Pada asasnya, ilmu politik Islam dan akidah merupakan dua disiplin ilmu yang berbeza.
Ilmu Politik Islam berkait dengan pengurusan hal ehwal manusia/ masyarakat dan pentadbiran negara berdasarkan kepada paduan antara wahyu dan akal manusia. Dalam perkara yang terdapat nas ia dibicarakan dalam ilmu fiqh manakala yang tiada nas atau yang mempunyai nas yang kurang jelas, dibincangkan dalam Siyasah Syariyyah.
Ilmu Politik Islam tidak masuk secara langsung dalam perbincangan disiplin ilmu tauhid kerana tauhid berkaitan dengan keyakinan manusia. Walau bagaimanapun, atas sifatnya sebagai ilmu Islam yang bersumberkan dari al-Quran dan hadis, ia mempunyai kaitan. Ia dapat dilihat dari 3 aspek berikut:
1- Politik ialah menyangkut tentang pemerintahan yang secara langsung berbicara tentang kekuasaan. Maka, politik Islam menyangkut tentang kuasa untuk mentadbir diambil dari Allah. Lagi kuat keyakinan seseorang politikus itu kepada Allah, lagi kuat ia ingin mematuhi perintah Allah dalam mengurus kekuasaan ini.
2- Ahli Politik Islam berusaha memastikan negara diurus dengan cara yang adil dan patuh syariah. Namun, dalam keadaan negara yang tidak patuh syariah dan banyak penyelewengan yang berlaku, orang Islam bertanggung jawab untuk menegur pemerintah. Tanggung jawab ini termasuk dalam skop dakwah dan amar makruf / nahi mungkar. Dalam konteks politik di Malaysia yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan, maka penglibatan dalam parti merupakan suatu tanggungjawab untuk memastikan negara diperintah dengan cara yang adil dan patuh syariah.
Untuk menjalankan dakwah dan amar makruf dalam jalur politik, ia didorong atas tanggungjawab akidah yang hanya meletakkan Allah sahaja tuhan yang betul. Mana-mana orang yang tidak mengikuti perintahNya, perlu didakwah secara bijaksana termasuklah dalam jalur politik. Lagi kuat keyakinan pada Allah, lagi kuat usahanya dan perjuangannya. Oleh itu, penglibatan dalam politik Islam adalah salah satu tuntutan akidah terutamanya untuk memelihara agama.
3- Laluan hidup seseorang Muslim bermula dari menjadi seorang Muslim yang baik, membina keluarga yang Muslim, membentuk masyarakat Muslim, membangunkan negara Islam dan menyebarkan Islam ke seluruh dunia. Lima tangga dalam laluan hidup ini termasuk dalam akidah Islam kerana ia berkaitan dengan pedoman dan keyakinan hidup bagi seorang Muslim.
Akidah Islam bukan sekadar berkait dengan kepercayaan kepada Allah sahaja, tetapi juga berkait dengan cara dia melihat kehidupan ini. Iaitu melihat seluruh kehidupan ini mestilah tertumpu kepada Allah yang esa. Sekiranya seseorang itu hanya mempercayai Allah sebagai tuhannya, namun kehidupannya tidak menuju kepada Allah, ia mungkin menjadi liberal kerana tidak mahu terikat dengan aturan Allah.
Ringkasnya, perbincangan politik Islam dari sudut meletakkan hukum, ia termasuk dalam perbincangan fiqh dan siyasah syariyyah. Manakala perbincangan politik Islam dari sudut tanggung jawab melaksanakannya termasuk dalam perbincangan akidah Islam.
0 Comments