Tuesday, November 8, 2016

Khutbah : HAK ASASI: KENAPA JUDI HARAM? SAYA TIDAK GANGGU ORANG LAIN

Sidang Jumaat sekalian,

Kita mungkin pernah mendengar cerita atau dialog antara seorang pendakwah dengan seorang kaki judi, apabila pendakwah itu menegurnya, dia pun menjawab “Apa salah saya, saya tidak kacau orang lain, saya juga tidak ambil duit orang, saya hanya bertaruh sahaja, kalau saya kalah saya redo. Itu hak saya. Kenapa pula haram?”


Begitu juga dengan kisah seorang pendakwah dengan seorang wanita, ketika pendakwah itu mengajaknya supaya memakai tudung dan menutup aurat dengan sempurna. Tiba-tiba, wanita tadi menjawab: “Allah tidak melihat kepada perkara zahir. Apa yang lebih penting adalah dalaman kita iaitu taqwa, pakaian itu hanyalah zahir sahaja.”

وَأَنَّ هَـٰذَا صِراطِى مُستَقِيمًا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُم عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٲلِكُم وَصَّىكُم بِهِۦ لَعَلّكم تَتَّقُونَ

Maksudnya: Dan Bahawa Sesungguhnya Inilah jalanKu (Agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan Yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa. Surah al-An’am: 153. 

Sidang Jumaat sekalian,

Itu adalah sebahagian daripada dialog yang menggambarkan salah satu bentuk pemikiran yang ada pada hari ini yang dinamakan dengan pemikiran liberal yang berasaskan kepada hak asasi. Ia merupakan pemikiran yang membahayakan akidah Islam kerana ia berasaskan kepada rasional dan lojik semata-mata, yang mementingkan keinginan atas nama hak asasi manusia lebih daripada tuntutan agama.

Manusia seringkali keliru dan gagal membezakan antara hak asasi dan keinginan. Apa yang mereka anggap sebagai hak asasi, tetapi sebenarnya bukan. Ia merupakan keinginan hawa nafsu sahaja yang sememangnya tidak terbatas.

Manusia menyangka bahawa :
- berjudi itu adalah hak asasi mereka untuk berhibur 
- minum arak itu adalah hak asasi mereka untuk ketenangan
- berzina itu adalah hak asasi mereka untuk kepuasan 
- menukar jantina itu adalah hak asasi mereka untuk rasa jati diri
- membuka aurat itu adalah hak asasi mereka untuk berhias 

Apakah benar semua itu hak asasi? atau itu hanyalah keinginan manusia?

Kalau ingin diikutkan semua keinginan manusia, harta yang bernilai segunung emas pun tidak akan cukup untuk memenuhi semua keinginan manusia. Oleh sebab itu, untuk membezakan hak asasi dan keinginan manusia, panduan wahyu diperlukan kerana ketetapan wahyu ketuhanan itu bersifat universal. 

Sidang Jumaat sekalian,

Islam merupakan agama yang meletakkan peraturan dan panduan yang bertujuan untuk mengatur kehidupan manusia. Semua peraturan itu secara tidak langsung telah menjaga agama, nyawa, akal, harta, keturunan dan maruah yang semua itu merupakan tujuan perundangan Islam (Maqasid Syariah).

Islam telah menetapkan peraturan yang merupakan hak/tanggungjawab sebagai lelaki dan wanita, sebagai suami dan isteri, sebagai rakyat dan pemimpin, sebagai ibu bapa dan anak, dan lebih penting dari itu sebagai seorang hamba Allah. Oleh kerana semua perkara itu telah pun disebut di dalam perundangan Islam maka tidak timbul lagi hak asasi di dalam Islam melainkan apabila melibatkan pengabaian hak dan tanggungjawab itu. Ketika itu, Islam menyediakan ruang pengaduan dan mahkamah untuk menyelesaikan masalah itu seperti wanita yang ditinggalkan oleh suaminya. 

Hakikatnya, Islam menyediakan suatu peraturan yang cukup baik kepada manusia untuk mereka mengenalpasti hak asasi yang sebenarnya kepada manusia dan memberikan kebebasan yang tidak mutlak kepada manusia untuk melempiaskan semua keinginan. Konsep yang bersifat TOP DOWN ini cukup baik lantaran kekeliruan manusia untuk membezakan antara hak asasi dan keinginan. Kalau diberikan sepenuhnya kepada manusia bagi menentukan semua itu, manusia akan terus berada di dalam kegelapan kerana manusia biasanya akan mementingkan dirinya sendiri berbanding dengan orang lain. 

Di barat pula, oleh kerana mereka tidak mempunyai sebarang panduan daripada wahyu, mereka memerlukan kepada akal dan rasional bagi menentukan hak asas itu. Mereka terpaksa memerah otak dan bertanya kepada semua golongan dan kelompok manusia tentang hak asasi yang mereka rasakan. Mereka terpaksa bertanya kepada golongan rakyat marhain dan sang penguasa, kumpulan pekerja dan pihak pemodal, suami dan isteri, lelaki dan perempuan tentang hak asasi mereka sendiri yang mereka fikirkan. Mereka terpaksa bertanya sedemikian dan terdapat pula pihak yang memperjuangkan hak asasi itu kerana tidak panduan wahyu daripada tuhan. Oleh kerana semua mereka adalah manusia dan tiada siapa di kalangan mereka yang mempunyai kelebihan untuk menyalahkan dan membenarkan orang lain. Semua pandangan mereka adalah sama. Untuk itu, mereka memerlukan kepada demokrasi bebas untuk menentukan mana satukah hak asasi yang diiktiraf. 

