20 RAMADAN: BERAMALLAH SEHINGGA MENCAPAI TAHAP IKHLAS, BUKAN MENUNGGU IKHLAS BARU BERAMAL

Ikhlas adalah aspek dalaman manusia yang dikaitkan sebagai sebab akhir kenapa kita melakukan sesuatu perkara iaitu melakukan amalan hanya kerana Allah. Amalan dilakukan bukan kerana kepentingan tertentu tetapi untuk Allah. Oleh sebab itu, apabila kita ikhlas, kita terus melakukan amalan sama ada ketika keseorangan atau ketika ramai, ketika dipuji atau tidak. 


Kita tidak menanti iklhas baru beramal, tetapi kita perlu beramal hingga mencapai tahap ikhlas. Kita mungkin rajin melakukan solat sunat ketika di masjid, tetapi apabila di rumah tidak melakukan solat sunat  malahan doa pun tiada. Ketika Ramadan, kita rajin baca Quran tetapi sebelum Ramadan, kita tidak sentuh pun Quran. Tidak mengapa kerana mungkin sesuatu amalan itu dikerjakan ketika kita belum lagi sepenuhnya kepada Allah. 

Ini mungkin ada tanda tidak ikhlas dalam beramal, namun ia adalah proses yang perlu kita lalui untuk mencapai tahap ikhlas. Menanti ikhlas baru beramal, mungkin hanya kita sedekah 50 sen sahaja kerana jumlah sedekah itu yang ikhlas. Atau hanya solat tarawih 2 rakaat sahaja, kerana kalau lebih tidak ikhlas pula. Ini silap, kerana kita perlu beramal hingga mencapai tahap ikhlas. 

Proses kerohanian bagi mencapai tahap ikhlas mengambil masa yang lama. Sesuatu amalan itu dilakukan secara istiqamah bertahun-tahun barulah ia menjadi sebati dalam hidup. Akhirnya, sesuatu amalan itu dilakukan sama ada di hadapan orang atau pun ketika keseorangan.  

Ikhlas bukan suatu perkara yang mudah seperti disangka. Ia selalu diserang hendap oleh nafsu manusia yang ingin dipuji, dipandang hebat dan dimuliakan yang secara tidak sedar kita tertipu dengan amalan yang dilakukan. Justeru, niat bukan sekadar menyebutnya di awal melakukan amalan, tetapi ia perlu sentiasa hadir di dalam hati bahawa amalan itu dilakukan “kerana Allah”, bukan kerana makhluk yang lain. Ia mengambil masa yang panjang sehingga amalan kita menjadi sebati dengan diri kita. 

Istiqamahlah dalam beramal. Setakat 20-30 hari belum cukup lagi untuk menjamin kita terus kekal. Namun, kita perlu terus bertahan, bukan sekadar akhir Ramadan, tetapi untuk selepas Ramadan. 

Dr. Muhamad Faisal

Post a Comment

0 Comments