Tuesday, November 25, 2014

Penjagaan alam sekitar menurut Islam

Penjagaan alam sekitar bermula dengan konsep manusia yang hidup dengan tiga tujuan iaitu tujuan khilafah, amanah dan ibadah.
Khilafah ialah menjadi ganti kepada nabi untuk menjaga agama dan memakmurkan alam dunia dengan agama. Memakmurkan dunia itu termasuklah memakmurkan alam sekitar dengan panduan agama, menjadi tanggungjawab manusia yang beriman. Ia termasuk pemeliharaan, pemuliharaan dan pembangunan yang semua itu membawa kebaikan kepada agama, nyawa, akal, harta, keturunan dan maruah manusia, yang ke semua itu adalah memenuhi matlamat pensyariatan Islam.
Setiap manusia mempunyai tanggungjawab ini berdasarkan kepada konteks dan tahap masing-masing. Dalam konteks individu, ia perlu menjaga kebersihan rumah, halaman, menanam pokok bunga dan sebagainya. Dalam konteks masyarakat pula, mereka perlu menjaga kehijauan alam, membersihkan longkang, memastikan sampah dibuang di tempat yang sesuai, menganjurkan gotong royong, peka dengan pencemaran dan sampah. Dalam konteks pemimpin, mereka perlu merancang pembangunan yang mengambilkira faktor alam sekitar, menguruskan sistem pemungutan dan pembuangan sampah yang berkesan, merancang sistem perparitan dan tali air dan sebagainya.
Kegagalan manusia melaksanakan tanggungjawab ini dengan baik akan menyebabkan perkara buruk seperti banjir, tanah runtuh, wabak penyakit dan macam-macam lagi. Allah telah mengingatkan tentang musibah yang berlaku itu adalah hasil daripada perbuatan buruk dan kerja jahat manusia itu sendiri.
"Telah berlaku kerosakan di darat dan di laut kesan daripada perbuatan manusia, demikian (supaya Allah) merasakan kepada mereka terhadap (kerosakan) yang mereka lakukan, semoga mereka kembali bertaubat." (Surah Al-Rum ayat 41)

Sebagai khalifah, manusia memegang amanah dari Allah untuk menguruskan semua perkara itu dengan baik. Ini kerana sesuatu yang diberikan kepada manusia, hatta anggota mereka sendiri pun adalah amanah, bukannya boleh dilakukan sesuka hati. Bila-bila masa sahaja Allah boleh mengambil nyawa dan menghilangkan fungsi setiap anggota badan itu. Dalam pada itu, terdapat manusia yang melupakan amanah ini lantaran mereka merasakan semua harta yang mereka miliki dan kuasa yang mereka punyai, dihasilkan dengan usaha mereka sendiri. Oleh sebab itu, wujudlah manusia yang rakus dengan alam sekitar dan tidak bertanggung jawab dalam menggunakannya. Mereka membuang sampah merata-rata, membuat pembangunan di tepi bukit dengan rakus, membiarkan sungai kotor dan sebagainya.
Ada dikalangan manusia yang Allah berikan amanah yang banyak, dan ada pula amanah yang sedikit. Namun, setiap manusia perlu menyedari hakikat amanah terhadap alam sekitar ini sungguh luas, bukan sekadar untuk manusia itu sendiri tetapi untuk makhluk dan hidupan yang lain.  
Ke semua perlakuan manusia yang beriman itu termasuk memakmurkan alam, menjaga dan memuliharan alam sekitar merupakan suatu ibadah kepada Allah. Manusia biasanya meletakkan kepentingan dirinya sendiri berbanding dengan kepentingan orang lain, tetapi apabila menjadi orang yang beriman, ia perlu meletakkan kepentingan itu berdasarkan panduan Allah yang telah meletakkan sesuatu berdasarkan kepada turutannya yang tersendiri. Manusia mungkin perlu mengorbankan kepentingan diri mereka sendiri demi kerana kepentingan umum. Kalau diikutkan hati, tentunya mereka boleh sahaja memanipulasi alam sekitar untuk mengaut keuntungan sendiri, tetapi Allah suruh agar manusia menjaga hak hidupan lain agar semua hak makhluk itu semuanya terjaga.

2 comments:

Azizah Najib said...

ust, baru semalam sy terima soal selidik dr kmenterian kesihatan about organic products & our actions on supporting it.. n effects pada alam.. soal selidik tu makes me realise, masih kurang kesedaran alam dalam diri.. huhu

Dr. Muhamad Faisal Ashaari said...

Betul Azizah, keindahan alam sekitar musnah akibat kekurangan kesedaran dan kerakusan manusia.