Siri 2/50: BAGAIMANAKAH LIBERALISME MEMBAWA ANCAMAN KEPADA AGAMA

Liberalisme dianggap sebagai satu ancaman kepada agama adalah kerana ia adalah satu fahaman yang jelas mempunyai misi membebaskan manusia daripada segala bentuk aturan dan batasan agama. Lagi kuat seseorang itu berpegang dengan liberalisme, lagi kurang ia berpegang dengan agama.

 


 

Liberalisme adalah kesinambungan daripada sekularisme. Seseorang yang berpegang kepada liberalisme semestinya telah terlebih dahulu menerima sekularisme. Sekularisme tidak boleh difahami sebagai pemisahan antara agama dan politik semata-mata, kerana sekular menolak agama sebagai panduan dan sumber rujukan dalam menentukan benar dan salah, baik dan buruk. Menerima agama dan segala kepercayaan yang tiada bukti secara saintifik bererti memaksa sesuatu pandangan luar terhadap dirinya. 

 

Pemikiran liberal berteraskan kepada kebebasan dalam kehidupan iaitu meletakkan kebebasan individu sebagai suatu nilai yang tertinggi dalam kehidupan mereka. Pendukung pemikiran ini tidak melihat agama sebagai panduan dalam ilmu dan kebenaran sebaliknya melihat manusia berkuasa sepenuhnya menentukan nasib sendiri. Mereka menekankan aspek material dan fizikal kehidupan manusia dan meletakkan akal manusia sebagai kayu ukur tertinggi dalam menentukan kebenaran. Ia jelas sekali bertentangan dengan ajaran Islam kerana umat Islam dituntut untuk menjalani kehidupan mereka berdasarkan garis panduan dalam al-Quran dan as-Sunnah. 

 

Sekularisme tidak melihat agama sebagai panduan dalam ilmu dan kebenaran sebaliknya melihat manusia berkuasa sepenuhnya menentukan nasib sendiri. Sekularisme meletakkan manusia sebagai tuan dan tidak perlu tunduk kepada mana-mana autoriti mahupun aturan agama. Kerosakan terbesar sekularisme adalah kerosakan ilmu dan kekeliruan pemikiran yang memberi kesan besar kepada cara pandangan manusia terhadap Tuhan, alam, manusia, kebahagiaan, keadilan dan sebagainya.

 

Meskipun golongan liberal ada positifnya kerana memperjuangkan hak asasi manusia dan hak kedaulatan undang-undang, itu tidak bermakna kita perlu jadi liberal. Orang Islam telah lama mengamalkan hak asasi manusia dan berdaulatkan undang-undang jauh sebelum ianya diperkenalkan oleh barat. Oleh yang demikian dapatlah dikatakan bahawa mereka ini tidak perlu menjadi liberal dan menerima liberalisme untuk mendukung idea kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia kerana idea-idea ini bukan milik mereka dan bukan berasal daripada liberalisme.

Post a Comment

0 Comments