Pendekatan Tauhid kontemporari vs tradisional?

Pada asasnya, tauhid itu sama sahaja iaitu untuk mengesakan Allah dan membuang sifat kufur, syirik, dan nifaq dari dalam diri manusia. Pemisahan antara kontemporari dan tradisional bukan disebabkan perbezaan dalam tauhid itu, tetapi perbezaan dalam pendekatan dalam mengukuhkan keyakinan kepada Allah. Terdapat keperluan untuk membuat pendekatan baru kerana:

1• Ancaman terhadap Islam berbeza antara dahulu dan sekarang. Faktor yang membawa kesesatan orang dahulu berbeza dengan orang sekarang. Contoh: Orang dahulu sesat kerana terkesan dengan ilmu falsafah manakala orang sekarang sesat kerana mencari kehidupan. Ada tak orang sembang di kedai kopi tentang sifat 20? atau tauhid uluhiyyah atau rububiyyah? Mereka sembang tentang sewa rumah, harga barang yang semakin meningkat, nak buat loan rumah, korupsi para pemimpin, ekonomi yang semakin merudum dan sebagainya. Semuanya tentang kehidupan, cuma persoalannya di sini ialah sejauh manakah mereka meletakkan ketuhanan sebagai parameter / ukuran di dalam memilih keselesaan di dalam kehidupan mereka. 

2• Perkara / isu yang boleh mengurangkan keyakinan terhadap Islam semakin kreatif. Dengan adanya TV, internet, pendedahan terhadap kesesatan dan pemesongan cara hidup yang tidak berlandaskan Islam semakin kreatif. Secara tidak langsung manusia mungkin tertipu dengan cara hidup yang Allah tidak suka. 

3• Perkara / isu yang boleh mengurangkan keyakinan terhadap Islam semakin banyak / kerap. Teknologi yang mendasari seluruh kehidupan manusia masa kini boleh menyebabkan gangguan akidah. Daripada 1511 hingga 1950an, Tanah Melayu di bawah kuasa penjajah, kita tidak dengar orang Melayu murtad. Tetapi sejak 1980an ke atas, telah ada orang Melayu murtad dan jumlah mereka semakin ramai. Bagi yang tidak sampai tahap keluar Islam, tahap keyakinan terhadap Islam semakin berkurangan, mereka lebih yakin pada akal mereka sendiri berbanding dengan Islam.  

Masyarakat pada hari ini lebih cenderung untuk mencari kehidupan yang lebih selesa lebih daripada mencari ketuhanan. Kalau zaman dahulu, mereka membincangkan soal ketuhanan iaitu tentang zat tuhan, sifat tuhan dan berpolemik dengan orang bukan Islam malah sesama orang Islam dalam mencari kebenaran tentang hakikat ketuhanan. Kini manusia sebaliknya, tidak lagi membicarakan tentang ketuhanan tetapi membicarakan tentang kehidupan yang lebih selesa iaitu kehidupan moden yang dibantu kuat dengan pencapaian sains dan teknologi. 

Oleh kerana manusia hidup dalam hutan teknologi, di mana mereka bukan sekadar dapat sentuh teknologi dan keselesaan kehidupan atau dapat merasa teknologi dan keselesaan dalam kehidupan, tetapi mereka menikmati semua teknologi dan keselesaan itu. Ya, menikmati semua itu. Tuhan? Tuhan tidak dapat dilihat, dosa pahala pun tidak dapat dilihat. Kalau dibandingkan antara keselesaan yang dapat dinikmati dengan ketuhanan yang tidak dapat dilihat, manakah yang manusia lebih yakin? 


Pendekatan tauhid 20 (aliran Asyairah) dan pembahagian tauhid kepada 3 (aliran salafi), merupakan salah satu pendekatan yang disesuaikan dengan zaman itu. Kita boleh ikut mana pendekatan yang sesuai kerana ubat perlu disesuaikan dengan penyakit. Sebagai contoh; matlamat rukun iman yang pertama ialah untuk menjadikan seseorang itu benar-benar yakin tentang status dirinya dan mengenali siapakah tuhan dan siapakah hamba. Orang yang masih merasakan bahawa dia boleh pakai ikut suka dia, solat ikut suka dia, …… semuanya ikut suka dia, bukan ikut panduan dari Allah, dia ada masalah dalam rukun iman yang pertama. 

Apa yang penting dalam pengajian tauhid ialah matlamat dari setiap rukun iman itu tercapai. 
Penjelasan matlamat setiap rukun iman itu, sila tunggu artikel seterusnya. 

KESIMPULAN
ORANG DAHULU SESAT MENCARI KETUHANAN, ORANG SEKARANG SESAT DALAM MENCARI KEHIDUPAN.
ORANG DAHULU RAGU TENTANG TUHAN, ORANG SEKARANG RAGU ISLAM SEBAGAI PANDUAN YANG AMPUH DALAM KEHIDUPAN.


Tujuan Pembelajaran Ilmu Tauhid ialah untuk
•Meyakini Allah sebagai tuhan dan Nabi Muhammad sebagai Rasulullah serta meyakini semua rukun iman yang enam.
•Mengelak daripada syirik, kufur, nifaq aqidah.
•Memandu cara berfikir yang betul dan persepsi terhadap alam dan kehidupan.





Post a Comment

2 Comments

Anonymous said…
Di surau pun orang pun tak mengaji pelajaran Tauhid. Di masjid yang ada Imam tetap pun belum tentu ada pembelajaran Tauhid secara khusus. Orang-orang awam pun tak berapa minat sebab pembelajarannya tidak ada unsur humor sangat. Menggunakan cara atau teknik Assya'irah sentiasa relevan selepas ketiadaan Nabi dan sahabat sebab ahli falsafah terlalu ramai sekarang.
Asyairah ialah pendekatan yang wasatiyyah antara akal dan nas. Meletakkan nas melebihi akal dan tidak terlalu harfiyyah dan tidak juga menggunakan takwil yang jauh.