PANDUAN MEROTAN ANAK MENURUT HADIS

Perbincangan mengenai memukul anak ini perlu dilakukan menyeluruh, termasuk pendekatan kasih sayang Rasulullah terhadap kanak-kanak termasuklah. Berikut adalah beberapa panduan dari Rasulullah terhadap cara merotan anak. 



1. Merotan atau memukul ketika anak berumur 10 tahun

Rasulullah bersabda:
مروا أولادكم بالصلاة وهم أبناء سبع، واضربوهم عليها وهم أبناء عشر

Maksudnya: (Ajar anak kamu solat ketika umurnya 7 tahun, dan (sekiranya mereka enggan) pukul mereka apabila mencecah 10 tahun). (Riwayat Abu Daud)

Ulasan saya: BOLEHKAH MEROTAN SEKIRANYA KURANG DARI 10 TAHUN? Jawapannya BOLEH. Hadis tersebut tidaklah menunjukkan larangan memukul anak kurang dari 10 tahun. Namun, prinsip yang diperkenalkan di dalam hadis ini ialah tentang pendekatan dalam mendidik anak dengan cara kasih sayang seperti memberi pujian, galakan, gesaan, suruhan dan ajakan dengan kata-kata yang lembut perlu menjadi keutamaan pada usia anak sehingga menjelang 10 tahun. Pada tahap ini mereka mungkin tidak faham kenapa sesuatu kewajipan itu diperkenalkan kepada mereka. Maka pendekatan yang lembut yang disertakan dengan penjelasan boleh memahamkan mereka dan membiasakan mereka dengan kewajipan itu. Kebijaksanaan ibu bapa amat diperlukan pada tahap ini kerana mereka pendekatan yang berhemah di samping contoh teladan yang baik dari ibu bapa dan keluarga dapat menarik mereka melaksanakan kewajipan dan mengenali tanggungjawab 

Bagi anak yang berumur 10 tahun ke atas, mereka telah dan boleh mengetahui erti kewajipan dan tanggungjawab serta implikasi sekiranya mereka meninggalkannya. Semua penjelasan dan kefahaman telah diberikan kepada mereka, cuma ketegasan ibu bapa amat diperlukan pada tahap ini agar mereka dapat melaksanakan sesuatu perkara itu secara sendiri, tanpa disuruh-suruh lagi. Sekiranya masih lagi berdegil dan tidak mahu melaksanakannya, kata-kata tidak lagi berguna (berkesan) dan ketegasan dalam bentuk tindakan amat diperlukan. Di situlah fungsi rotan.

Secara tidak langsung, hadis ini membuktikan bahawa rotan memang merupakan salah satu dari cara mendidik di dalam Islam. Menafikan langsung rotan sebagai salah tool dalam pendidikan adalah salah. Namun, tidak semua kesalahan itu perlu dirotan. Mungkin dalam beberapa keadaan, mereka yang melakukan kesalahan itu itu perlu dijamu makan dan diberikan wang kerana kesalahan yang dilakukan itu sebenarnya bukan kerana mereka jahat tetapi untuk mendapatkan perhatian. Mereka kurang kasih sayang.  

2. Tidak melebihi 3 kali bagi hukuman rotan biasa, atau 10 kali bagi hukuman qisas. 

Rasulullah bersabda:
لا يجلد فوق عشر جلدات الا في حد من حدود

Hadith Abu Hurairah, Sabda Nabi: Tidak boleh merotan melebihi 10 kali melainkan pada hukum hudud (Riwayat al-Bukhari)

Menurut Umar Abdul Aziz: Guru-guru tidak boleh merotan melebihi 3 kali, kerana ianya boleh menimbulkan fobia dan kebimbangan kepada kanak-kanak.

Menurut al-Dohak: Apa-apa sahaja pukulan atau rotan yang melebihi 3 kali, maka ianya adalah qisas. 

Ulasan saya: Rotan bukanlah matlamat, tetapi ialah adalah wasilah bagi mencapai matlamat mendidik anak dengan akhlak yang mulia. Sekiranya ibu bapa masih melihat anak pada usia 7-12 tahun ada potensi menjadi liar (suka melawan, culas dll) sesuatu perlu dilakukan seperti menghantar kem yang panjang, mengubah suasana rumah, berpindah dll yang difikirkan sesuai. Merotan untuk menimbulkan ketakutan kepada anak-anak tetapi sekiranya rotan itu tidak berkesan, pendekatan lain perlu dilakukan. Sekiranya dirotan juga, dikhuatiri anak-anak hanya mendapat sakit (dirotan) tanpa ada sebarang pengajaran.

3. Rotan itu tidaklah terlalu keras, tidak pula terlalu lembut atau basah/lembab, sehinggalah boleh meninggalkan bekas dan kerosakan yang teruk pada kulit. 

Rasulullah bersabda:
عن زيد بن أسلم : أن رجلا أعترف بنفسه بالزنى على عهد رسول الله صلى الله عليه وسلم فدعا رسول الله صلى الله عليه وسلم بسوط فأتي بسوط مكسور فقال : (فوق ذلك) فأتي بسوط جديد لم تقطع ثمرته فقال : (بين هذين) فأتي بسوط قد لان وركب به فأمر به فجلد

Diriwayatkan oleh Zaid bin Aslam katanya, seorang lelaki telah mengaku berzina di zaman Rasulullah SAW maka Rasulullah meminta sebatang tongkat untuk disebat lelaki itu, apabila tongkat yang dikehendaki dikemukakan kepada baginda Rasulullah SAW. didapati tongkat itu pecah-pecah, lalu baginda minta tongkat yang lain, apabila tongkat yang kedua dibawa kepadanya didapati pula tongkat itu daripada dahan kayu yang baru dipotong, Rasulullah SAW menolaknya lagi dan meminta tongkat yang sangat sederhana yang tidak keras, Rasulullah SAW menerimanya dan memerintahkan supaya disebat dengannya. (al-Muwatta’)

Ulasan saya: Rotan bukan untuk menyakitkan anak, tetapi untuk memberi pengajaran dan mendsiplinkan mereka. Kalau lah rotan itu tidak boleh memberikan pengajaran lagi, (mungkin kerana sudah terlalu tegar), maka gunalah pendekatan yang lain yang dirasakan lebih berkesan. Rotan merupakan salah satu tool dan pendekatan sahaja. Tidak boleh kata "rotan bukan merupakan pendekatan di dalam Islam" dan tidak juga boleh kata "kalau tak rotan tak jadi apa". Pokoknya, sejauhmanakah ibu bapa berjaya mendsiplinkan anak. Di sinilah terletaknya kebijaksanaan ibu bapa dalam mendidik anak.

4. Cara merotan menurut Syeikh al-Faqih Shamsuddin al-Anbani:

i. Memukul di tempat yang berbeza, bukannya pada satu tempat di badan manusia sahaja. 
ii. Memanjangkan tempoh rotan pertama dengan yang seterusnya.
iii. Tidak mengangkat tangan sehingga boleh kelihatan ketiaknya. 

5. Tempat dibenarkan memukul: semua anggota badan kecuali kemaluan dan muka (tambahan al-Ahnaf: seluruh kepala)

Kata Ali ketika menjatuhkan hukuman had ke atas peminum arak: Sebatlah seluruh anggota badan tetapi elakkan muka dan alat kemaluan. 

Rasulullah bersabda:
عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه قال : (إذا ضرب أحدكم فليتق الوجه) رواه أبوداود.

Sabda Nabi: Sekiranya seseorang itu merotan, elakkan wajahnya (Riwayat Abu Daud)

Sebahagian ulama’ salaf mencadangkan agar dirotak di tapak tangan dan kaki. 

 
6. Berhenti seketika sekiranya yang sedang dirotan menyebut nama Allah. 

Rasulullah bersabda:
عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه قال : قال صلى الله عليه وسلم (إذا ضرب أحدكم خادمه فذكر الله فارفعوا أيديكم) رواه الترمذي

Daripada Abi Sa’id Al-Khudri, Sabda Nabi: Sekiranya kamu merotan (dengan sebab) akan pekerja kamu, kemudian dia menyebut kalimah Allah, maka tangguhkan dahulu. (Riwayat al-Tirmizi)

Ulasan saya: Membaca bismillah atau menyebut nama Allah KETIKA MEROTAN merupakan pendekatan yang baik kerana ia akan mengingatkan kita bahawa tindakan itu bukan berasaskan kepada emosi semata-mata atau geram/ marah dll. Tetapi tindakan itu diambil untuk mendisiplinkan anak-anak. Merotan biarlah dalam keadaan sedar diri dan faham kenapa rotan merupakan tindakan yang perlu diambil. Bukan sahaja ibu bapa, malahan anak-anak pun kena faham kenapa tindakan perlu diambil kepada mereka. Bukan terus merotan tanpa merasionalkan tindakan itu. 

 
Tulisan hitam: Rujukan/ terjemahan dari http://www.saaid.net/tarbiah/46.htm
Tulisan merah itu adalah ulasan saya. 

myfaisal 

Post a Comment

0 Comments