Friday, January 16, 2015

Khutbah: Kepentingan berdoa ketika ditimpa musibah

Teks penuh klik sini

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ. أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وحده، صدق وعده ونصر عبده وأعز جنده، وهزم الأحزاب وحده وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. أدى الأمانة وبلغ الرسالة ونصح الأمة وجاهد في الله جهاده
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْن. أَمَّا بَعْدُ ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Saya berpesan buat diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t. dengan beriltizam di atas jalan-Nya (agama-Nya) dan mengelakkan diri dari terpesong dari jalan yang lurus ini.

Allah telah berfirman:

الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

Maksudnya: "(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: 'Innalillahi Wainaailahi Rajiun' (Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali’)" (Al Baqarah: 156)

Sidang Jumaat sekalian,

Pada awal tahun baru masihi 2015, negara kita di Pantai Timur khasnya berhadapan dengan musibah yang sangat besar, yang tidak terjangkau oleh pemikiran kebanyakan daripada kita. Hampir seluruh Jajahan di negeri Kelantan telah ditenggelami banjir yang luar biasa, termasuklah di beberapa daerah di negeri Pahang, Trengganu, Perak dan Perlis. Kawasan kediaman musnah, beberapa tempat ditenggelami air sehingga lebih 30 meter, banyak rumah yang roboh, tidak kurang pula yang musnah dan dihanyutkan air, kenderaan pula banyak yang rosak, banyak binatang ternakan mati, tanaman habis musnah, dan berbagai lagi kerosakan dan kemusnahan yang berlaku. Ia bagaikan mini tsunami yang kita tidak terfikir bagaimana banjir sehebat ini boleh berlaku dalam negara kita. 

Khutbah pada hari ini membincangkan tentang persiapan rohani dalam berhadapan dengan musibah yang besar itu. Adakah kita berhadapan dengan hati yang penuh keimanan dan ketundukan kepada Allah? Atau adakah kita berhadapannya dengan hati yang penuh sangsi dengan sifat keadilan Allah? Mungkin ada lintasan datang dalam benak hati dan bisikan syaitan yang berbisik bahawa Allah telah menzaliminya dan tidak berbuat adil kepadanya.
Sidang Jumaat sekalian

Sesungguhnya antara hikmah kedatangan musibah yang sangat besar ini ialah untuk menundukkan keegoan manusia yang membesarkan dirinya setelah dia dapat mencapai kejayaan dalam kehidupan dan pencapaian kemajuan sains dan teknologi yang hebat, setelah dia mengecapi kekayaan yang melimpah ruah. Akhirnya, terdetik dihatinya bahawa dia boleh buat apa sahaja, dia mempunyai wang yang banyak, pangkat yang besar, segalanyanya dibawah kuasanya. Semua ini boleh membenihkan rasa besar diri, ego dan sombong untuk tunduk pada Allah, susah nak solat, berat nak puasa, rasa susah sangat untuk menghulurkan derma, tangannya berat untuk berdoa. Lebih dari itu, dia enggan mahu tunduk pada peraturan dan hukum hakam Allah. 

Namun, musibah ini mengajar kita bahawa manusia itu tidak kuat, tidak hebat dan tidak berupaya melawan kekuasaan Allah. Tidak siapa terfikir bandar Temerloh boleh tenggelam, Bandar Lama Gua Musang boleh tenggelam, bandar Kuala Krai boleh tenggelam, tetapi dengan kekuasaan Allah, semua telah berlaku di hadapan mata kita sendiri.

Musibah ini perlu dipandang secara positif untuk meruntuhkan kesombongan dan keegoan manusia, bahawa semua pencapaian dan kejayaan yang diperolehi itu adalah dengan kehendak dan kuasa Allah. Manusia perlu akur bahawa semua usaha dan perancangan manusia adalah sebab musabab sahaja kerana Allah lah yang menjayakan perancangan itu, Allah yang menjadikan kita kaya, Allah yang menjadikan kita pandai dan Allah menjadikan kita berjaya. Betapa ramai manusia yang turut berusaha dan memerah keringat, malahan lebih hebat dari kita, tetapi mereka kurang bernasib baik dan tidak berjaya seperti mana kita. Justeru, musibah ini patut menjadi ruang untuk muhasabah diri dan mengingatkan bahawa dirinya terlalu kerdil di hadapan Allah serta menyedari bahawa dunia ini hanyalah pinjaman semata-mata.

