Friday, September 22, 2017

ASAS HIJRAH IALAH MEMPERKUKUHKAN KEIMANAN - BUKAN BERUBAH DARI MISKIN KEPADA KAYA.

Nota Hijrah 1 

Sejarah menunjukkan bahawa Nabi berhijrah asas dasar untuk mempertahankan keimanan dan mengembangkan Islam. Agama yang dibawa oleh Rasulullah bukan sekadar tidak diterima oleh masyarakat Arab Jahiliyyah, malahan mereka ingin menghalau dan membunuh baginda. Kemuncak dari penentangan itu, Allah memerintahkan baginda dan orang Islam yang berkemampuan agar berhijrah ke Madinah. Kalau mereka terus berada di Mekah, orang Islam akan disiksa atau dimusuhi. Perlu ada jalan keluar kepada masalah ini iaitu hijrah.


Hijrah adalah kerja besar kerana terpaksa berpindah meninggalkan kampung halaman. Bukan suatu yang mudah kerana terpaksa memulakan hidup baharu dan meningglkan sebahagian besar harta yang tidak boleh diangkut atas kenderaan. Hijrah adalah perintah Allah demi menyelamatkan agama. Sepanjang 13 tahun baginda di Mekah, hanya sekitar 200 orang sahaja yang beriman. Mungkin itu sudah maksimum yang boleh menerima dakwah Islam. 

Hijrah adalah persoalan menjaga akidah. Ia bukan semudah berubah dari miskin kepada kaya atau berubah untuk meningkatkan perniagaan atau perjuangan meningkatkan status sosial. 

Suhaib Al-Rumi RA bertukar daripada kaya kepada miskin sewaktu berhijrah. Beliau ditahan oleh Qurasyh ketika berhijrah dan mereka bersetuju melepaskannya apabila beliau memberikan semua hartanya kepada mereka. 

Mus’ab bin Umair RA – seorang lelaki bangsawan yang terkenal dengan kemewahan, tetapi bertukar menjadi mujahid yang serba sederhana. Beliau mati syahid dalam Perang Uhud dalam keadaan tidak cukup kain kafan untuk menutup keseluruhan jenazahnya. 

Betapa ramai pembesar Quraisy yang memeluk Islam dan mereka rela membuang status sosialnya apabila mereka boleh makan minum, tidur baring dan hidup bersaudara dengan golongan bawahan yang dulunya adalah kaum pendatang dan hamba abdi. 

Kini, (selepas ditawan semula Kota Mekah), hijrah dalam erti berpindah tempat tidak diwajibkan lagi, tetapi orang Islam diwajibkan berjihad. Rasulullah bersabda: Selepas pembukaan Kota Mekah, tidak diwajibkan lagi berhijrah (berpindah). Tetapi kamu hendaklah berjihad dan niat jihad. 

Hijrah memang bererti perpindahan, tetapi bukan semua perpindahan boleh disifatkan sebagai hijrah. Perpindahan atau perubahan yang berteraskan kepada menjaga iman dan Islam sahaja layak dinamakan hijrah. Rasulullah bersabda: Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa yang Allah larang. 

Dr. Muhamad Faisal


No comments: