Allah telah memberikan kepada manusia kemampuan untuk berfikir bagi meneruskan kehidupannya di atas muka bumi ini dengan sempurna. Kelebihan inilah yang membezakan antara manusia dengan haiwan kerana manusia diberikan kemampuan untuk membangunkan fikirannya berbanding dengan haiwan yang fikirannya statik. Menerusi akal, manusia boleh membina sebuah tamadun yang hebat, sebaliknya kehidupan haiwan tidak berubah, tetap seperti dahulu.
Kemajuan yang pesat pada hari ini merupakan tanda pembangunan akal fikiran manusia yang hebat. Manusia dapat membuat kreativiti di dalam pemikiran, berfikiran kritis dan seterusnya dapat menghasilkan inovasi. Dengan itu, manusia dapat mendapat mencapai kemajuan. Sebaliknya, berfikiran yang terikat dengan cara yang lama dan konservatif hanya akan menyebabkan kehidupan yang statik manakala kemajuan lambat atau gagal dicapai. Justeru, menggerakkan akal untuk berfikir merupakan suatu tuntutan kehidupan sebagai seorang manusia.
Di dalam Islam, berfikir merupakan sesuatu yang amat digalakkan, malah ia merupakan syarat utama kepada pertanggungjawaban sebagai seorang Muslim. Orang yang gila tidak wajib solat dan orang yang pitam tidak wajib puasa. Dari sudut pembelajaran akidah pula, aspek pemikiran yang rasional amat dititik beratkan. Oleh sebab itu, tiga hukum akal iaitu ‘wajib, mustahil dan harus’ diperkenalkan ketika awal pembelajaran ilmu aqidah. Pembelajaran akidah yang tidak berlandaskan kepada lojik boleh membawa manusia menjadi pengikut yang buta, dan tidak mampu memberikan penjelasan kenapa dia beriman dengan Allah, malaikat dan lain-lain.
Lebih dari itu, pelaksanaan hukum hakam Islam seperti solat dan puasa bertitik tolak dari menjawab persoalan “kenapa aku perlu solat dan puasa?”. Sekiranya dia tidak dapat menjawab persoalan ini, maka tiada sebab bagi dia untuk menjadi seorang yang komited dengan ibadat kerana ia melakukan sesuatu perkara yang pada zahir tidak lojik. Bagaimana muka yang perlu dibasuh sedangkan tempat keluar angin ialah dari dubur. Kenapa tidak boleh menukar jantina, kerana yang dibuang itu adalah kemaluan sendiri, bukan kemaluan ustaz.
Namun, apabila manusia digesa untuk berfikir, sejauh manakah manusia diberikan ruang kebebasan untuk berfikir? Terdapat dua contoh berfikir kritis yang diabadikan di dalam al-Quran yang boleh dijadikan landasan kepada manusia untuk berfikir iaitu kisah Iblis dan Nabi Ibrahim.
Iblis merupakan tokoh rasionalis yang kufur apabila beliau bukan sekadar kritis tetap mempertikaikan perintah Allah yang telah memerintahkannya sujud kepada Adam. Allah berfirman:
وَإِذۡ قُلۡنَا لِلۡمَلَـٰٓٮِٕڪَةِ ٱسۡجُدُواْ لِأَدَمَ فَسَجَدُوٓاْ إِلَّآ إِبۡلِيسَ قَالَ ءَأَسۡجُدُ لِمَنۡ خَلَقۡتَ طِينً۬ا (٦١) قَالَ أَرَءَيۡتَكَ هَـٰذَا ٱلَّذِى ڪَرَّمۡتَ عَلَىَّ لَٮِٕنۡ أَخَّرۡتَنِ إِلَىٰ يَوۡمِ ٱلۡقِيَـٰمَةِ لَأَحۡتَنِكَنَّ ذُرِّيَّتَهُ ۥۤ إِلَّا قَلِيلاً۬ (٦٢)
Yang bermaksud:
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam"; maka mereka sujudlah melainkan iblis; ia berkata: "Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah (yang di adun)?” Ia berkata lagi: "Khabarkanlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku? Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga hari kiamat, tentulah aku akan memancing menyesatkan zuriat keturunannya, kecuali sedikit (di antaranya)".
Beliau mendakwa, “ءَأَسۡجُدُ” yang bermaksud adakah patut/ wajar/ lojik untuk dia sujud kepada Adam kerana dia diciptakan daripada api sedangkan Adam dicipta daripada tanah. Lojikkah kejadian api sujud kepada tanah kerana tanah lebih rendah berbanding api. Pertanyaan yang kritis ini bukan bertujuan untuk mencari kebenaran, atau mendapatkan kaedah dan cara untuk beramal, tetapi lebih untuk menunjukkan keingkaran, keenganan dan rasa besar diri di hadapan Allah. Di atas ciptaan yang hebat itu, dia berasa dirinya yang hebat dan tidak wajar untuk tunduk pada perintah Allah. Adakah kita mahu kritis seperti Iblis?
Contoh kritis yang terbaik ialah kisah Nabi Ibrahim yang telah diabadikan kisahnya di dalam al-Quran iaitu kisah baginda bertanya tentang cara Allah menghidupkan orang mati. Allah berfirman:
وَإِذۡ قَالَ إِبۡرَٲهِـۧمُ رَبِّ أَرِنِى ڪَيۡفَ تُحۡىِ ٱلۡمَوۡتَىٰۖ قَالَ أَوَلَمۡ تُؤۡمِنۖ قَالَ بَلَىٰ وَلَـٰكِن لِّيَطۡمَٮِٕنَّ قَلۡبِىۖ قَالَ فَخُذۡ أَرۡبَعَةً۬ مِّنَ ٱلطَّيۡرِ فَصُرۡهُنَّ إِلَيۡكَ ثُمَّ ٱجۡعَلۡ عَلَىٰ كُلِّ جَبَلٍ۬ مِّنۡہُنَّ جُزۡءً۬ا ثُمَّ ٱدۡعُهُنَّ يَأۡتِينَكَ سَعۡيً۬اۚ وَٱعۡلَمۡ أَنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ۬
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?" Allah berfirman: "Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaanku)?" Nabi Ibrahim menjawab: "Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya)". Allah berfirman: "(Jika demikian), ambilah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya). Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera". Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. al-Baqarah: 260.
Allah mempersoalkan sifat kritis nabi Ibrahim itu kerana seolah-olah baginda tidak percaya kepada kekuasaan Allah. Bagaimana seorang Rasul boleh bertanya tentang itu? Sikap baginda yang kritis ini bukan bertujuan untuk tidak beramal, jauh sekali untuk mempertikaikan kemampuan Allah tetapi lebih untuk menambahkan lagi keyakinan kepada kekuasaan Allah.
Ini bermakna kritis menerusi cara yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim ini ada asasnya di dalam Islam iaitu untuk mencari kebenaran. Oleh sebab itu, baginda telah mendapat petunjuk dari Allah ketika baginda berfikir siapakah tuhan yang sebenar, sama ada bintang, bulan dan matahari? Dia menggunakan lojik akalnya untuk berfikir tentang ketuhanan kerana baginya tuhan mestilah hebat dan berkuasa. Apabila bintang, bulan dan matahari semuanya gagal mencapai tahap kehebatan biarpun sebesar matahari pun ada kelemahan, tentunya ada pencipta di sebalik ciptaan ini. Sifat kritis nabi Ibrahim ini yang bertujuan mencari kebenaran akhirnya ditemukan Allah dengan kebenaran. Sebaliknya, sikap kritis melampau yang ditunjukkan oleh Iblis yang bertujuan untuk menunjukkan besar diri dan bukan mencari kebenaran, akhirnya bertemu dengan kekufuran.
Kesimpulan
Islam memberikan ruang kepada manusia untuk berfikir tetapi dalam masa yang sama ia tidak boleh untuk mempertikaikan hukum hakam dengan tujuan untuk mengelak dan beralasan, malah untuk menunjukkan lebih cerdik dari Allah.
Sebagai panduan ringkas, batasan manusia dalam berfikir seperti berikut:
1. Tidak boleh bercanggah dengan perkara asas dalam agama
Contoh: Tidak boleh kata solat lima waktu tidak wajib
2. Tidak boleh bercanggah dengan zahir nas
Contoh: Tidak boleh kata jual beli haram dan riba halal kerana ia jelas di dalam al-Quran.
3. Tidak boleh bercanggah dengan tafsiran yang dipegang oleh jumhur ulama
Contoh - Mengatakan aurat tidak wajib, yang penting adalah sopan. Ulama berpandangan aurat mempunyai batasan tertentu, bukan dengan “sopan” yang mempunyai ukuran yang subjektif.
0 Comments