PETAKA BILA HANYA GUNA MAQASID UNTUK MEMAHAMI ISLAMIC LAWS

ISLAMIC LAWS *(Mementingkan Teks, kemudian Maqasid)*
CONVENTIONAL LAWS *(Mementingkan Masalah dan Maqasid)*

Dalam mengeluarkan hukum atau undang-undang Islam, memahami teks nas Quran dan Hadis amat penting. *Teks nas perlu difahami dengan baik dari sudut bahasa, konteks dan aplikasi, kemudian dilihat dari perspektif matlamatnya (maqasid). Ia berbeza dengan undang-undang biasa, kerana matlamat dan tujuan itu pula sangat penting*.

Perbezaan metode dalam menanggapi dua bentuk undang-undang ini boleh menyebabkan pertembungan dalam kalangan pendokong kedua-dua dsiplin ini kalau tidak dicermati dengan baik. 


Undang-undang Islam menggunakan metode induktif kerana ia cuba memahami nas dan meneliti maksud yang terkandung di dalamnya. Dari situ, barulah dikeluarkan hukum sama ada wajib, haram, sunat, makruh dan harus. Islam sangat mementingkan nas Quran dan hadis kerana keyakinan bahawa nas telah mencakupi seluruh aspek kehidupan. Maqasid dan hikmah dari perundangan itu, kadang kala belum dapat dicapai kerana belum dibuat. Bagaimana boleh berasa kenyang, kalau dah makan pun belum. 



Manakala dalam undang-undang konvensional, penggubalan perlu berasaskan kepada masalah dan tujuan bagi mengawal dan memandu manusia. Sebagai contoh, oleh kerana banyak kemalangan berlaku, maka undang-undang digubal bagi menghadkan kelajuan kenderaan. Begitu juga, sekiranya kejadian mencuri berleluasa, undang-undang yang sedia ada tidak dapat mengawal, maka diketatkan lagi undang-undang kecurian itu. Dengan ini, penggubalan undang-undang konvensional akan melihat kepada permasalahan yang berlaku dalam masyarakat yang memerlukan kepada panduan dan kawalan.

Oleh itu, orang yang berada dalam pengajian undang-undang Islam memerlukan kepada akidah yang kuat tentang kelebihan nas al-Quran dan Hadis yang meliputi seluruh kehidupan manusia. Sekiranya dilaksanakan seluruh tuntutan nas, ia akan membawa kebahagiaan kepada manusia. Justeru, segala tuntutan nas perlu dilaksanakan semampu mungkin biarpun nampak pada zahirnya ia nampak bertentangan dengan akal manusia. Jika berlaku juga masalah pertembungan dengan akal manusia, mungkin di sana hanyalah salah faham sahaja.

Antara contoh salah faham itu ialah pelaksanaan hukum hudud membawa kepada kezaliman kepada masyarakat berbilang kaum. Begitu juga, pandangan yang melihat keindahan Islam dengan memotong tangan, rejam dll sebagai pemikiran lapuk.

Mungkin mereka sengaja tidak mahu faham bahawa pelaksanaan hudud dilaksanakan kepada kesalahan yang bersifat prima facie dan orang yang melaksanakan jenayah itu memang sangat jahat. Manakan tidak, dengan syarat yang begitu ketat pun, masih boleh disabitkan dengan hukum hudud.

Janganlah pula menjadi songsang dalam mempelajari undang-undang Islam iaitu dengan mempelajari matlamat tetapi teks nas quran dan hadis tidak habis belajar. Akhirnya boleh membawa kepada liberalisme.

Sebagai contoh, untuk membuat hukum percukaian di dalam Islam, kita perlu mendalami semua nas yang berkaitan dengan percukaian. Kemudian barulah kita memahami tujuan disebalik nas itu. Dengan itu, maqasid itu dinamakan maqasid syarak. Sebaliknya, sekiranya tidak tahu nas, tiba-tiba memandai menggubalkan hukum cukai dan mendakwa ia adalah hukum cukai yang Islamik yang berdasarkan kepada prinsip umum iaitu tidak menindas dll, ini merupakan metode yang salah. Maqasid yang dikeluarkan itu, ialah maqasid akal iaitu diambil dari akalnya, bukan dari syara’.

Menggunakan tujuan dan matlamat (maqasid) untuk mempelajari undang-undang Islam adalah pendekatan yang dilakukan oleh barat untuk mengkaji Islam. Ketika menjadi pembantu penyelidik di UKM 13 tahun dahulu, saya seringkali melihat kumpulan Sister in Islam selalu memegang buku Maqasid Imam Syatibi dalam bahasa Inggeris. Rupanya mereka ingin belajar Islam menerusi metode yang salah sehingga akhirnya semua perkara ingin sesuai dengan lojik akal manusia biarpun bertentangan dengan nak yang jelas.

Kepada yang mendalami bidang undang-undang dan yang berada dalam Fakulti Undang-undang harus melihat dan mencermati perbezaan pendekatan ini kerana Islamic laws ada kelainan dalam pendekatannya. Kepada yang mendalami Islamic Laws, cuba fahami teks nas dengan baik dan lihat kaitan nas dengan nas yang lain, serta fahamilah juga matlamat nas.

Ringkasnya, setiap sesuatu itu ada dsiplin yang perlu dipelajari secara teliti. Melanggar dsiplin ilmu berkenaan dikhuaitiri akan membawa punah lebih banyak dari kebaikannya. *Memahami Undang-undang Islam mestilah dalam kerangka ilmu tauhid, barulah dapat memahami hikmah di sebalik hukum tuhan*.


Dr. Muhamad Faisal

Post a Comment

0 Comments