Saturday, October 25, 2014

Mestikah Hijrah daripada miskin kepada kaya?

Hijrah merupakan suatu tuntutan terhadap umat Islam kerana pada setiap detik dan saat, manusia sentiasa mengalami perubahan. Persoalannya, adakah perubahan itu bertepatan dengan kehendak Allah SWT atau sebaliknya. Hijrah memang bererti perpindahan, tetapi bukan semua perpindahan boleh disifatkan sebagai hijrah. Hanya perpindahan atau perubahan yang diniatkan kerana iman dan Islam sahaja layak dinamakan hijrah. Hijrah adalah proses perubahan diri daripada kufur kepada iman. Ia bukanlah semestinya  berpindah daripada suasana miskin kepada kaya semata-mata atau dari susah kepada senang kerana parameternya ialah perubahan daripada kufur kepada iman.


Suhaib Al-Rumi RA merupakan seorang sahabat yang berasal daripada Rom walaupun silsilah keturunannya daripada arab. Penghijrahan beliau dari Mekah ke Madinah telah disekat oleh orang Quraish, tetapi beliau telah menawarkan tempat simpanan hartanya sebagai balasan sekiranya beliau dilepaskan untuk membolehkannya berhijrah. Perbuatan ini telah dipuji oleh Allah: 
Dan di antara manusia, ada yang menjual dirinya kerana hendak mencari keredaan Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepada sekalian hamba-Nya. Al-Baqarah: 207.

Begitu juga dengan Mus’ab bin Umair RA yang merupakan seorang anak lelaki bangsawan yang ternama. Beliau bertukar menjadi mujahid yang akhirnya mati syahid dalam keadaan tidak cukup kain kafan untuk menutup jenazahnya. Hijrahnya telah menjadikannya seorang yang tiada harta demi keimanan kepada Allah.

Lihatlah betapa ramainya orang-orang besar Quraisy yang memeluk Islam rela membuang status sosialnya apabila mereka rela makan minum, tidur baring dan hidup bersaudara dengan golongan bawahan yang dulunya adalah kaum pendatang dan hamba abdi. Begitulah antara contoh penghijrahan para sahabat dalam keadaan yang sangat sukar demi untuk menegakkan agama Allah.

Hijrah memberi erti perjuangan menegakkan Islam ke arah menjadikan Islam sebagai agama yang syumul. Pelaksanaan Islam selepas hijrah menjadi lebih hebat dan sempurna. Bermula daripada soal menegakkan akidah, syariat dan akhlak di peringkat diri dan keluarga kepada pelaksanaan sistem pemerintahan,  ekonomi, dan lain-lain lagi di peringkat masyarakat dan negara. Atas dasar itulah, Sayidina Umar RA memilih hijrah sebagai detik bermulanya kalendar Islam sebagai mercu tanda bermulanya kemenangan Islam. Agar dengan itu setiap kali menyambut tahun baru Islam umat Islam akan mengimbau detik kemenangan itu sebagai aspirasi mencipta kemenangan baru!

No comments: