SAYA ISLAM, SAYA MENOLAK IDEOLOGI SELAIN ISLAM (Siri 3)

Apa erti Saya Meyakini Aqidah Islam (Siri 3)
SIKAP SAYA TERHADAP ALIRAN IDEOLOGI SELAIN ISLAM.

1. Apabila kita mengucap dua kalimah syahadah, ia bermakna meletakkan keseluruhan hidup dan mati kita ialah untuk mencari redo Allah, bukan redo manusia.(Doa Iftitah) “Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidup dan matiku; semuanya kerana Allah”. Biarlah kita susah, asalkan Allah redo. Apa gunanya kaya di dunia ini tetapi mati masuk neraka. Parameter inilah yang perlu digunakan untuk mengukur seluruh aktiviti kehidupan seorang Muslim. 


2. Kita menolak semua bentuk ideologi yang hanya meletakkan matlamat kebahagiaan hidup di dunia SAHAJA. 


2.1. Adakah aliran sosialisme mengajak beriman kepada Allah? TIDAK. Mereka memperjuangkan keadilan sosial, malah ada di kalangan mereka mengatakan agama adalah candu masyarakat. 
2.2. Adakah aliran feminisme mengajak beriman kepada Allah? TIDAK. Mereka memperjuangkan hak wanita yang telah ditindas mengikut fikiran mereka. 
2.3. Adakah aliran pluralisme mengajak beriman kepada Allah? TIDAK. Mereka mengajak menerima semua agama kerana semua agama membawa kepada kebenaran. 
2.4. Adakah aliran sekularisme mengajak beriman kepada Allah? TIDAK. Mereka hanya mementingkan perkara yang dilihat dengan mata kasar sahaja. 

3. Ke semua aliran pemikiran itu hanya memperjuangkan kebahagiaan menurut pemikiran mereka tanpa berlandaskan agama dan wahyu. Apa yang baik pada fikiran mereka, itu adalah perkara baik. Sebaliknya, apa yang buruk pada fikiran mereka, itu adalah perkara buruk. Di dalam Islam, apa yang Allah perintahkan kepada kita, itu adalah perkara yang baik, meskipun bertentangan (pada zahirnya) dengan akal manusia. Sebaliknya, apa yang Allah larang, ia adalah perkara tidak baik, meskipun bertentangan (pada zahirnya) dengan akal manusia.

4. Ideologi selain Islam memperjuangkan urusan keduniaan. Dunia atau dalam bahasa arab disebut DUNYA bermaksud “dekat” dan “di sini” yang merujuk kepada kehidupan sebelum mati. Manakala AKHIRAT membawa maksud “akhir” iaitu lambat, jauh, last sekali yang membawa maksud kehidupan selepas mati. 

5. Beriman dengan hari akhirat mengajar orang Islam mempunyai misi selepas mati di akhirat yang mempunyai ukuran dosa dan pahala. Ia bukan sekadar pengakuan tentang kewujudan alam akhirat dan kebangkitan semula (resurrection), tetapi berusaha mencari kebahagiaan pada hari berkenaan (syurga) dan menjauhi segala kecelakaan (neraka). Ke semua panduan di alam itu hanya dapat diperolehi menerusi wahyu. Itulah pentingnya agama di dalam kehidupan. 

6. Terdapat sedikit persamaan dari sudut matlamat antara Islam dengan ideologi yang lain seperti memperjuangkan keadilan. Namun, itu tidak bermakna Islam dan ideologi itu sama kerana itu adalah kebetulan sahaja. Begitu juga, itu tidak bermakna kita boleh menganut ideologi itu berdasarkan persamaan tersebut. Memanglah manusia dan beruk ada persamaan dari sudut makan pisang, tetapi kita tidak boleh mendakwa manusia itu sama je dengan beruk. Perjuangkan keadilan dari acuan Islam, kerana ia akan membawa manusia ke akhirat. 

SEBAGAI MUSLIM MEMPUNYAI MISI KEHIDUPAN SELEPAS MATI DI AKHIRAT. MANA-MANA IDEOLOGI YANG TIDAK MEMBAWA MISI INI DITOLAK. 

Dr. Muhamad Faisal 
UKM

Islam vs socialisme, sila lihat sini http://myfaisalonline.blogspot.com/2014/12/islam-tidak-comply-dengan-sosialisme.html

Post a Comment

0 Comments