Orang Islam perlu meyakini bahawa hukum hakam yang berkaitan dengan politik merupakan suatu ketetapan yang terbaik untuk umat manusia secara amnya. Namun, Islam tidaklah rigid kerana dimensi hukum Islam banyak yang bersifat fleksibel (anjal) untuk semua masa dan keadaan. Mempercayai kebaikan sistem politik Islam berbanding sistem politik dan gaya hidup yang lain merupakan tuntutan akidah Islam.
Sebaliknya, menurut falsafah barat, tiada perkara yang tetap dalam kehidupan kerana manusia perlu menghormati fikiran dan kehendaknya. Ia berbeza dengan wahyu yang sifatnya “beyond” capaian manusia dan sebahagian tuntutannya adalah tetap dan kekal sepanjang zaman. Liberalism dan sekularisme mahu tiada sebarang ketetapan politik berteraskan kepada wahyu. Ini bercanggah dengan akidah Islam bahawa setiap tindakan manusia seharusnya dikaitkan dengan wahyu.
Liberalism merupakan suatu pemikiran yang mengangkat keinginan individu manusia lebih berbanding yang lain. Ia menolak aturan luar dari kehendak dan keinginan individu kerana tiada orang luar yang boleh menyuruh dan memaksa mereka. Dengan ini, mereka menolak ketetapan dari wahyu dan agama kerana itu adalah suatu paksaan terhadap keinginan mereka termasuklah ketetapan dalam politik.
Sekularisme pula merupakan pemikiran yang menolak agama sebagai panduan hidup kerana ia dianggap sebagai benda khayalan yang tidak dibuktikan secara saintifik. Mereka berasa tidak perlu untuk tunduk dan patuh kepada kuasa ghaib yang tidak diyakini kewujudannya secara saintifik.
Kedua-dua falsafah ini sangat berkait rapat dan keduanya menolak campur tangan agama dalam kehidupan termasuklah dalam soal politik. Ini bercanggah dengan Islam kerana Islam meletakkan bahawa setiap gerak geri manusia perlu dipandu oleh wahyu. Meyakini keterikatan setiap tindakan manusia dengan Islam termasuk dalam perbincangan tauhid.
0 Comments