Khutbah - Pemikiran Liberal: Ancaman Terhadap Aqidah Islam


الحمد لله الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ.
أشهد أن لا إله إلا الله وحده، صدق وعده ونصر عبده وأعز جنده، وهزم الأحزاب وحده.
وأشهد أن محمدا رسول الله، أدى الأمانة وبلغ الرسالة ونصح الأمة وجاهد في الله جهاده.
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ على سيدنا محمد أشرف الأنبياء والمرسلين، وعلى آله وصحبه أجمعين.
أما بعد،
فَيَا عِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.

Sidang Jumaat sekalian,

Saya berpesan buat diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t. dengan beriltizam di atas jalan-Nya (agama-Nya) dan mengelakkan diri dari terpesong dari jalan yang lurus ini.

وَأَنَّ هَـٰذَا صِراطِى مُستَقِيمًا فَٱتَّبِعُوهُ‌ۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُم عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٲلِكُم وَصَّىكُم بِهِۦ لَعَلّكم تَتَّقُونَ

Maksudnya: Dan Bahawa Sesungguhnya Inilah jalanKu (ugama Islam) Yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan Yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa. Surah al-An’am: 153.

Sidang Jumaat sekalian,

Kita mungkin pernah mendengar cerita atau dialog antara seorang pendakwah dengan seorang pemain judi. apabila pendakwah itu menegur kaki judi itu, dia pun menjawab “saya tidak kacau orang lain, saya juga tidak ambil duit orang, saya hanya bertaruh sahaja, kalau saya kalah saya redo. Kenapa pula haram”

Begitu juga dengan kisah pendakwah dengan seorang wanita, ketika pendakwah itu mengajaknya supaya memakai tudung dan menutup aurat dengan sempurna. Tiba-tiba, wanita tadi menjawab: “Allah tidak melihat kepada perkara zahir. Apa yang lebih penting adalah dalaman kita iaitu taqwa, pakaian itu hanyalah zahir sahaja.”

Sidang Jumaat sekalian,


Itu adalah sebahagian daripada dialog yang menggambarkan salah satu bentuk pemikiran yang ada pada hari ini yang membahayakan akidah Islam. Inilah pemikiran liberal yang berasaskan kepada rasional dan lojik yang mementingkan hak asasi manusia lebih daripada agama.

Pemikiran ini adalah lanjutan daripada perkembangan pemikiran modenisme yang berusaha untuk menyesuaikan Islam dengan realiti kehidupan moden pada hari ini. Dengan kata lain, Islam perlu menyesuaikan dirinya dengan kemajuan dan kemodenan, bukan kemajuan itu sendiri yang perlu menyesuaikan dirinya, seiring dengan kehendak Islam. Seseorang yang berfahaman modenisme percaya bahawa, untuk mencapai kemajuan hidup, masyarakat harus dibebaskan dari tradisinya yang berasaskan kepada dogma dan dakwaan kosong yang tidak berpijak di bumi yang nyata. Semua perkara dan kejayaan hendaklah diukur dengan pencapaian berasaskan kepada material yang telah dibuktikan. Sekiranya tidak dapat dibuktikan secara fact and figure, seseorang yang modenis tidak akan mempercayainya. 

Di dalam Islam, tidak semua perkara yang dapat dibuktikan secara fact and figure. Tidak siapapun yang dapat membuktikan secara emperikal kewujudan dosa dan pahala, balasan syurga dan neraka, melainkan itu merupakan keyakinan dan keimanan kita terhadap perkara yang akan berlaku pada masa akan datang. Ini merupakan soal keimanan yang perlu diyakinkan di dalam hati sebagaimana Allah telah meletakkan semua itu di dalam rukun iman yang perlu dipasakkan di dalam hati.

Oleh sebab itu, mereka tidak mahu sebarang peraturan dan undang-undang yang berasaskan kepada agama, kerana agama bagi mereka hanyalah dogma semata-mata. Mereka tidak boleh menerima pemisahan atas alasan dosa dan pengharaman percampuran bebas antara lelaki dan perempuan, tetapi boleh terima pemisahan antara lelaki dan perempuan atas alasan gangguan seksual.  

Allah berfirman:
وَمَا كَانَ لِمُؤمِنٍ وَلَا مُؤمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُ ۥ أَمرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلخِيَرَةُ مِن أَمرِهِمۗ وَمَن يَعصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُ ۥ فَقَد ضَلَّ ضَلَـٰلاً مُّبِينًا

Yang Bermaksud: Tidak wajar bagi orang yang beriman, apabila Allah memutuskan suatu perkara, mereka boleh memilih untuk tidak menerimanya. Sesiapa yang mengingkari Allah dan Rasulnya, ia tergolong dalam orang yang sesat yang nyata. Al-Ahzab: 36.

Sebagai seorang Muslim, setiap tindak tanduk dan gerak geri kita tidak terlepas dari hukum Islam yang lima iaitu wajib, haram, sunat, makruh dan harus. Dengan ini, setiap tindakan kita terikat dengan peraturan yang Allah perintahkan kepada kita. Itulah tanda penyerahan diri yang penting bagi seorang Muslim sebagai mana yang kita ungkapkan ketika kita mengucap dua kalimah syahadah yang membawa maksud pengakuan untuk tunduk dan patuh pada perintah Allah.

Sidang Jumaat sekalian,

Pemikiran liberal ini menyerahkan kebebasan penuh kepada diri manusia dan masyarakat untuk meneroka minat, naluri, bakat, kemahiran dan kecenderungan mengikut gaya masing-masing. Pemikiran ini tidak terikat dengan sebarang ikatan agama mahupun mana-mana autoriti kerana bagi mereka ia bercanggah dengan hak asasi manusia. Bagi pendokong pemikiran ini, mereka lebih beriman dengan hak asasi dari beriman dengan Allah SWT.

Ada manusia yang merasaskan mempunyai hak untuk berjudi, kerana mereka tidak mengganggu orang lain. Ada juga manusia yang berasa mempunyai hak untuk menukar jantina, kerana mereka juga tidak menganggu orang lain. Mereka mempunyai hak untuk berjudi dan untuk menukar jantina.

Sebagai serong Islam, kita tidak menerima alasan hak asasi kerana kita ragu ia bukan hak asasi, tetapi ia hanyalah kemahuan dan nafsu manusia sahaja yang terselindung di bawah nama hak asasi sahaja. Sebenarnya, nafsu manusia tidak terbatas dan tidak pernah puas. Nafsu juga kurang mahu tunduk pada sebarang peraturan dan undang-undang termasuk hukum Islam melainkan nafsu yang sudah terdidik dengan keimanan kepada Allah.

Di dalam Islam, semua hukum hakam sudah terkandung di dalamnya matlamat yang penting untuk kehidupan manusia iaitu menjaga agama, nyawa, akal, harta, keturunan dan maruah. Tiada suatu hukum dan undang-undang Islam pun yang terdapat di dalam al-Quran melainkan semua itu telah menjaga semua kepentingan itu. Oleh kerana manusia gagal untuk mengetahui dan membezakan antara hak dan keinginan, maka mereka memerlukan peraturan dan panduan dari Allah, yang merupakan pencipta kepada manusia.

Cukuplah kita mengambil pengajaran dari kisah Iblis yang diabadikan di dalam al-Quran apabila Allah memerintahkannya sujud pada Adam. Iblis telah membangkang perintah ini kerana baginya tidak lojik kejadian yang hebat diperintahkan untuk sujud kepada adam yang lebih lemah ciptaannya. Dia gagal untuk membezakan antara hak dan kemahuan serta keegoannya, akhirnya ia tergolong di kalangan orang yang kafir. Firman Allah:

وَإِذ قُلنَا لِلمَلَـِٰٕكَةِ ٱسجُدُواْ لِأَدَمَ فَسَجَدُواْ إِلَّا إِبلِيسَ أَبَىٰ وَٱستَكبَرَ وَكَانَ مِنَ ٱلكَـٰفِرِينَ

Yang bermaksud: Ingatlah ketika Allah memerintahkan malaikat agar sujud hormat kepada Adam. Mereka semua sujud melainkan Iblis. Ia engkar dan membesar diri. Ia tergolong dalam golongan yang kafir. Al-Baqarah: 34.

Bagi orang barat, mereka tidak mempunyai peraturan yang bersandarkan kepada wahyu. Kesahan kitab mereka sendiripun dipertikaikan oleh mereka sendiri kerana terdapat kontradiski pernyataan di dalam kitab mereka. Oleh kerana mereka tidak mempunyai wahyu, mereka terpaksa meminta pandangan manusia berasaskan kepada hak asasi untuk dijadikan panduan untuk membuat peraturan. Oleh kerana pandangan manusia itu tidak mempunyai ukuran bagi menentukan mana yang betul dan yang salah, maka mereka memerlukan demokrasi bagi memilih pandangan yang betul di kalangan mereka. 

Oleh sebab itu, dalam meneliti kecelaruan manusia untuk mengenali antara hak dan nafsu keinginan, mereka memerlukan bimbingan dan panduan dari Allah. Manusia tidak mampu untuk membezakan antara keduanya kerana manusia sering mementingkan dirinya sendiri berbanding orang lain. Oleh kerana Allah merupakan pencipta manusia, Dia mengetahui nature kejadian manusia, Dia juga tahu meletakkan dengan sempurna antara hak dan keinginan manusia.


Sidang Jumaat sekalian

Pemikiran Liberal merupakan pemikiran yang mendapat tempat di kalangan masyarakat zaman moden kerana ia bergerak di atas landasan yang lojik dan rasional. Ia umpama madu beracun yang mungkin sahaja menawan mereka yang tidak sentiasa mendekati pembelajaran al-Quran dan hadis serta menjauhi majlis ilmu.

Justeru, kita hendaklah berwaspada terhadap pemikiran Islam liberal ini. Antara ciri-ciri fahaman ini adalah:
1.      Berpegang pada kepercayaan bahawa kebenaran tidak bersifat mutlak. Tiada siapa yang betul dan yang salah. Justeru, semua pandangan semua agama boleh diterima kerana ia bergantung kepada penilaian individu.
2.      Merasa mempunyai kebebasan dalam mentafsirkan ajaran agama, walaupun tidak memiliki kelayakan asas dalam bidang agama.
3.      Selalu mengkritik tafsiran ulama dengan dakwaan ia tidak sesuai dengan kemodenan.
4.      Menuntut keterbukaan ijtihad termasuk dalam bidang akidah, ibadah dan perkara yang telah disepakati ulama (ijmak).
5.      Menafikan hak agama dalam mengawal moral penganutnya.
6.      Menganggap perkara agama sebagai hak individu, tidak boleh dijadikan nilai yang dipaksa dalam pentadbiran atau undang-undang.
7.      Mempromosikan emansipasi atau kebebasan wanita dan persamaan hak dengan kaum lelaki.
8.      Mendukung penuh demokrasi liberal.

Sidang Jumaat sekalian,

Apa yang penting bagi kita ialah untuk menghayati Islam dan memenuhi perintah Allah s.w.t. Kita perlu melihat ajaran Islam secara menyeluruh kepada semua aspek agama ini. Kita juga perlu mempelajari hukum-hakam agama ini dengan melihat kepada semua nas al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Bukan dengan hanya membaca beberapa ayat dan melihat beberapa hadis, lalu kita sudah membuat kesimpulan yang bertentangan roh dan matlamat agama ini seluruhnya.

Kita perlu menyedari bahawa kita diseru oleh Allah s.w.t. supaya sentiasa berpegang pada agamanya dan tidak terikut-ikut ajaran dan pemikiran yang lain.

قُل هَـٰذِهِۦ سَبِيلِى أَدعُواْ إِلَى ٱللَّهِ‌ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ ٱتَّبَعَنِى‌ وَسُبحَـٰنَ ٱللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ ٱلمُشرِكِينَ

Maksudnya: “Katakanlah (Wahai Muhammad): "Inilah jalanku, Aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru semua manusia kepada agama Allah berdasarkan kpada keterangan dan bukti yang nyata. Aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan Aku bukan dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.” Surah Yusuf: 108.


بارك الله لي ولكم بالقرآن العظيم، ونفعني وإياكم بما فيه من الآيات والذكر الحكيم، وتقبل مني ومنكم تلاوته، إنه هو السميع العليم. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ. فَاسْتَغْفِرُوْهُ. إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.


Download di sini http://bit.ly/11A82V0

Post a Comment

0 Comments