KERJA ADALAH TUGAS, JIHAD ADALAH TANGGUNGJAWAB

Tugas adalah bebanan kerja yang ditetapkan atau dipikul oleh seseorang dan diberikan upah di atas nya. Kerja itu diberikan dengan mendapat bayaran gaji atau imbuhan atau keuntungan duniawi.Contohnya, kerjaya sebagai guru, petani, pegawai dan kerani. Mereka dibayar gaji atau mendapat keuntungan hasil dari kerja yang dilakukan. 

Manakala tanggung jawab ialah bebanan yang dilaksanakan oleh seseorang hasil dari kesedaran dan rasa kewajipan terhadapnya. Matlamatnya pulangan akhirat.Contohnya ialah berdakwah, menjadi imam, menegur orang yang buat salah, membuang sampah tepi jalan, membimbing anak muda solat, mengajar dan menulis Facebook dakwah.

Melaksanakan tanggung jawab ini berat kerana dalam banyak keadaan ia dilakukan tanpa sebarang imbuhan atau tanpa imbuhan yang sepadan. Malahan ia mungkin kemarahan dan kebencian manusia. 







Ada orang yang melaksanakan sesuatu kerja tetapi hanya kerana ia merupakan tugas sahaja. Kalau tidak ditugaskan, dia tidak akan buat. Namun, ada orang yang melaksanakan tugas melebihi imbuhan yang diberikan kerana ikhlas untuk menjaga agama, bangsa dan negara. Itu adalah jihad iaitu rasa kesungguhan yang terhasil dari rasa tanggung jawabnya kepada Allah. 

Dalam masa yang sama, ada juga orang yang melaksanakan tanggungjawab ini dengan bersungguh, tetapi matlamat utamanya hanyalah untuk kenaikan pangkat atau untuk mendapat pujian manusia. Wallahu a'lam, urusan ini diserahkan kepada Allah kerana ikhlas bukan urusan manusia. 

Dari sudut majikan pula, majikan bagi tugas ialah manusia. Manakala seorang (sukarelawan) majikannya adalah Allah kerana melaksanakan sesuatu tanggungjawab hanya mengharapkan balasan dari Allah. 

Hijrah kita ialah berhijrah dari menganggap tugasan itu hanyalah sebagai tugasan sahaja, tetapi menganggap tugasan itu sebagai tanggungjawab yang kita bekerja untuknya bukan semata-mata kerana gaji atau upah. Kita kerja beyond gaji atau upah yang diberikan. 

Sebagai contoh, tugas yang hakiki bagi seorang guru math dan english ialah memastikan murid-murid lulus dengan cemerlang dalam dua subjek ini. Namun, sebagai seorang guru yang bertanggung jawab bukan sekadar itu, dia juga perlu mmemastikan murid-murid mempunyai akhlak mulia termasuklah memperingatkan mereka tentang solat. Sebenarnya, Guru itu juga memang komited tentang ibadah solat di sekolah, di rumah dan di tempat-tempat lain. 

Begitu juga, tugas hakiki seorang pegawai agama ialah menguruskan hal ehwal Islam untuk memenuhi KPI tertentu. Namun, seorang yang ada ijazah dalam bidang agama bukan sekadar bekerja mencapai KPI berkenaan. Sebenarnya, dia boleh melipatgandakan usaha berkenaan termasuklah terlibat juga dengan aktiviti agama di kawasan kediamannya. 

Sesungguhnya jihad itu untuk Islam.

Post a Comment

0 Comments