Sidang Jumaat sekalian

Berdoa merupakan salah satu cara bagi melahirkan rasa rendah diri, ketundukan, kepatuhan dan menaruh harapan kepada Allah. Ia boleh membuang sifat bongkak, sombong dan ego dengan perintah Allah. Orang yang sentiasa berdoa ialah orang yang sentiasa positif dengan Allah kerana dia berasa kejayaan dan pencapaian hebat yang dia perolehi itu bukan dengan kehendaknya, bukan dengan usahanya, bukan dengan kehebatan ideanya, bukan dengan kekuatan perancangannya, tetapi semua itu dengan kehendak dan kekuasaan Allah. Usahanya itu hanyalah penyebab kepada semua itu.  

Doa yang merupakan intipati kepada ibadat kerana tujuan ibadat ialah untuk melahirkan manusia yang sentiasa menaruh harap kepada Allah dan sentiasa mempunyai sifat tawakkal serta merendah diri dengan Allah. Inilah juga intipati dari pengertian “solat” pada sudut bahasa iaitu “doa”. Malah semua ibadat mengandungi doa. Dalam solat, puasa, zakat dan haji semuanya ada doa. 


الدعاء مخ العبادة
Maksudnya: Doa adalah otak kepada ibadat
Mungkin ada yang bertanya, kenapakah kita masih berdoa? Bukankah Allah maha mengetahui, Dia maha mendengar dan maha melihat. Sudah tentu Allah tahu bahawa kita susah, sakit, miskin, ditimpa musibah dan sebagainya. Kalau begitu, Allah terus sahaja membantu, tanpa kita perlu berdoa dan mengadu lagi kepadaNya.

Ini pandangan yang salah. Sebenarnya, kita berdoa kepada Allah bukan sebab kita miskin, atau sakit, atau susah, atau ketika ditimpa musibah. Bukan juga disebabkan Allah tidak tahu, sebaliknya Allah yang memberi semua ujian dan musibah itu. 

Sesungguhnya, tujuan kita berdoa ialah untuk menunjukkan perhambaan kita kepada Allah. Kalaulah doa itu sebab kita susah, maka orang kaya dan orang sihat tidak lagi perlu untuk berdoa. Sepatutnya, lagi orang itu mendapat kejayaan, mengecapai kekayaan, memperoleh kemenangan, pangkat dan kuasa, lagilah ia perlu lebih banyak menadah tangan berdoa kepada Allah. Berdoa bukan sekadar bermakna meminta dan memohon dari Allah, tetapi sebagai tanda syukur dan penghargaan kepada Allah. Allahlah yang memberikan kepadanya semua itu dengan kurniaan yang tidak terhingga.

Orang kaya, orang pandai, orang yang hebat, tetapi masih lagi boleh menadah tangan berdoa kepada Allah, itu tanda seseorang itu bersyukur, merendah diri, tidak sombong dan mampu menurunkan egonya. Sebaliknya, orang yang jarang berdoa, malah langsung tidak berdoa, kalau doa pun acuh tidak acuh sahaja, itu merupakan tanda bahawa hatinya keras, kasar, bongkak, sombong dengan Allah.

Sidang Jumaat sekalian

Realitinya, ramai di kalangan manusia yang hanya bersungguh-sungguh meminta atau berdoa kepada Allah, atau melakukan solat hajat berjemaah bila ada musibah, anak nak menghadapi peperiksaan, sakit, kena rasuk hantu dan sebagainya. Namun, apabila dalam keadaan senang, dia langsung melupakan Allah, melupakan rumahNya, melupakan tanggung jawab yang diperintahkah kepadaNya. Masjid dan surau bersebelahan rumahnya, langsung tidak dijenguknya. Inilah sifat manusia seperti yang disebutkan oleh Allah:


وَلَئِنْ أَذَقْنَا الْإِنْسَانَ مِنَّا رَحْمَةً ثُمَّ نَزَعْنَاهَا مِنْهُ إِنَّهُ لَيَئُوسٌ كَفُورٌ

وَلَئِنْ أَذَقْنَاهُ نَعْمَاءَ بَعْدَ ضَرَّاءَ مَسَّتْهُ لَيَقُولَنَّ ذَهَبَ السَّيِّئَاتُ عَنِّي ۚ إِنَّهُ لَفَرِحٌ فَخُورٌ

Maksudnya:
Dan demi sesungguhnya! Jika Kami rasakan manusia sesuatu pemberian rahmat dari Kami kemudian Kami tarik balik pemberian itu daripadanya, dia amat berputus asa, lagi amat tidak bersyukur. 
Dan demi sesungguhnya! Jika Kami memberinya pula kesenangan setelah ia menderita kesusahan, tentulah ia akan berkata: “Telah hilang lenyaplah dariku segala kesusahan yang menimpaku”. Sesungguhnya ia riang gembira, lagi bermegah-megah (kepada orang ramai). (Hud 7-8)

Sedangkan, untuk lebih cepat doa dimakbulkan, kita dituntut berdoa ketika senang. Apabila kita kenal Allah ketika kita senang, maka Allah akan kenal kita ketika kita susah. Rasulullah bersabda: 


مَنْ سَرَّهُ أَنْ يَسْتَجِيْبَ اللهُ لَهُ عِنْدَ الشَّدَائِد وَالْكُرَب فَلْيُكْثِرِ الدُّعَاء فِى الرَّخَاء
 
Maksudnya : “Barangsiapa yang ingin Allah menerima doanya pada masa kesusahan dan malapetaka hendaklah sentiasa berdoa semasa senang dan keadaan gembira.” ( Riwayat at-Tirmizi )

Masalahnya, ramai yang berfikir bahawa doa itu adalah permintaan dari Allah ketika susah sahaja, sedangkan dalam doa itu mengandungi pujian kepada Allah dan selawat kepada Rasulullah. Oleh sebab itu, lagi kita puji Allah, lagi doa itu baik kerana bila kita puji Allah dengan pujian yang tinggi, kita menggambarkan kekerdilan diri kita yang sangat tidak mempunyai apa apa nilai melainkan mengharapkan belas kasihan Allah. Lagi kita puji Allah, lagi kita gambarkan kekerdilan diri ini. Inilah antara tips doa yang baik. Justeru, semua itu akan berlaku jika kita memahami maksud doa yang kita ajukan kepada Allah.

Sidang Jumaat sekalian, 
 
Apa yang perlu kita mohon sewaktu ditimpa musibah?

Ummu Salamah r.ha berkata: "Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang ditimpa musibah, dan ia berkata: 

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُوْنَ، اَللَّهُمَّ أجُرْنِيْ فِيْ مُصِيْبَتِيْ وَأَخْلِفْ لِيْ خَيْرًا مِنْهَا

Maksudnya “Ya Allah, berikanlah pahala atas musibah yang menimpaku ini dan berikanlah ganti untukku yang lebih baik daripadanya”. 

Ganjarannya ialah Allah memberikan ganti yang lebih baik daripada musibah yang menimpanya.

Selain itu, kita memohon supaya Allah berikan kepada kita keampunan dan hidayah yang berterusan kepada kita. Walau apa pun posisi kita dan kedudukan kita di dalam masyarakat, tetapi biarlah kita berada di bawah bimbingan Allah swt. Biarlah kaya yang Allah redo, biarlah miskin yang Allah redo. Biarlah musibah yang diterima ini, kita meredoinya. Ini kerana orang yang Allah redo yang akan dipanggil untuk masuk ke syurganya. 
 
يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ ارْجِعِي إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَرْضِيَّةً فَادْخُلِي فِي عِبَادِي وَادْخُلِي جَنَّتِي

Maksudnya: Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada tuhanmu dalam keadaan redo dan diredoi. Masuklah di kalangan hambaKu dan masuklah ke dalam syurgaKu. Al-Fajr: 27-30.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.


Disediakan oleh
Dr. Muhamad Faisal Ashaari

No comments: