesuatu adat / kebiasaan yang sudah lama diamalkan atau kebenaran yang telah dibuktikan. Sebarang ukuran kebenaran yang tetapi tidak diendahkan termasuklah agama. Atas dasar inilah lahirnya liberalisme dan pluralisme yang meloloskan diri dari sebarang autoriti.
Kini dunia secara umumnya bergerak dari modern kepada post modern bagi memenuhi keperluan kehidupan manusia. Mereka melakukan inovasi demi inovasi bagi mencipta teknologi biarpun berlainan dengan apa yang diamalkan selama ini. Oleh sebab itu, pencapaian teknologi khasnya dalam komunikasi dan juga dalam bidang yang lain berkembang dengan begitu pantas sekali. Itu suatu yang boleh dikatakan positif, tetapi pakej kemajuan itu turut memuatkan penolakan terhadap agama dan tradisi atas dasar kebebasan dan hak asasi. Mereka mempersoalkan semua yang telah dipersetujui oleh autoriti dan tradisi setempat dan menunjangi aliran liberalism dan pluralism yang mencabar agama dan umat Islam pada hari ini.
Post modern tidak berlaku di dalam agama sahaja, tetapi turut berlaku di dalam semua bidang atas nama inovasi, kebebasan, hak asasi dan sebagainya.
Myfaisalonline
0 Comments