Tuesday, March 14, 2017

*ARAB JAHILIYYAH BUKAN BODOH TETAPI BERPEGANG DENGAN NILAI YANG SONGSANG*

Arab disifatkan dengan Jahiliyyah bukan bererti mereka bodoh sebagaimana yang difahami dari asal makna perkataan "Jahala" yang bermaksud bodoh. Malahan Mekah merupakan tempat tumpuan ibadat dan perdagangan kerana ia terletak di titik pertengahan antara Syam dan Yaman yang menjadikannya tempat tumpuan dan pertemuan. Kelebihan ini dikuatkan lagi dengan kewujudan Kaabah dan air zamzam. 

Sebenarnya ia adalah hasil dari doa Nabi Ibrahim AS yang meminta agar Mekkah dijadikan sebagai tempat tumpuan biarpun pada ketika itu Mekah adalah tempat yang kering kontang.  Sekaligus ia merupakan perancangan Allah untuk menjadikan Mekah bukan sekadar tempat tumpuan orang pada masa itu, tetapi ia juga sebagai pusat bumi. 

Orang Arab bukanlah terlalu “bodoh dan bengap” yang digambarkan dengan asal perkataan dengan jahiliyyah membawa maksud bodoh. Mereka mempunyai ilmu pengetahuan berkaitan teknik dan kemahiran yg membolehkan mereka menguruskan haji dan kaabah dengan baik. Begitu juga, mereka mempunyai ilmu pengetahuan yang membolehkan mereka mengurus kehidupan mereka dengan baik seperti Ilmu falaq, ilmu berburu dan ilmu syair. Mereka mempunyai tempat karnival yang dinamakan dengan Suq Ukaz, antara lain ialah pertandingan syair. 

Wujudkah Melayu Jahiliyyah?

Arab disifatkan sebagai Jahiliyyah kerana berpegang dengan nilai yang bercanggah dengan nilai manusia yang normal dan nilai Islam. Antaranya ialah:


-> Mereka suka pergi kepada bomoh apabila sakit dan ada masalah yang membaca mentera dan jampi
-> Mereka mempunyai tukang tilik yang dinamakan dengan “'arraf” iaitu yang boleh menentukan orang itu sama ada melakukan kesalahan atau sebaliknya 
-> Mereka juga berjudi. Antaranya dengan cara memanah unta. Sesiapa yang panahnya yang tersasar, akan membayar harga unta itu. 
-> Mereka juga meminum arak dan menjadikannya sebagai barang dagangan yang diambil dari bumi Syam. Bumi ini subur dengan anggur dan tanaman lain, Arak yang dibuat dari buah-buahan dan bijirin ini dijual kepada orang di sebelah Yaman. 
-> Mereka bebas melakukan berzina.
-> Untuk melahirkan anak yang cerdik, mereka suruh isteri mereka berzina dengan lelaki yang hebat sehingga mengandung, Kemudian, isteri itu kembali kepada pangkuan suaminya. 
-> Sekiranya sekumpulan lelaki berzina dengan perempuan. Apabila ia melahirkan anak, perempuan itu boleh memilih seorang bapa bagi anak itu seorang dari kumpulan lelaki itu. 
-> Mereka mengamalkan riba
-> Mereka membunuh anak perempuan - antara sebabnya ialah kerana tidak membantu mereka berperang. 
-> Sebahagian mereka juga tawaf bertelanjang kerana pakaian itu mempunyai dosa. 
-> Mereka menyembah Allah, tetapi menjadikan berhala sebagai sekutu

Rasulullah lahir dalam kelompok masyarakat yang songsang. Namun, baginda dapat mengubah masyarakat berkenaan dalam masa yang ringkas sehingga baginda dinobatkan sebagai orang yang paling berpengaruh di muka bumi. 

Bagaimana pula dengan kita? Ramaikah kita berpegang dengan nilai yang songsang? 

WUJUDKAH MELAYU JAHILIYYAH?

-> Ramai yang masih percaya dengan bomoh 
-> Ramai orang Islam yang masih berjudi. 
-> Berpeleseran lalaki perempuan dan berpacaran bagaikan sinonim dalam budaya Melayu 
-> Gejala buang bayi banyak. Mengandung sebelum nikah pun ramai. 
-> Perceraian meningkat. Sepatutnya budaya berpacaran sebelum kahwin lebih menjadikan mereka lebih saling memahami, tetapi perceraian pula yang berlaku. 
-> Ramai yang tidak percaya kehebatan hukum Islam walaupun dia orang Islam.


Masyarakat Arab digelar Jahiliyyah kerana berpegang dengan nilai yang songsang, jangan pula nilai songsang itu kita pula yang amalkan. 

Dr. Muhamad Faisal
Madinah al-Munawwarah

No comments: