Siri 3/50: APAKAH BENAR ALASAN GENG LIBERAL “SAYA MENUNTUT HAK” DAN “TIDAK GANGGU ORANG LAIN”?

Keraguan: “Saya menuntut hak saya, saya tak ganggu orang lain”. Itu adalah ungkapan yang selalu diucapkan oleh sesetengah orang apabila ditegur melakukan sesuatu yang menyalahi perintah Allah. Penjelasan: Mungkin ada yang berhujah khususnya golongan liberal bahawa sesuatu tindakan itu salah kalau “menganggu orang”, tetapi kalau “tidak menganggu” tidak mengapa. Contohnya: “Ini hak saya untuk berjudi, saya tak ganggu orang lain”. “Ini hak saya untuk berzina, saya tak ganggu orang lain”. “Ini hak saya untuk berhias, saya tak ganggu orang lain”. “Ini hak saya untuk menukar jantina, saya tak ganggu orang lain”. “Ini hak saya untuk pakai begini, saya tak ganggu orang lain”.

Pertama: Dalam Islam terdapat perkara yang makruf dan yang mungkar. Islam menggalakkan seseorang itu bukan setakat melaksanakan makruf, tetapi menyuruh perkara yang baik. Dan dalam masa yang sama, Islam melarang perkara mungkar dan menggalakkan manusia mencegah perkara yang mungkar. Penentuan makruf dan mungkar itu berdasarkan kepada aturan dari wahyu. Golongan liberal tidak dapat menerima perkara ini kerana mereka alergik dengan aturan wahyu yang mereka anggap sebagai orang luar yang memandai memaksa mereka melakukan sesuatu dan meninggalkan sesuatu. Kedua: Manusia perlu mematuhi perintah Allah, bukan menuruti kemahuan nafsu/ diri kerana diri manusia bukan milik manusia. Islam meletakkan bahawa ia adalah amanah kepada manusia dituntut untuk menggunakannya berdasarkan kepada aturan Allah. Kalau manusia yang memiliki sepenuhnya dirinya, manusia tidak akan menjadikan dirinya lemah, sakit, rugi, tua. Manusia akan menentukan nasib dirinya mengikut kehendak dan seleranya. Adakah manusia mahu menderita sakit, mendapat kemalangan, hidup susah dan melarat, buta dan pekak. Tetapi, semua itu berlaku di luar kehendak manusia, yang ditentukan oleh Allah. Manusia tidak mampu mengawal perjalanan darah, urat saraf, deria nadi dan sebagainya. Malahan tidak tahu jumlah rambut dan bulu keningya. Nasibnya pada esok hari pun dia tidak pasti. Justeru, manusia perlu mengikuti aturan Allah yang merupakan penciptanya. Ketiga: Pernyataan “menuntut hak” dan “tidak ganggu orang lain” merupakan virus liberalism yang mahu kebebasan dari ikatan mana-mana autoriti khususnya agama atas alasan hak asasi yang bersandarkan kepada logik dan hawa nafsu. Pernyataan ini membawa maksud saya ingin melempias nafsu dan mengikut kemahuan diri. Golongan liberal tidak mahu sebarang ikatan yang berasaskan kepada agama, tetapi (kononnya) mereka boleh terima alasan yang berasaskan kepada logik dan rasional. Demikianlah, mereka berasa itulah adalah hak mereka, tetapi sebenarnya itu adalah kemahuan nafsunya sendiri. Ingatlah bahawa liberalisme mengagungkan kemahuan diri dan menolak sebarang aturan orang asing termasuk dari agama. Ringkasnya, hujah tidak ganggu orang lain ialah alasan palsu sahaja kerana mereka sebenarnya mahu mengikut keinginan dan hawa nafsu. Mereka tidak mahu kepada aturan dari agama.

Post a Comment

0 Comments