MEMPERAKUI KEWUJUDAN ALLAH MENERUSI PEMBUKTIAN, BUKAN MENERUSI PENGLIHATAN

Al-Quran merupakan kitab yang dipenuhi dengan bukti yang menjelaskan tentang kewujudannya. Allah menyebutkan bahawa orang yg berakal boleh menerima bukti berkenaan kerana mereka menggunakan cara berfikir yang betul. Mereka memadai dengan melihat bukti untuk memperakui kewujudan Allah.

Menggunakan metode penglihatan “lihat dahulu sebelum percaya” merupakan metode yang salah kerana realiti dalam kehiupan manusia akan memperakui kewujudan sesuatu perkara biarpun tanpa melihatnya. 

Contoh: 
1- Apabila ada kesan tapak kaki yang basah di atas lantai, kita yakin bahawa ada orang yang melangkah di situ walaupn tidak melihatnya. 

2- Apabila ada bunyi ketukan, kita yakin bahawa di situ ada yang mengetuk

3- Kewujudan letrik dibuktikan dengan lampu yang menyala yang bersambung dengan wayar yang telah dipasang suis. Apabila lampu menyala, ia menandakan letrik ada. 

TIDAK DAPAT DILIHAT BUKAN BERMAKNA TIADA

Contoh - Kegelapan malam bukan menafikan kewujudan benda yg di dalamnya. Bolehkah kita menafikan kewujudan sebuah batu besar di hadapan kita hanya kerana kita tidak melihatnya pada waktu malam yang gelap. Tidak dapat dilihat bukan bermakna tiada.

Dalam masa yang sama, seekor kelawar dapat melihat batu itu biarpun pada malam yang gelap gelita. Keistimewaan mata kelawar ialah boleh melihat pada waktu malam yang gelap, tetapi tidak dapat melihat pula pada waktu siang biar pun terang benderang. 

Justeru, pembuktian merupakan metode yang digunakan dalam memperakui kewujudan Allah. Oleh sebab itu, dinamakan dengan ayat kerana ayat bermaksud “tanda” dan “bukti”.

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِأُولِي الْأَلْبَابِ
Maksudnya: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. 190: Ali Imran

Kewujudan tuhan dibuktikan dengan kewujudan makhluk kerana kewujudan setiap sesuatu makhluk itu mestilah dengan pencipta. Tidak semestinya dilihat, tetapi dibuktikan sahaja sudah mencukupi. Kewujudan tuhan perlu diyakini biarpun kita tidak melihatnya. Tuhan itu adalah Allah.


REALITI KEHIDUPAN MEMPERAKUI KEWUJUDAN BIARPUN TIDAK MELIHATNYA



Kita mempercayai penjelasan doktor tentang kewujudan sistem saraf dalam badan atau pun penyakit yang terkena pada badan biar pun kita tidak melihatnya.

Kita mempercayai cakap seorang kawan yang telah pergi ke Mekah tentang kewujudan Kaabah biarpun kita tidak melihatnya.

Banyak lagi benda yang kita percaya dari perkhabaran yang dipercayai kesahihannya biarpun kita tidak melihatnya. Ia adalah realiti kehidupan.

TIDAK DAPAT MENGUJI SECARA SAINTIFIK

Ada yang mungkin tidak percaya mungkin hanya kerana tidak memahami secara saintifik proses kejadian sesuatu perkara. Ada perkara yang dapat dijelaskan secara sains dan ada pula dijelaskan secara falsafah sains. Sains ialah perkara yang boleh nampak dan boleh diuji secara pembuktian secara fizikal. Contohnya teori graviti yang boleh dibuktikan secara fizikal.

Manakala, falsafah sains adalah kepercayaan berdasarkan bukan secara bukti fizikal. Kepercayaan ini mesti berdasarkan kepada sistem kepercayaan tertentu. Contohnya, teori graviti menjelaskan kewujudan sistem tarikan ke pusat bumi. Falsafah sains menjelaskan kenapa boleh ada tarikan itu? Jawapannya ia adalah kuasa Allah.

Sains dan falsafah sains saling memerlukan. Sains menerangkan aspek fizikal manakala falsafah sains menerangkan aspek non-fizikal atau perkara ghaib.

Al-Quran memandu hala tuju falsafah sains agar kita membuat kesimpulan yang betul. Perkara ghaib perlu dipandu oleh wahyu kerana akal manusia tidak dapat memahami sepenuhnya hakikatnya.

Post a Comment

0 Comments