Sebenarnya, golongan yang berfahaman liberal berteraskan kepada hak asasi tidak mahu sebarang peraturan dan undang-undang yang berasaskan kepada agama, kerana agama bagi mereka hanyalah dogma semata-mata. Mereka tidak boleh menerima alasan pemisahan percampuran bebas antara lelaki dan perempuan disebabkan dosa dan larangan Allah. Sebaliknya, mereka boleh terima alasan pemisahan antara lelaki dan perempuan disebabkan gangguan seksual. 

Allah berfirman:
وَمَا كَانَ لِمُؤمِنٍ وَلَا مُؤمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُ ۥ أَمرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلخِيَرَةُ مِن أَمرِهِمۗ وَمَن يَعصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُ ۥ فَقَد ضَلَّ ضَلَـٰلاً مُّبِينًا

Yang Bermaksud: Tidak wajar bagi orang yang beriman, apabila Allah memutuskan suatu perkara, mereka boleh memilih untuk tidak menerimanya. Sesiapa yang mengingkari Allah dan Rasulnya, ia tergolong dalam orang yang sesat yang nyata. Al-Ahzab: 36.

Sebagai seorang Muslim, setiap tindak tanduk dan gerak geri kita tidak terlepas dari hukum Islam yang lima iaitu wajib, haram, sunat, makruh dan harus. Dengan ini, setiap tindakan kita terikat dengan peraturan yang Allah perintahkan kepada kita. Itulah tanda penyerahan diri yang penting bagi seorang Muslim sebagai mana yang kita ungkapkan ketika kita mengucap dua kalimah syahadah yang membawa maksud pengakuan untuk tunduk dan patuh pada perintah Allah.

Sidang Jumaat sekalian,

Dalam meneliti kecelaruan manusia untuk mengenali antara hak dan nafsu keinginan, mereka memerlukan bimbingan dan panduan dari Allah. Manusia tidak mampu untuk membezakan antara keduanya kerana manusia sering mementingkan dirinya sendiri berbanding orang lain. Oleh kerana Allah merupakan pencipta manusia, Dia mengetahui nature kejadian manusia, Dia juga tahu meletakkan dengan sempurna antara hak dan keinginan manusia.

Cukuplah kita mengambil pengajaran dari kisah Iblis yang diabadikan di dalam al-Quran apabila Allah memerintahkannya sujud pada Adam. Iblis telah membangkang perintah ini kerana baginya tidak lojik kejadian yang hebat diperintahkan untuk sujud kepada adam yang lebih lemah ciptaannya. Dia gagal untuk membezakan antara hak dan kemahuan serta keegoannya, akhirnya ia tergolong di kalangan orang yang kafir. Firman Allah:

وَإِذ قُلنَا لِلمَلَـِٰٕكَةِ ٱسجُدُواْ لِأَدَمَ فَسَجَدُواْ إِلَّا إِبلِيسَ أَبَىٰ وَٱستَكبَرَ وَكَانَ مِنَ ٱلكَـٰفِرِينَ

Yang bermaksud: Ingatlah ketika Allah memerintahkan malaikat agar sujud hormat kepada Adam. Mereka semua sujud melainkan Iblis. Ia engkar dan membesar diri. Ia tergolong dalam golongan yang kafir. Al-Baqarah: 34.

Sidang Jumaat sekalian

Pemikiran Liberal merupakan pemikiran yang mendapat tempat di kalangan masyarakat zaman moden kerana ia bergerak di atas landasan yang lojik dan rasional. Ia umpama madu beracun yang mungkin sahaja menawan mereka yang tidak sentiasa mendekati pembelajaran al-Quran dan hadis serta menjauhi majlis ilmu.

Justeru, marilah kita sama-sama berwaspada terhadap pemikiran Islam liberal ini. Antara ciri-ciri fahaman ini adalah:

1.       Berpegang pada kepercayaan bahawa kebenaran tidak bersifat mutlak. Tiada siapa yang betul dan yang salah. Justeru, semua pandangan semua agama boleh diterima kerana ia bergantung kepada penilaian individu.

2.       Merasa mempunyai kebebasan dalam mentafsirkan ajaran agama, walaupun tidak memiliki kelayakan asas dalam bidang agama.

3.       Selalu mengkritik tafsiran ulama dengan dakwaan ia tidak sesuai dengan kemodenan.

4.       Menuntut keterbukaan ijtihad termasuk dalam bidang akidah, ibadah dan perkara yang telah disepakati ulama (ijmak).

5.       Menafikan hak agama dalam mengawal moral penganutnya.

6.       Menganggap perkara agama sebagai hak individu, tidak boleh dijadikan nilai yang dipaksa dalam pentadbiran atau undang-undang.

7.       Mempromosikan emansipasi atau kebebasan wanita dan persamaan hak dengan kaum lelaki.

قُل هَـٰذِهِۦ سَبِيلِى أَدعُواْ إِلَى ٱللَّهِ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ ٱتَّبَعَنِى وَسُبحَـٰنَ ٱللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ ٱلمُشرِكِينَ

Maksudnya: “Katakanlah (Wahai Muhammad): "Inilah jalanku, Aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru semua manusia kepada agama Allah berdasarkan kpada keterangan dan bukti yang nyata. Aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan Aku bukan dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.” Surah Yusuf: 108.

بارك الله لي ولكم بالقرآن العظيم، ونفعني وإياكم بما فيه من الآيات والذكر الحكيم، وتقبل مني ومنكم تلاوته، إنه هو السميع العليم. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ. فَاسْتَغْفِرُوْهُ. إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.

No comments: