“Ustaz, ini baru rare” - Pemikiran Generasi Y

“Ini baru rare” merupakan frasa yang menggambarkan suatu bentuk pemikiran generasi Y yang berbangga dengan kejanggalan dan keanehan yang mereka lakukan. Ia merupakan ciri masyarakat “post modernism” yang mengkritik perkara yang menjadi amalan kebiasaaan dan mengambil sikap berlainan dengan tradisi. Bagi mereka, kejanggalan dengan masyarakat bukan sesuatu yang perlu dimalukan dan tidak semestinya salah, malah dalam sesetengah keadaan mungkin ia perlu dibanggakan. Oleh sebab itu, slogan “Ustaz, ini baru rareyang terpacul keluar dari mulut mereka ialah kerana mereka tidak hiraukan apa orang kata, yang penting mereka bahagia dan hanyut dengan dunia mereka. 

Keadaan masyarakat masa kini yang bergantung dengan teknologi menyebabkan kehidupan mereka bersandarkan kepada teknologi sepenuhnya. Akhirnya kehidupan mereka bersifat individualistik dan tidak bermasyarakat. Mereka tidak kisah dengan masyarakat sekeliling kerana apa yang mereka mahu, boleh dapat tanpa bergantung dengan masyarakat. Mereka ada duit, ada kerja, ada pangkat dan yang penting mereka ada internet yang membolehkan mereka cakap apa sahaja. Ketika masyarakat susah dahulu, pergantungan masyarakat tinggi, kehadiran ke gotong royong ramai, frasa "apa orang kata" menjadi mantera yang menakutkan masyarakat dari berbeza dengan tradisi.

Keadaan ini turut disemarakkan lagi dengan nature komunikasi dalam dunia Facebook yang menginginkan sebuah kejanggalan untuk mendapat like, komen dan share yang tinggi. Mereka bangga dengan posting yang mereka lakukan biarpun aneh dan janggal kerana yang penting mereka popular dengan like, komen dan share yang banyak. Mereka sengaja mencari aneh seraya berkata “Ustaz, ini baru rare”. Oleh sebab itu, kecenderungan berselfie yang menjadi trend di dalam masyarakat moden kerana gambar itu akan dishare di dalam Facebook untuk memberikan keterujaan kepada orang lain. Jarang sekali, gambar selfie simpan sahaja di dalam external hard disk.




Pada asasnya, pemikiran kejanggalan adalah baik, malah ia boleh menggalakkan sebuah inovasi dan kreativiti yang mungkin sahaja mendatangkan ciptaan dan penemuan baru. Bagi golongan peniaga jubah misalannya, keunikan design jubah yang mereka perkenalkan mungkin pelik tetapi boleh menarik sehingga boleh menghasilkan jualan yang tinggi. Sesungguhnya inovasi dan kreativiti dalam berfikir amat dituntut bagi menghasilkan penemuan baru yang berimpak tinggi. Apa yang menjadi masalah ialah apabila kejanggalan itu melibatkan soal pemikiran yang menganggap mereka benar biarpun menyalahi syariat agama dan menyongsang dengan nilai budaya

Berbekalkan sedikit ilmu yang mereka pelajari di sekolah, malah di universiti, dan berbekalkan sedikit pembacaan yang mereka lakukan, mereka sudah berasa cukup bijak untuk berbeza dengan pandangan yang sudah diterima umum. Mereka mengkritik pandangan umum dan mengemukakan pandangan mereka biarpun berlawanan kerana bagi mereka pandangan minoriti itu tidak semestinya betul. Contohnya mereka mengkritik sistem pendidikan di IPT yang bagi mereka tidak releven, menolak sistem beraja dan kesultanan Melayu yang tidak releven dan mengkritik ahli agama yang bagi mereka perlu berpenampilan sederhana, tidak boleh bermewah-mewah. 

Krtitikan yang diberikan ini atau perbezaan dalam berfikir itu boleh dilihat dari dua sudut:

Pertama: Cara berfikir yang berjiwa kecil, seperti anak-anak kecil, bukan seperti seorang yang berjiwa besar. Berfikir orang berjiwa kecil ialah berfikir seperti kebudak-budakan yang tidak/ belum mengenal erti sebuah tanggungjawab yang didasari oleh semata-mata semangat dan emosi. Mereka bercakap semahunya kerana mereka tidak memegang apa-apa tanggungjawab. Oleh sebab itu, kritikan mudah diberikan sehingga mungkin boleh diwujudkan "lajnah kritik". Ya, sebahagian kritikan itu ada sedikit asasnya kerana memang ada kelemahan dalam mana-mana tempat dan dalam sistem sosial, namun kritikan itu perlu berpijak di bumi yang nyata. Contohnya, kelemahan mungkin timbul dalam sistem pendidikan di IPT, institusi kesultanan dan ahli-ahli agama, namun ia harus diperbaiki, bukan diperangi. Setelah didapati memang tidak boleh dibaiki berdasarkan kajian yang menyeluruh barulah ditolak. 

Kedua: Generasi Y ini merupakan generasi yang tidak/ kurang mahu memberikan komitmen pada satu-satu perkara berteraskan sesebuah ideologi. Contohnya, mereka tidak berapa mahu memberikan komitmen dengan parti politik kerana komitmen itu akan melahirkan suatu tanggungjawab, melainkan apabila mereka mendapat pulangan wang dan harta (projek). Perjuangan yang berteraskan agama dan juga bangsa tidak mendapat tempat dalam pemikiran mereka.  Mereka komited dengan apa yang mereka fikirkan betul dan bercakap mengikut keinginan mulut mereka. 

Apakah graf perceraian yang semakin meningkat dan fenomena lambat berkahwin di kalangan generasi muda hari ini antara lain disebabkan oleh sifat "less responsibility" ? - Boleh dibincangkan nanti. 

Kesimpulan

Pemikiran melalukan sesuatu yang janggal dikenali sebagai "antithesis". Oleh sebab itu, kita tidak hairan mereka boleh berkata “agama adalah candu masyarakat”. Kalau kita faham pola pemikiran mereka, kita mudah untuk mengetahui fenomena yang mungkin wujud pada keluarga yang terdekat, malah mungkin ia juga wujud dalam diri kita sendiri. Tulisan ini adalah pemerhatian awal terhadap fenomena yang wujud pada hari ini. 

Post a Comment

1 Comments

prihatin said…
Kita perlu yakin bahawa akidah kepercayaan pokok adalah terpenting dalam agama dan kehidupan.
Ini Allah yg tetapkan bukan fikiran kita.sebab kalau ikut fikiran mungkin ada isu lain yg lebih penting seperti kerjaya ekonomi keluarga dll.